Ahad, 17 Jun 2012

Pandangan Mengenai Amanah Saham


Assalamualaikum Tuan

Bolehkan tuan berikan pandangan tuan mengenai saham amanah.

Terima Kasih

Jawapan saya;

Waalaikumsalam Tuan,


Amanah saham adalah satu bentuk pelaburan yang mana wang orang ramai dikumpulkan oleh syarikat amanah saham tersebut untuk dilaburkan didalam syarikat-syarikat tertentu baik secara langsung atau tidak melalui dagangan jualbeli saham di bursa. Hasil dari keuntungan syarikat itu tadi akan dikongsi dan diberikan kepada orang ramai selaku pelabur dalam bentuk dividen selepas kadar masa yang tertentu. Sebelum saya memberikan pandangan saya, ingin saya memberitahu rakan-rakan sekalian bahawa saya sebelum ini pernah melabur didalam amanah saham dan pernah juga menjadi agen untuk unit amanah ini, akan tetapi apabila ilmu pengetahuan saya mengenai ekonomi bertambah baik dari segi teknikaliti ekonomi itu sendiri dan juga kaitannya dengan Islam sebagai agama yang melarang keras penindasan, saya menjadi tawar hati untuk terus melabur apatah lagi terus menjadi agen. Sekarang saya tidak mempunyai apa-apa pelaburan unit amanah, semuanya telah habis saya jualkan kembali. Disini saya ingin berkongsi mengapa saya menjadi tawar hati untuk melabur walaupun dilabelkan amanah saham Islamik apatah lagi yang tidak dan apa alternatif lain untuk pelaburan.

1. Amanah saham menindas pelabur.
Apabila saya melabur sahaja dengan unit amanah, sebahagian peratus secara automatik akan ditolak dari pelaburan saya masuk kepoket syarikat amanah saham dan juga ke poket agen. Jika tujuan unit amanah untuk pelaburan dimana risiko pelaburan ditanggung oleh pelabur, bukankah ianya juga patut ditanggung oleh syarikat unit amanah dan juga agen-agennya? Apabila syarikat atau agen mandapat hasil serta merta dari pelaburan pelabur, mereka tidak ubah seperti bank yang mengenakan riba' kepada peminjam dengan mendapat pulangan tetap dari setiap pelabur. 

2. Amanah saham juga berjual beli di bursa saham.
Syarikat-syarikat unit amanah ini juga akan berjual beli "wang" di bursa saham untuk mendapatkan wang. Dalamana artikel saya diblog SD merujuk kepada pelabur individu, ianya tiada beza dengan pelaburan berkumpulan oleh syarikat unit amanah. Sila baca artikel tersebut untuk mengetahui hujah-hujah saya.

3. Pelabur tiada kawalan keatas pelaburan.
Kawalan keatas pelaburan bukan bermaksud bagaimana wang mereka itu akan dilabur dikaunter mana-mana di bursa saham akan tetapi kawalan terus keatas syarikat yang dilaburkan. Jika saya sendiri melakukan perniagaan, saya tahu kualiti barang yang saya jual dan mampu menjaga peniagaan saya agar ianya betul-betul halal. Dalam dunia akhir zaman ini yang mana hanya keuntungan dunia sahaja yang dilihat, manusia telah "berevolusi" menjadi lebih tidak beretika. Tidak lama dahulu kita dikejutkan dengan kilang susu bayi di China yang mencampurkan serbuk melamin kedalam susu bayi, kerana apa? Kerana inginkan keuntungan yang lebih, jadi persoalannya, jika ianya berlaku di China, adakah pasti perbuatan sedemikian tidak dilakukan oleh industri di negara kita?

4. Pelabur meng"kuda"kan orang lain.
Apabila kita hanya duduk goyang kaki dan mendapat keuntungan dari penat lelah orang lain, saya melihat itu sebagai meng"kuda"kan orang lain, dalam fizik kuantum saya tidak boleh melihat dunia tanpa saya sendiri terbabit membentuk ianya menjadi realiti hidup saya. Jadi jika saya tidak mahu dikudakan (diperhambakan oleh orang lain) maka perlulah saya terlebih dahulu tidak mengkudakan orang lain. Mungkin ada yang berkata "mana ada orang "kuda"kan aku", jawapan saya adalah tak ada ke ansuran rumah dan kereta yang perlu dibayar lebih tinggi dari harga asal rumah atau kereta tersebut? Itulah sebenarnya peng"kuda"an atau perhambaan jenis baru yang tidak jelas kelihatan, akan tetapi kesannya sama iaitu memerah tenaga untuk orang lain. Jika dahulu hamba abdi bekerja tanpa rela, hamba zaman moden pula bekerja dengan rela hati untuk tuannya kerana didodoikan dengan rumah besar dan kereta baru.

Jadi apakah alternatif untuk pelaburan kepada umat Islam jika mereka mempunyai modal untuk melabur? Jawapan saya adalah berniaga sendiri yang mana kita punyai kawalan keatas keuntungan yang akan kita miliki, kita juga akan menanggung risiko yang mana Allah SW akan memberikan keuntungan jika kita bertaqwa kepadaNya dengan berniaga secara ikhlas dan jujur dan juga rugi jika sebaliknya.

Selain daripada itu umat Islam boleh bersatu membentuk usahasama seperti koperasi yang mana dari jumlah modal yang terkumpul itu perniagaan yang lebih besar tetapi terhad kepada masyarakat setempat boleh dilakukan. Contohnya penduduk sesebuah kampung ataupun disesebuah taman perumahan itu boleh membuka koperasi yang menjalankan perniagaan runcit. Semua penduduk boleh menyertainya dengan memberikan sumbangan modal, ianya juga memberikan pekerjaan kepada penduduk setempat. Semua penduduk boleh membeli barang dari kedai runcit tersebut dan ini akan memajukan kedai tersebut dan lama kelamaan ekonomi masyarakat dikampung atau taman tersebut akan meningkat oleh kerana aktiviti perniagaan tersebut. Dalam masa yang sama juga keuntungan akan kembali kepada penduduk setempat dan wang tersebut akan tetap berada dikampung atau taman tersebut dan hanya berkitar dikawasan tersebut sahaja. Ini memastikan peluang yang samarata dan adil bagi penduduk setempat.

Ini berbanding dengan syarikat korporat yang membuka supermarket besar dikampung atau taman tersebut, belum tentu memberikan pekerjaan kepada penduduk setempat (kerana mengambil Abang Ladesh sebagai pekerja untuk menjimatkan kos) malah wang keuntungan dari kawasan tersebut akan beralih kepada pelabur yang hidup beratus-ratus batu jauhnya dari kampung atau taman tersebut. Lama kelamaan penduduk setempat akan menjadi semakin miskin, terpaksa bekerja lebih keras untuk terus hidup dan lama kelamaan mengubah kelakuan sosial masyarakat dikampung tersebut menjadi lebih tamak, tidak bertimbang rasa, pentingkan diri sendiri dan sebagainya. Ini kerana wang yang sepatutnya berkitar dikawasan tersebut telah disedut lari keluar dari kawasan tersebut. Ini jika dilihat dari skala kecil. Dari skala besar pula inilah yang berlaku dinegara kita apabila syarikat asing dibenarkan bertapak atas nama pelaburan luar yang sering dilaung-laungkan oleh ahli politik sedangkan sebenarnya ianya adalah "pelacuran" yang melacurkan negara untuk memuaskan nafsu serakah pelabur luar yang kaya, penjajahan bentuk baru secara halus yang tidak nampak oleh manusia kebanyakan.

Masaalah umat Islam hari ini adalah kita tidak lagi bersatu, kita banyak berpecah belah baik dari segi politik, kenegerian malah dalam fahaman agama itu sendiri. Kita bergaduh berebut kaca sedangkan permata sebenar telah dibawa lari. Dan inilah yang disukai oleh musuh-musuh Islam kerana berpecahnya umat Islam memudahkan lagi mereka menjalankan agenda penjajahan halus mereka itu.

”Siapa saja pada malam hari bersusah payah dalam mencari rejeki yang halal, malam itu ia diampuni”. (HR. Ibnu Asakir dari Anas)
”Tidak ada yang lebih baik bagi seseorang yang makan sesuatu makanan, selain makanan dari hasil usahanya. Dan sesungguhnya Nabiyullah Daud as, selalu makan dan hasil usahanya”. (HR. Bukhari)
Saya lebih percaya bahawa makanan atau rezeki yang lebih berkat adalah yang diusahakan sendiri oleh diri kita dan bukannya dari usaha dan penat lelah orang lain. Berniaga sendiri atau bercucuk tanam dan makan hasil usaha tangan kita sendiri itu lebih berkat berdasarkan hadis Nabi SAW diatas itu tadi dan inilah impian saya satu hari nanti. Moga ini memberikan idea-idea baru kepada rakan-rakan semua. Bagi yang selesa dengan amanah saham janganlah menganggap jawapan saya ini sebagai penghalang. Ini hanyalah pandangan saya dengan melihat amanah saham itu dari sudut yang berbeza sebagai ketukan minda buat mereka yang mahu berfikir. Wallahualam.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Bagaimana Membina Pemikiran Seperti Saudara

Saudara Asyraf bertanya;
Saya salah seorang pembaca blog syurgadidunia dan tertarik juga dengan
ulasan2 yang diberikan oleh saudara. terbit rasa kagum kerana idea2
yang dikemukakan agak bernas dan membantu mengembangkan pemikiran
saya.

saya nak tanya, macam mana saudara membina pemikiran saudara yang ada
sekarang? mungkin ada cara2 yang saya boleh ambil dan 'apply' untuk
membina pemikiran yang mantap seperti saudara. harap saudara sudi
berkongsi. :)

Jawapan saya;

Assalamualaikum Asyraf,

Terimakasih dan alhamdulillah kerana apa yang saya kemukakan didalam artikel saya membantu mengembangkan pemikiran saudara. Saya tidak mempunyai apa-apa rahsia, jika saya pandang semula kebelakang melihat kehidupan saya yang lalu, semuanya dengan bantuan Allah SW yang membawa saya kepada keadaaan saya sekarang ini.


Perbezaan yang paling nyata pada diri saya beberapa tahun yang lalu berbanding sekarang adalah saya lebih banyak membaca dan bahan bacaan saya pula tidak terhad kepada satu cabang ilmu sahaja. Walaupun saya seorang engineer tetapi saya tidak hadkan ilmu yang saya cari hanya dibidang kejuruteraan semata-mata. Ramai manusia hari ini berterusan menuntut ilmu supaya dia makin hebat didalam kerjayanya jadi akan mudah naik pangkat dan kemudian naik gaji. Jadi memanglah berterusan menuntut ilmu tetapi hanya menemui sekeping dari "jig saw puzzle" kehidupan.

Kelebihan yang Allah SW berikan kepada saya dari segi masa didalam pesawat ketika bertugas membolehkan saya membaca. Jika semasa zaman jahiliyah dahulu saya hanya menghabiskan masa dengan inflight entertainment, sejak 4 tahun yang lepas saya habiskan dengan melakukan perkara yang lebih bermanafaa iaitu mendalami ilmu, dan ilmu itu pula terdiri dari pelbagai cabang termasuklah ekonomi, psikologi, neurologi, endokronologi, motivasi, dan yang paling saya minati fizik kuantum. Saya bukan membaca buku teks subjek tersebut tetapi buku atau novel berasaskan fakta oleh pakar-pakar didalam bidang berkenaan.

Kes Lina Joy yang mencabar situasi umat Islam beberapa tahun yang lalu juga telah menggerakkan saya untuk mencari kebenaran antara Al Quran dan Bible, ianya memberikan motivasi kepada saya untuk membuktikan bahawa Allah SW itu tuhan yang benar dan agama Islam itu adalah agama yang diturunkanNya untuk umat manusia. Apabila saya membaca buku-buku ilmiah lain pula dan berjumpa dengan kaitan (membuktikan keesaaan Allah SW dan kebenaran Islam itu sendiri) maka ia memberikan saya semangat untuk berterusan membaca agar bertemu dengan kepingan- kepingan "puzzle" kehidupan yang lain lagi. 

Alhamdulillah saya juga telah mulakan langkah saya dengan membaca terjemahan Al Quran dan dapat mengaitkan ayat-ayat Al Quran tersebut dengan ilmu-ilmu dari bidang lain. Ilmu-ilmu dari bidang lain ini pada pendapat saya membentuk kepingan-kepingan lain "jig saw puzzle" kehidupan dan apabila kita dapat lihat kaitannya maka kepingan-kepingan tersebut dapatlah bercantum, Apabila bercantum semua kepingan tersebut maka dapatlah kita melihat dan memahami apa sebenarnya akan kehidupan itu sendiri dan semakin jelas akan keesaan Allah SW itu.

Selain dari itu mungkin juga kerana saya banyak merantau menjelajah diseluruh dunia, semua benua telah pun saya jejaki jadi mungkin sebab itu pandangan saya mengenai dunia ini agak berbeza. (Sila rujuk firman Allah SW dalam surah Al Haj 22:46). Saya juga amat jarang menonton TV malah dirumah saya hanya ada TV tetapi tidak saya sambungkan kepada antenna atau pun penerima satelit. Saya hanya menggunakan ianya untuk menonton ceramah-ceramah agama yang saya rakam atau pun dokumentari yang berkenaan dengan fakta-fakta sains. Saya juga tidak membina rutin membaca akhbar harian sebagai suatu kemestian, hanya sekali sekala untuk mengetahui apa yang terjadi didunia luar dari kehidupan saya. 

Pada pendapat saya semuanya bergantung kepada niat dan dari niat itu ia membentuk pemikiran lantas mencipta realiti kehidupan itu sendiri. "Nawaitu" saya mendalami ilmu bukan untuk naik gaji tetapi untuk "melihat" Allah dan mengesakannya, tidak salah menuntut ilmu untuk menaikkan taraf diri dan keluarga, akan tetapi ilmu yang lain juga perlu dipelajari. Jika niat untuk mengesakan Allah SW maka itulah yang akan ditemui dan jika mahu menidakkannya itu jugalah yang akan ditemui. Saudara boleh merujuk kepada jawapan saya kepada saudara kita yang mengganggap dirinya seorang atheis dalam soaljawab yang lepas. Dia juga membaca tetapi apa yang ditemuinya amat berbeza. Allah SW itu maha pemurah dan ini adalah salah satu bukti akan sifat-sifatNya itu.

Harap apa yang saya paparkan ini bukan untuk bermegah-megah atau membanggakan diri, maafkan saya jika ada dikalangan rakan yang beranggapan sedemikian terhadap saya. Yang baik jadikan tauladan dan yang buruk jadikan sempadan. Walaupun begitu baik dan buruk adalah relatif, jika ingin mengetahui hakikat sebenarnya, perhatikanlah kepada "end-result"nya. Wassalam


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Soal Jawab SyurgaDiDunia © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO