Isnin, 29 Mac 2010

Tips Menjadi Pembaca Yang Baik

Saudara Jamal bertanya;

Salam Hilmi,

Nak tanye sikit la, saya ni ade jugak keinginan nak menjadi pembaca kepada buku2 ilmiah. Saya mmg hormat pada Hilmi dan cemburu, sebab byk betul buku2 yg Hilmi baca. Setiap artikel yg ditulis juga dari pemikiran dan bacaan dan kajian Hilmi samada Al Quran, hadis atau buku2 yg dibaca.

Boleh tak ajarkan saya macam mana nak mula membaca..maksud saya kalau saya jumpa buku/majalah yg saya suka, saya baca la jugak. Tp bila nak baca buku2 yg lebih ilmu, agak sukar nak maintain.

Contoh saya cuba nak baca buku tulisan Al Ghazali.. pastu saya rasa cam "ilmu/penulisan ni terlalu dalam utk saya faham dan ikut, jadi cam mana nak ingat".

Mungkin org kata saya negative thinking.. (saya pun mengaku, belum baca habis dan ada perasaan negatif). Tp saya rasa ia juga adalah dari bahan bacaan itu sendiri..

Seingat saya buku yg bercorak ilmiah yg pernah saya habis baca ialah The Malay Dilemma - Tun Dr Mahathir. Yg lain2 novel atau majalah atau artikel2 internet.

Cuma mintak Hilmi share la tips2 utk menjadi pembaca yg baik..

InsyaAllah

Wsalam
Jamal




Jawapan saya;

Setiap keputusan-keputusan yang diambil dan kemudiannya menjadi tindakan dan aksi didalam kehidupan manusia didunia ini amat berkait rapat dengan visi terhadap ganjaran yang akan diterima, baik kepada jiwa atau roh manusia itu sendiri atau ganjaran kepada 50 trilion sel yang membentuk tubuh badan mereka. Akan tetapi boleh dikatakan hampir kesemua tindakan manusia akhir zaman ini lebih kepada memberi ganjaran kepada sel-sel mereka sendiri dan amat sedikit sekali golongan manusia memberi makan kepada jiwa atau roh mereka.


Terdapat dua unsur-unsur kehidupan manusia yang mana kesan darinya akan menyebabkan otak merembes "dadah" semulajadi yang teramat hebat dan seseorang manusia itu akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkannya termasuklah sehingga melanggar larangan Allah maha pencipta. Dua unsur tersebut adalah cinta dan seks, akan tetapi apa pula kena mengena membaca?

Umar bin Al-Khattab meriwayatkan: Aku mendengar Pesuruh Allah berkata, "Ganjaran kepada perbuatan yang dilakukan bergantung kepada niat dan setiap manusia itu akan mendapat ganjaran berdasarkan kepada niatnya terhadap perbuatan itu" Sahih Bukhari

Tiada perkara buruk yang terjadi tanpa kebaikan disebaliknya, boleh saya katakan detik permulaan saya mula minat dan giat membaca adalah disebabkan kes Lina Joy beberapa tahun lepas yang dengan "bongkak"nya berusaha untuk me"legal"kan kemurtadan beliau. Disebabkan oleh beliaulah saya mula membaca buku-buku buku-buku agama, terjemahan Al-Quran, bible dan juga menonton ceramah debat perbandingan agama terutamanya oleh Sheikh Ahmad Deedad dan Dr Zakir Naik kerana niat untuk menegakkan "Ashadualla ila haillah" dan alhamdulillah disebabkan oleh itu maka memperolehi momentum untuk terus membaca.

Semakin banyak saya membaca maka semakin banyak jugalah saya semakin boleh "melihat" kebesaran Allah itu sendiri dan apabila saya menemui sesuatu fakta yang membuktikan kebesaran Allah itu maka terasa bagaikan saya mendapat ganjaran darinya, terdapat rembesan "neurotransmitter dopamine" didalam tubuh badan saya ini yang memberikan nikmat atau ganjaran terdapat usaha saya itu. Ini menambahkan lagi perasaan cinta terhadap Allah dan cinta inilah yang memberikan saya lebih motivasi dan semangat untuk saya terus membaca.

Sama juga seperti manusia yang melayan filem-filem cinta dan kemudiannya apabila dari filem itu sendiri sudah tidak mampu memberi nikmat yang lebih hebat lagi, manusia akan beralih kepada mahu melakukannya sendiri, maka sebab itulah ada yang mahu mengislamkan cara bercouple. Bagi saya pula, apabila buku-buku karangan pakar motivasi biasa sudah tidak mampu memberikan kesan hebat terhadap diri saya, maka saya beralih pula kepada buku-buku ilmiah yang lebih dalam atau berat.

Bagi saya setiap cabang2 ilmu itu adalah ibarat salah satu dari kepingan-kepingan "jigsaw puzzle" kehidupan. Dengan niat untuk mencari dan mendapatkan keredhaan Allah itu, semakin banyak ilmu yang kita dapati maka semakin lengkaplah "puzzle" kehidupan lantas semakin jelas akan kebesaran Allah itu sendiri, semakin sedarlah siapa sebenarnya diri kita ini iaitu hanyalah hamba kerdil kepadaNya dengan amanah sebagai pemimpin untuk mendidik, mengajak, menyeru dan membawa manusia2 lain termasuklah lebih 50 trillion sel2 yang membentuk tubuhnya itu kejalan yang benar. Jadi pokok pangkalnya niat, dengan niat yang ikhlas bukan sahaja dari sudut membaca malah dari segenap sudut kehidupan (rujuk Surah Al-Anaam 6:162), insyaallah segalanya akan dipermudahkan Allah.

Saya juga teramat bersyukur kepada Allah kerana dikurniakan tugas yang mana membolehkan saya membaca semasa bekerja. Tugas saya sebagai jurutera penerbangan pesawat agak unik kerana semasa perjalanan saya tidak melakukan apa2 kerja, hanya sebelum dan selepas enjin pesawat dihidup dan matikan. jika dahulu selepas sahaja pintu pesawat ditutup, saya akan membelek hiburan-hiburan baik musik atau filem2 untuk dihabiskan didalam perjalanan kedestinasi, kini saya penuhi dengan membaca dan hasil dari maklumat2 yang terkumpul itulah terhasilnya blog syurgadidunia ini. Apa sahaja nikmat2 yang diberikan oleh Allah itu ada tanggungjawab besar dibawa bersama, baik dari rupa, harta dan wang ringgit, malah masa lapang yang banyak itu juga akan dipersoalkan oleh Allah untuk apa kita menggunakannya. 

Masalah utama untuk mempunyai semangat yang berterusan untuk membaca adalah kebosanan terhadap pembacaan itu sendiri, pada pendapat saya ini kerana tubuh badan manusia itu sendiri mendapat "ganjaran" yang lebih hebat dari aktiviti2 hiburan contohnya menonton TV atau filem berbanding membaca. Dari membaca apa yang kita dapati hanyalah maklumat dan selalunya kita perlu menggunakan frontal lobe untuk mengkaitkan dengan fakta-fakta lain yang dibaca sebelum ini, berbanding dengan TV atau filem yang mana stimulasinya lebih hebat dengan visual dan audio yang memberi lebih impak terhadap emosi manusia itu sendiri. Semasa menonton juga manusia tidak perlu berfikir dan menggunakan frontal lobe, cuma perlu mengikuti sahaja jalan cerita berbanding membaca maka oleh sebab itulah rata-rata manusia akan lebih suka menonton TV dan filem dari membaca.

Disebabkan saya tahu akan kesan TV dan filem ini maka semenjak 2 tahun yang lepas saya amat jarang menonton TV atau filem hiburan. Saya pilih apa yang saya ingin lihat iaitu kebanyakannya filem yang menggalakkan berfikir contohnya yang berkaitan dengan motivasi, ceramah ataupun siri kuliah oleh pensyarah universiti. Bagi saya TV dan filem adalah alat pemukau atau hipnosis yang utama digunakan oleh pihak2 tertentu supaya manusia kebanyakan kekal leka supaya mereka boleh terus mengaut keuntungan dari kelekaan manusia itu sendiri. Jadi bagi saya teramat pentinglah saya menjaga apa yang wajar dan tidak untuk ditonton. Dr Daniel Amen, seorang pakar otak menyatakan didalam bukunya "Change You Brain, Change Your Life", semakin kerap seseorang itu menonton TV maka semakin tinggi kemungkinan mendapat penyakit ADD, penyakit tidak boleh menumpukan perhatian terhadap sesuatu jadi jika seseorang itu sudah sekian lama melayan TV dan filem maka sudahlah nikmat dari membaca rendah berbanding menonton, mahu menumpukan perhatian juga aamat sukar.

Tidak semua buku-buku yang saya baca saya dapat memahami kesemua isinya sekali gus, ada yang perlu saya ulangi dan ada juga yang akan difahami dikemudian hari apabila menemui fakta-fakta baru dan mengaitkannya dengan fakta2 dari bacaan yang lepas. Tidak perlu risau tentang keupayaan kita untuk mengingati kerana jika kita paksa ianya hanya akan menjadi semakin sukar. Hanya didalam suasana tenang sahaja jaringan2 neuron baru akan terbentuk bilamana bekalan darah optimum keotak, dan bukan ketika didalam tertekan yang mana saluran darah kefrontal lobe akan menjadi sempit. Ingatlah bahawa minda separuh sedar kita amat hebat dan adakalanya selepas membaca kita rasakan kita tidak mengingati apa-apa, akan tetapi apabila tiba masa yang diperlukan, secara automatiknya ia akan terdetik difikiran, paling tidak pun kita tahu dimana kita boleh memperolehi maklumat tersebut. 

Setiap perjalanan bermula dengan langkah yang pertama maka jika kita mahu menaikkan budaya membaca, teramat perlulah kita teruskan aktiviti tersebut. Sama juga untuk membuat perjalanan, tanpa terus melangkah kita akan kekal ditempat yang sama, tanpa terus membaca kita akan kekal dengan cara pemikiran yang sama. 

Cinta perlu pengorbanan, bagi saya jika seseorang manusia itu cintakan Allah maka teramat perlulah dia melakukan perkara2 yang dituntut berbanding yang tidak. Apa yang saya korbankan adalah hiburan2 yang melalaikan, mungkin ini berat bagi insan lain akan tetapi bagi saya yang merasai kemanisan membaca itu sendiri, menemui fakta2 baru yang memperlihatkan kebesaran Allah itu sendiri menjadi hiburan bagi diri saya. Allah mahu manusia yang membaca dan bukan manusia yang "lagha" dengan hiburan TV, filem, musik, video games dan sebagainya, sebab itu ayat Al Quran yang pertama adalah "Iqra" dan bukan "lets rock".


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Rabu, 24 Mac 2010

Ahli Ugama Tetapi Mudah Marah

Saudara Sham bertanya;

Saya mempunyai minat yang agak serupa dengan anda.Tentang sains minda dan motivasi. Soalan saya: Apa pendapat tuan tentang sesetengah orang walaupun ahli ugama tapi mudah marah atau kurang sabar dengan orang yg tak sependapat dengannya.Terima kasih.
Jawapan saya;



Untuk seseorang itu menjadi marah amatlah mudah, akan tetapi untuk marah pada orang yang sepatutnya, pada kadar yang bersesuaian, pada masa, untuk tujuan dan dengan cara yang sebaiknya, itu yang susah.

Ketenangan itu adalah lumrah alam semulajadi, pergi lah kehutan belantara dan rasailah akan suasana yang tenang, aman dan damai. Mungkin sebab itu ramai mereka yang menghias rumah dengan pelbagai tumbuh-tumbuhan dan pohon-pohon agar menyerupai keadaan hutan. Ramai manusia menganggap ketenangan itu dari luar akan tetapi sebenarnya ketenangan itu datangnya dari dalam diri mereka sendiri dan apabila ketenangan itu sudah terbina dari dalam maka walau apapun "tusukan" dari luar yang melanda, mereka tidak akan mudah marah ibarat gunung berapi yang pada bila-bila masa boleh meletup melimpahkan lavanya.

Apabila keadaan didalam diri seseorang itu bergelora, fisiologi tubuh mereka sebenarnya sentiasa berada didalam keadaan "fight of flight" iaitu lawan atau lari dan ini yang akan "memusnahkan" manusia itu sendiri. Didalam keadaan ini bekalan darah kebahagian otak yang berfikir (frontal lobe) akan berkurangan dan ini menyebabkan manusia itu akan membuat pilihan yang tidak bijak, termasuklah untuk menjadi marah.

Apabila seseorang itu marah hanya disebabkan pendapat maka harus diteliti atas tujuan apakah pendapat itu dikeluarkan. Jika semua manusia boleh mengutamakan hidup ini hanyalah semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah, maka setiap niat yang dijalankan itu juga kerana Allah, dan manusia sebegini tidak akan mudah melenting apabila orang lain tidak sependapat dengannya.

Islam mengutamakan perdamaian dan bukan permusuhan, marah dan tidak sabar akan kerenah-kerenah insan lain itu menunjukkan seseorang itu lari dari nilai-nilai moral keislaman itu sendiri jadi inilah yang di ceritakan oleh Sheikh Hamza Yusuf didalam klip video ringkas diatas. Moga kita dijauhi dari sifat-sifat sedemikian yang mana hanya akan merugikan diri sendiri. Allah maha mengetahui akan wujudnya golongan sebegini, sebab itulah Allah turunkan ayat Al Quran (Rujuk Surah Al-Asr 103:3) agar manusia berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran, bukan dengan kepentingan dan permusuhan.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Khamis, 18 Mac 2010

Bagaimana Cara Nak Fikir Untuk Kaya?

Saudari Niza bertanya;

jika kita fikirkan kemiskinan, itulah yang kita akan kita dapat...jadi bagaimana caranya kita nak fikir untuk kaya dan ada duit yang banyak?

Jawapan saya;


Asas kepada jawapan untuk persoalan saudari ini adalah dengan berimaginasi atau visualisasi terhadap apa yang kita inginkan. Ini juga antara salah satu cara yang disarankan untuk mencapai kekayaan seperti di ceritakan didalam filem motivasi "The Secret". Albert Einsten juga menyatakan bahawa "imaginasi itu lebih penting dari ilmu pengetahuan", beliau membuktikannya dengan mengemukakan dua teori fizik ulung iaitu relativiti khas dan relativiti khusus dengan hanya menggunakan eksperimen fikiran (thought experiment) yang mana beliau melakukan ujikaji untuk mengemukakan teori beliau itu hanya didalam minda. Kini sedikit demi sedikit, hampir kesemua teori beliau itu dibuktikan dengan penemuan-penemuan baru didalam ilmu fizik dan astronomy.

Jika kita tonton filem motivasi The Secret, apa yang dicadangkan adalah dengan selalu berfikiran positif dan bervisualisasi tentang apa bentuk kekayaan yang kita inginkan dan kemudian "lepaskan kepada universe" untuk memberikannya kepada kita, tetapi bagaimana ingin kita mempunyai fikiran positif jika kita didalam emosi yang tidak baik? Jawapannya adalah dengan bersyukur atas apa yang ada pada diri kita baik dari tubuh badan yang sihat, pakaian yang kita pakai ataupun kereta kecil yang kita pandu. Dengan bersyukur atas apa yang kita ada, maka yang lebih baik lagi akan menjelma didalam hidup kita.

Apa yang ada diceritakan didalam filem itu sebenarnya adalah sudah lama dipraktikkan oleh orang Islam, contohnya bersyukur atas apa yang kita ada. Umat islam sendiri sebanyak lima kali sehari bersolat yang mana ianya adalah salah satu menyatakan kesyukuran kita kepada Allah. Allah dengan sifatnya yang Maha Pemurah akan memakbulkan apa jua yang kita pinta. Akan tetapi ada beberapa peringatan yang perlu direnungi kerana ini yang membezakan antara kaya cara Islam atau kaya cara kafirun.

Selain Allah itu maha pemurah, Allah itu juga maha adil dan jika kita mahukan sesuatu dari dunia ini, kita harus memberi dahulu sebelum menerima. Ramai manusia yang angankan rezeki mudah contohnya memenangi loteri dan boleh hidup senang lenang, akan tetapi rezeki sebenarnya tidak datang mudah begitu sahaja. Adapun yang memenangi loteri itu sebenarnya adalah amanah dari Allah yang dikurniakan untuk memberi kebaikan kepada manusia lain dan ia akan dipersoalkan diakhirat kelak jika kita menggunakannya hanya untuk nikmat diri sendiri.

Apabila kita sering visualisasi tentang kekayaan, walaupun kita tidak memilikinya ketika itu, bahagian neuron otak tetap akan menjadi aktif seolah-olah ianya sudah berlaku dan ini akan menghantar signal-signal kepada sel-sel didalam tubuh badan kita yang mana kemudiannya akan menjadi minda separuh sedar kita. Semakin kerap sel-sel kita dihujani dengan maklumat mahukan "kaya" itu maka secara automatiknya minda separuh sedar kita (dari gabungan sel-sel kita tadi) akan senantiasa membantu kita mencari jalan untuk mencapai kekayaan. Hasilnya wujudlah pelbagai idea-idea kreatif untuk kita mengaut kekayaan.

Dan idea-idea kreatif itu juga bergantung kepada banyak mana sel-sel "Islam" atau sel-sel "kafir" didalam tubuh badan kita itu (Sila baca artikel Kita Semua Adalah Pemimpin). Jika kita seorang yang jarang mengingati Allah umpamanya tidak bersolat maka sel-sel kita yang mencorak minda separuh sedar kita itu tidak akan memikirkan "jalan yang lurus" untuk mencari rezeki. Akibatnya wujudlah pelbagai skim cepat kaya, penipuan, mengaut keuntungan melalui riba' iaitu mendapat wang hanya dengan masa dan sebagainya. 

Penuhilah hati (minda separuh sedar) kita dengan keimanan iaitu memastikan "Ihdinassirotolmustakim) itu sentiasa tidak lepas dari fikiran kita agar "kita" bersama jasad yang kita tumpang ini yang terdiri dari bertrillion sel-sel ini akan senantiasa mendapat rahmat dari Allah dengan senantiasa juga berbuat kebaikan dan memberi nilai kepada manusia lain. Memberi dan kemudiannya baru menerima. Umpamanya mencipta ubat yang mujarab untuk merawat penyakit dengan harga mampu dibeli oleh kesemua lapisan masyarakat dan bukan mencipta ubat mujarab akan tetapi menjualnya dengan harga yang mahal dan memonopoli pasaran untuk memastikan keuntungan maksimum.

Ingatlah mereka yang memberi itulah yang akan dipermudahkan perjalanannya berbanding mereka yang hanya mengambil (Rujuk Surah Al-Lail 92:5-10). Jangan tertipu dengan muslihat dunia yang mana kekayaan itu boleh dimiliki dengan mudah tanpa perlu berusaha memberi nilai kepada manusia lain sebelum menerima. Celakalah mereka yang menerima rasuah, mengambil kepunyaan orang lain dengan menipu atau mengambil wang dengan menjanjikan sesuatu yang belum pasti dan juga mereka menerima hasil riba' kerana Allah itu maha adil dan akan memulangkannya kepada empunya. Akan saya jelaskan dengan lebih lanjut didalam artikel saya yang akan datang berkenaan konsep tenaga didalam kehidupan.

Mungkin jawapan yang saya berikan ini tidak menjelaskan sepenuhnya cara berfikir yang berkesan untuk kaya akan tetapi pada pemdapat saya apa yang patut diberi penekanan adalah kaya dengan cara yang lurus dan benar yang mana akan mempastikan kesejahteraan hidup kita didunia dan diakhirat. Kita boleh mencari pelbagai kekayaan didunia ini kerana Allah itu maha pemurah akan menyegerakan apa yang kita pinta (Rujuk Al Isra 17:18) akan tetapi perlu kita tanya pada diri kita sendiri untuk apakah kekayaan tersebut? Adakah untuk kesenangan dunia dengan memberi makan tubuh badan kita dengan makanan yang enak-enak atau kimia emosi dopamine yang juga adalah dadah buat sel-sel tubuh badan yang dirembes oleh otak apbila mendapat kepuasan dari kesenangan duniawi melalui harta kereta rumah yang mewah? Manakah yang perlu dikayakan? Roh kita yang akan mati dan menemui Allah atau tubuh badan yang terdiri dari sel-sel yang akan hancur semula menjadi tanah? Pertanyaan buat mereka yang mahu berfikir...


Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya Neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah. (Al-Isra 17:18)


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Isnin, 15 Mac 2010

Melupa Dan Memaafkan Perbuatan Suami

Puan Jaznee bertanya;

assalamualaikum wbt..
saya ingin bertanyakan pada saudara bagaimana caranya utk melupakan dan memaafkan perbuatan suami yang sering melukakan hati dan perasaan saya gara-gara perempuan lain.2 tahun lepas suami menjalinkan hubungan dgn seorng gadis.hubungan 2 telah membuatkan rumahtangga saya menjadi kacau bilau. tetapi skrng suami tak sanggup meneruskan lagi hubungan itu sbb mendpt tentngan dari keluarganya. persoalan saya skrng saya sukar melupakan dan memaafkan perbuatannya wlaupn saya telah cuba.setiap kali bila saya cuba berbaik2 dgnnya saya akan teringat akan perbuatannya itu dan saya akan terus jadi murung dan menangis.baru2 ini saya mendpt tau yg mereka masih lagi berhubungan.apakah yang perlu saya lakukan??

Jawapan saya;

Jika kita mengikat tangan kanan kita kebelakang dan hanya memakai tangan kiri, lama kelamaan tangan kiri kita itu akan menjadi kuat, akan tetapi tangan kanan kita lama kelamaan akan menjadi kecil dan lemah dan selepas beberapa minggu kita buka ikatannya, untuk mengangkat barang yang ringan sekalipun belum tentu lagi mampu. Ini berlaku kerana otot kita sudah menjadi lemah dan tidak lagi berfungsi seperti biasa.

Memori atau ingatan terhadap sesuatu peristiwa itu datangnya dari jaringan-jaringan neuron didalam otak yang mengaitkan sesuatu peristiwa itu dengan semua unsur-unsur atau objek didalam kehidupan kita, misalnya mengaitkan suami dengan wanita lain, perceraian, rumah, wang, anak-anak dan sebagainya. Lebih hebat sesuatu peristiwa itu memberi kesan emosi kepada diri kita maka lebih kuat lah juga jaringan-jaringan neuron tersebut.

Akan tetapi, jaringan-jaringan neuron ini juga sama seperti otot-otot yang ada didalam tangan kita tadi, jika lama kita tidak menggunakannya maka jaringan-jaringan neuron itu akan menjadi lemah dan akan hilang. Bagaimana kita boleh memastikan jaringan-jaringan neuron untuk peristiwa yang tidak diingini itu boleh di lemahkan? Jawapannya adalah dengan memastikan kita tidak memikirkan perkara yang sudah terjadi itu, dan bagaimana pula kita boleh mengawal minda kita agar tidak memikirkan hal tersebut? Jawapannya adalah dengan memastikan kita menjadi pemerhati yang hebat terhadap apa yang kita fikirkan. Dan bagaimana kita boleh melatih minda kita agar boleh menumpukan kepada perkara lain yang lebih bermanafaat kepada kita selain dari perkara yang sudah terjadi? Jawapannya adalah dengan khusyuk didalam solat.

Apabila kita boleh tumpukan perhatian kita kepada segala aspek didalam solat itu sendiri terutamanya kepada maksud ayat-ayat dan surah yang dibaca maka kita sebenarnya melatih frontal lobe kita agar semakin kuat dan membolehkan kita menjadi tuan kepada minda kita sendiri dan mampu memikirkan apa yang kita ingini dan bukan perkara yang tidak. Ingatan-ingatan lampau yang melukakan itu juga mungkin datangnya dari sel-sel didalam tubuh badan kita yang bertanyakan "mana makanan aku hari ini" dan mereka secara kolektif menghantar isyarat keotak agar kita memikirkan perkara yang telah terjadi. Akibatnya ia menjadi suatu proses yang berulang-ulang sehinggalah kita menjadi tuan kepada pemikiran kita sendiri dan mampu memikirkan perkara-perkara yang menyumbang kepada kehidupan yang lebih baik dan bukan sebaliknya.

Tetapi bagaimana pula nak memikirkan perkara-perkara yang baik jika suami masih lagi "menggatal"?. Jawapan saya amat mudah, bersangka baiklah kepada Allah kerana apa yang terjadi itu mungkin ada hikmah disebaliknya.
1. Mungkin kita telah membuat kerosakan dimuka bumi ini dan Allah disebabkan Allah sayang kepada kita maka dibalasnya didunia ini agar kita kembali kepangkal jalan. Rujuk Surah Ar Rum 30:41
2. Jika kita seorang anak yang mithali, isteri yang mithali dan hambaNya yang soleh dan solehah, iaitu kita yakin kita tidak berbuat "kerosakan" dimuka bumi ini maka inilah yang dikatakan dugaan buat mereka yang beriman. Rujuk Surah Al Baqarah 2:214
3. Mungkin kita berdoa mahukan sesuatu dan Allah ingin memakbulkan apa yang kita mahukan itu, akan tetapi jalan yang terpaksa kita tempuh adalah dengan mengalami peristiwa yang tidak diingini tersebut. (Sila baca pengalaman saya dalam artikel Mendapatkan Hanani).

Apabila kita mengambil 3 pendekatan diatas didalam seluruh aspek kehidupan kita maka apabila tiba sahaja peristiwa yang tidka diingini berlaku maka jaringan neuron yang paling cepat dikaitkan adalah balasan Allah, dugaan Allah dan Allah ingin memberikan kita apa yang kita ingini dan bukan jaringan-jaringan yang memikirkan keburukan-keburukan apa yang terjadi. Ini amat penting dari sudut fisiologi manusia itu sendiri kerana dengan pemikiran sebegini akan menyebabkan kita menjadi lebih tenang, berbanding dengan menjadi semakin tertekan, stress dan sebagainya yang mana akan menyebabkan salur darah ke frontal lobe akan menjadi sempit, tidak boleh berfikir dengan sempurna dan hanya menggunakan tindakan reflek "lawan atau lari", yang mana apa yang menyusul berdasarkan cerita dipermasalahan diatas adalah piring pinggan periuk terbang, maki hamun, tuntut cerai dan sebagainya.

Tiada yang paling hebat selain dari percaya hingga ketahap 100% peratus keimanan terhadap kekuasaan Allah itu sendiri, sebab itu para Nabi-nabi boleh mencipta mukjizat kerana iman mereka yang begitu hebat, tidak seperti umat manusia akhir zaman ini yang mana iman lebih nipis dari kulit bawang. Tetapi itu bukan bermakna kita harus kekal didalam keadaan tersebut. Berusahalah dengan lebih kuat lagi untuk menebalkan iman dan mendekatkan diri dengan lebih rapat lagi kepada Allah, selangkah kita menghampiriNya maka sepuluh langkah Allah akan mendatangi kita.

Orang yang sedang bercinta itu didalam keadaan buta sebenarnya dan itu sudah terbukti oleh sains. Jika kita berusaha mengubah manusia sebegini dengan kekasaran, pada pendapat saya amat sukar buat mereka untuk berubah. Jalan yang paling baik adalah dengan berdoa kepada Allah agar Allah membantu kita mendapatkan yang terbaik didalam kehidupan. Ini bukan bermakna lepas tangan tidak berusaha dan hanya menunggu bantuan Allah semata-mata. Usaha kita pula adalah dengan menjadi muslimah yang sejati, ibu yang mithali dan juga isteri yang solehah terhadap suami. Allah teramat mampu untuk mengubah suasana dunia agar timbul kesedaran di hati suami bahawa apa yang dilakukan itu adalah sesuatu yang tidak baik buat dirinya mahupun keluarga. Kesedaran dari diri sendiri itu adalah lebih berkesan berbanding kesedaran dengan paksaan, contohnya sebab itu mereka masih berhubungan.

Pelbagaikanlah jaringan-jaringan neuron baru didalam otak dengan jaringan ilmu. Kurangkan aktiviti yang melemahkan frontal lobe seperti menonton TV terutamanya rancangan hiburan yang tiada bezanya dengan meminum arak yang melekakan kita dari masalah tetapi bila habis hiburan tersebut kita kembali memikirkan masalah tersebut. Jauhkan diri dari menonton cerita TV dan filem atau membaca berita-berita negatif terutamanya hal-hal suami isteri bergaduh, kecurangan dan perceraian yang mana ia akan menyebabkan jaringan neuron hasil dari pengalaman kita itu sendiri menjadi aktif semula.

Berfikir cara yang sama dan mengharapkan keputusan yang berbeza itu adalah suatu yang sia-sia. Untuk mendapatkan suatu yang baru didalam hidup haruslah dimulakan dengan mengubah cara kita berfikir dan inilah yang cuba saya berikan. Saya sendiri sudah menjadi "tikus makmal" dan apa yang saya ceritakan disini adalah dari pengalaman-pengalaman saya sendiri. Berusaha menjadi muslim dan muslimah sejati dan biarkan Allah merencanakan yang terbaik buat kita, apabila Allah sentiasa dihati maka apa yang kita inginkan seolah-olah secara automatiknya akan terjadi dengan sendirinya. Sebab itulah apabila saya terbaca kata-kata Albert Einstein ini saya tersenyum sendiri.

“There are two ways to live: you can live as if nothing is a miracle; you can live as if everything is a miracle.”
"Terdapat dua cara untuk menjalani kehidupan; kamu boleh hidup dengan tiada satu pun keajaiban; kamu hidup seperti semuanya adalah keajaiban"


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Soal Jawab SyurgaDiDunia © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO