Selasa, 20 April 2010

Takut Suami Tersinggung

Puan Wasa bertanya;
Assalamualaikum,
Soalan saya lebih kurang dengan soalan ayah yang ego dalam blog ni. Cuma saya bersuamikan orang jenis macam tu. Saya bersabar je lah.
Suami saya kurang sikit bab cari rezeki ni. Jadi saya ambil alih. Cumanya kadang-kadang tu, saya tak tahu macam mana nak buat, kalau bila saya buat kerja, dia akan overule cara saya, tapi kalau dia buat tak lah baik mana. Buktinya kalau dia buat, semua tergendala, dan buat2 tak tahu bila masalah timbul bila dibawah tanggungjawab dia. Kalau dapat duit tu, dia pulak yang plan nak buat itu dan ini, padahal kalau duit tu dari dia, saya tak boleh ambil tahu langsung.
Adakah saya kena berkeras ikut cara saya? Bagaimana sekiranya ada dihati kecil dia rasa tersinggung?
Jawapan saya;

Sila baca artikel Mengapa Frontal Lobe dan cuba lihat adakah ciri-ciri suami puan seorang lelaki yang lemah frontal lobenya. Agak mengecewakan termasuklah pada diri saya sendiri sebagai lelaki dengan sikap lelaki seperti suami puan yang nampaknya mempergunakan wanita untuk kepentingan diri sendiri. Walaubagaimanapun untuk bersangka buruk kepada seseorang itu adalah suatu perbuatan yang merugikan diri kita sendiri kerana kita tidak tahu punca sebenar mereka bertindak sedemikian.


Penyelesaian yang paling baik pada pendapat saya adalah dengan bersabar dan pada masa yang sama juga cuba lebih dekatkan kita kepada Allah dengan solat yang lebih khusyuk dan doa yang tidak kenal jemu agar orang yang kita sayangi itu berubah menjadi insan yang lebih baik, menjadi insan yang kita kagumi, minati dan tidak ada cacat celanya seperti semasa awal perkahwinan dahulu.

Semua ciri insan-insan yang hebat adalah mereka yang punyai frontal lobe yang berfungsi dengan baik dan dari penelitian saya, solat yang khusyuk itulah hadiah Allah kepada manusia yang mana ia akan menjadikan manusia itu seorang "hamba Allah yang sebenar". Manusia akan lebih punyai fokus pada apa yang dikerjakan disamping boleh merancang dan punyai visi yang kuat terhadap apa yang diinginkan didalam kehidupan. Insyaallah visi akhirat juga akan menjadi semakin jelas dan bertambah keimanan seseorang itu dengannya.

Jika kita fahamkan konsep wang itu sendiri, jika wang berkenaan benar-benar milik kita, maka ia akan kembali semula kapda kita dengan jalan yang kita tidak sedari, kerana apa? Kerana Allah itu Maha Adil. Didalam kes suami puan yang mengambil wang dari usaha puan, nasihat saya adalah dengan bersabar dan menggunakan cara yang terbaik untuk menasihati suami agar berusaha menjadi insan yang lebih baik. Selain dari doa, galakkan beliau membaca atau belajar ilmu mengenai motivasi diri, keusahawanan malah begitu juga dengan kursus-kursus ilmiah Islam.

Allah tidak akan mengubah manusia itu jika dia sendiri tidak mahu berubah, dan kita juga patut berusaha untuk mengubah insan yang kita sayangi itu dengan membantu mereka berubah. Perubahan pula bermula dari dalam iaitu dari pemikiran dan melalui pembacaan atau pembelajaran barulah pemikiran baru akan terbentuk dan bentuk kehidupan yang baru juga akan menyusul. 

Lelaki itu tinggi dengan egonya dan jika dia masih berfikiran yang sama maka akan tersinggung hatinya dengan teguran kita itu walaupun niat kita baik, maka cara yang paling baik adalah berdoa dan mencuba "pujukan halus" agar beliau mahu belajar ilmu-ilmu baru lantas mempunyai pemikiran yang baru, Insyaallah.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Sabtu, 17 April 2010

Mengapa Tuhan Tidak Jadikan Semua Manusia Baik-Baik Belaka?

Misha bertanya;

salam..saya ada persoalan yang saya sebenarnya takut nak bertanya. tapi makin saya tak tanya makin saya sakit kepala memikirkannya. saya sudah 3 bulan kebelakangan ini mula membaca terjemahan alquran..bagaimanapun terdetik di fikiran saya soalan ini. mengapakah tuhan tidak jadikan semua manusia di dunia ini baik-baik belaka? saya telah cuba mencari jawapan nya dgn sentiasa berbaik sangka dgn tuhan tetapi persoalan itu sentiasa menghantui saya juga..saya mohon istighfar selalu kepada Allah tetapi jika ada penerangan untuk menerangkan kepada saya mungkin dgn ayat quran lain atau hadis atau apa2 saja lah untuk saya dapat membuka hati saya dan menerimamya saya sgt bersyukur..sementelah saya insan yang penuh dosa bila bertanya begini tetapi saya tak tahu kpd siapa lagi mahu sya bertanya kerana rasa malu dan takut kpd azab dan balansan Allah, nauzubillah.Tkasih sekiranya dapat dijawap. jazakallah.

Jawapan saya;

Persoalan saudari ini berkait juga dengan pertanyaan para malaikat kepada Allah SW tatkala Allah SW mahu mencipta manusia (Nabi Adam AS) padahal manusia itu akan melakukan kerosakan dimuka bumi. Allah SW membalas pertanyaan para malaikat dengan berfirman;
"Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya" (Surah Al Baqarah 2:30).
Merujuk kembali kepada persoalan saudari mengapa Allah tidak menjadikan semua manusia didunia ini baik-baik belaka adalah kerana Allah maha berkuasa dan amat mengetahui apa yang terbaik untuk golongan manusia itu sendiri. Ini berbalik kepada persoalan tujuan sebenar Allah SW menjadikan manusia itu. Tidak lain tidak bukan adalah supaya menyembahNya,
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu (Surah Azzariyat 60:56).
Didunia ini jugalah merupakan ujian bagi setiap umat manusia itu,
Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) (Surah Al-Mulk 67:2)

dan tidak ada ujian jika apa yang dialami oleh manusia itu semua baik-baik belaka. 

Baik dan buruk hanyalah label yang diberikan oleh seseorang mengikut jaringan neuron yang terbina didalam otak melalui pengalaman lalu, contohnya, bagi pemandu yang keretanya rosak mungkin rosaknya kereta itu sesuatu yang buruk akan tetapi bagi penarik kereta tunda itu adalah rezeki, lazimnya apabila pemikiran hanya terhad kepada apa yang dilihat maka amat bersedihlah akan diri pemunya kereta dan bersedih dan bertanyalah kepada dirinya mengapa dirinya ditimpa malang sedangkan mungkin Allah merosakkan keretanya disitu supaya dia tidak akan terbabit dengan kemalangan ngeri jika dia terus memandu, ini yang saya maksudkan dengan bersangka baik dengan Allah.

Inilah janji Allah yang mana setiap manusia itu akan diuji dengan susah dan senang sebagai cubaan,

Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. (Surah Al Anbiya 21:335)
Masalahnya manusia bertindak seolah-olah dia akan hidup selama-lamanya dan tidak akan merasai mati, jadi mereka leka dan tertarik dengan nikmat dunia hingga menimbulkan kerosakan dimuka bumi. Hanya mereka yang hidupnya kerana Allah sahaja yang selamat dunia dan akhirat dan inilah lafaz yang dikumat-kamitkan didalam doa iftitah selepas takbir yang pertama didalam solat.
Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Surah Al-Anaam 6:162).

Malangnya berapa ramai yang khusyuk didalam sembahyang dan faham apa yang dikumat-kamitkan? Apabila tidak faham maka maknanya itu tidak memberi erti kepada mereka yang solat dan makin jauh dan terpesonglah hidupnya dari jalan yang sebenar iaitu hanya kerana dan untuk Allah.

Tidak perlu risau mengapa ramai mereka yang jahat, yang paling utama kita sendiri harus menambah iman kepada Allah dan dengan kepercayaan yang penuh kepada Allah bahawa Dia sahajalah pelindung bagi kita, insyaallah orang jahat akan senantiasa dijauhkan dari diri kita.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Jumaat, 16 April 2010

Didiskriminasi Di Tempat Kerja

Ain bertanya;
assalamualaikum wbt..
saya salah seorang fresh graduate dr ipta tempatan dan baru sahaja ingin membina kerjaya setelah sekian lamanya menuntut ilmu..alhamdulillah..saya telah pun bekerja sebagai programmer di sebuah company swasta..tetapi saya kurang selesa berada di sini..kebanyakan dari mereka adalah chinese dan sudah menjadi lumrah orang melayu akan didiskriminasikan..tambahan lagi rakan sekerja dalam department saya semuanya lelaki..membuatkan saya lebih tidak selesa..saya buntu sekarang..kerja sekarang ssh nk dpt..terutamanya kerja kerajaan..nak berniaga sendiri pun saya tak tahu mcm mana nk mula..akhirnya saya sendiri xtahu mana arah tuju saya sebenarnya..
Jawapan saya;


Waalaikumsalam. Mengapa melayu didiskriminasikan oleh bangsa lain di bumi mereka sendiri? Ini persoalan buat mereka yang mahu berfikir, akan tetapi dengan budaya ilmu yang semakin kurang dan budaya hiburan, TV, artis lagu dan filem di agungkan, maka "berfikir" itu sendiri menjadi suatu perkara yang aneh dan pelik bagi kebanyakan masyarakat kita.

Katalah anda mahir terhadap satu bahasa komputer yang mana bangsa-bangsa lain ini akan mencari anda untuk mendapat bantuan dari anda, pada pendapat anda adakah anda akan didiskriminasi? Tindakan paling baik untuk sesiapa sahaja yang merasakan dirinya di asing, sindir atau didiskriminasi adalah dengan berusaha memperbaiki diri menjadi seorang yang lebih baik. Baik dari segi akhlak, ilmu berkenaan kerja hinggalah kepada ilmu mengenai hubungan dengan Allah mahupun hubungan sesama manusia. 

Suasana "luar" tidak akan berubah selagi kita tidak mengubah apa yang di"dalam", iaitu didalam diri melalui pemikiran kita. Masalahnya adalah kebanyakan kita apabila sudah dapat ijazah dan mendapat kerja, sudah berpuas hati dan amat jarang untuk memperbaiki diri ketahap yang lebih baik. Jika ada pun hanya jika ianya mudah dan cepat mendapat hasil, sebab itulah wujud pelbagai sistem MLM dan sebagainya yang mahu keuntungan mudah dengan memanipulasikan fikiran manusia dengan ganjaran yang hebat.

Maaf jika saudari bukan dari golongan sebegitu. Jika saudari seorang yang pakar didalam pekerjaan, senantiasa mencari ilmu-ilmu baru untuk lebih memantapkan diri, mahir dalam ilmu perhubungan sesama manusia samada bahasa pertuturan contohnya english, mahir membaca "body language" atau gerak badan, seorang yang peramah, bersopan santun dan sering memberi ucap selamat kepada rakan-rakan yang lain sebelum mereka memberikan kepada saudari, maka usaha yang tinggal hanyalah bersabar dan bersyukur dengan dugaan Allah ini.

Saudari pun menyatakan kerja susah nak dapat jadi dengan diri saudari yang ada kerja tetapi didiskriminasikan, itu bukankah lebih baik dari tidak mempunyai kerja? Bersyukurlah kepada Allah dan tingkatkan usaha untuk memajukan diri dengan ilmu baik untuk kerja, mahupun agama. Minda yang bersyukur akan menenangkan tekanan pada diri dan pada masa yang sama membolehkan otak berfikir dan melihat jalan penyelesaian terbaik untuk setiap permasalahan hidup. 

Mungkin juga kerana semua rakan sekerja adalah lelaki maka Allah telah menyukarkan diri melakukan pekerjaan agar tergerak hati mencari alternatif lain. Berkat doa dari kita juga yang mahukan dijauhkan dosa maka Allah memberi petunjuk agar keluar dari situasi yang tidak baik itu, jadi bersyukurlah kepada Allah diatas apa yang terjadi kerana Allah ingin memberi yang lebih baik untuk saudari. 

Lebih bersyukur kita kepada Allah maka akan dipermudahkan Allah jalan untuk kita lalui. Ingatlah, Allah teramat mampu merencanakan dunia ini agar kebaikan itu akan sampai kepada hambanya yang bersyukur, tetapi bersyukur sahaja tidak cukup jika kita hanya ingin menerima tetapi bakhil untuk memberi. Berilah sesuatu kepada insan lain agar kebaikan itu akan kembali semula kepada kita tanpa kita sedari, baik dari senyuman, ringan tulang membantu baik ditempat kerja mahupun diluar hinggalah kepada bantuan sedekah dengan hati yang penuh ikhlas, dan janganlah berduka cita kerana itu adalah janji Allah kepada hambanya yang berbuat kebaikan (rujuk Surah Ar-Rahman 55:60). Berdoa dan mintalah kepada Allah agar dibuka jalan kearah hidup yang lebih baik, ingatlah bahawa bantuan Allah itu amat hampir cuma barangkali ketidaksyukuran kita sahaja menolaknya.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Isnin, 12 April 2010

Macamana Nak Keluar Dari Riba?

Puan Aziemy berkata...

en helmis,jika kita dah terjebak membuat pinjaman melibatkan riba,macamana nak keluar dari situasi itu?katalah saya ada buat pinjaman untuk membeli sebuah motosikal,kini dalam tahun kedua,ada lagi 3 tahun untuk proses ini berakhir.untuk bertaubat dari dosa akibat riba ini,adakah saya harus berusaha untuk membayar utk 3 thn yg akan datang secara cash?adakah dosa riba itu boleh terhapus atau teruskan membayar setiap bulan hingga tamat kerana telah terlanjur membuat pinjaman dan bertaubat.situasi masa mula2 tu buat pinjaman tu adalah kerana terpaksa.nak beli cash tak ckp duit,takde motor suami susah nak pegi kerja.bagaimana nak selesaikan masalah ini?harap en helmis boleh tolong beri pandangan.terima kasih

Jawapan saya:


Penipulah saya jika saya katakan saya sudah bebas dari riba, malah Nabi telah bersabda bahawa pada akhir zaman, jika seseorang itu berkata dia tidak terlibat dengan riba, wap riba itu sendiri akan terkena kepadanya.

Sudah semestilah langkah pertama adalah dengan bertaubat nasuha dan sedar akan kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan. Perkara riba' ini pada akhir zaman amat susah untuk mengenalinya kerana ianya didalangi oleh Dajjal. Hanya mereka yang cuba berusaha menghampiri Allah sahaja yang akan diberikan "nur" untuk melihat kebathilan itu. Tanamkan niat untuk tidak lagi membeli secara hutang yang tidak berlandaskan Islam, iaitu tiada unsur penindasan, baik yang konvensional ataupun yang berselindung disebalik jual beli ataupun bayaran pentadbiran.

Langkah kedua adalah dengan meningkatan keimanan kita kepada Allah, jika dahulu kita solat berlengah, maka solatlah pada awal waktu. jika dahulu solat tidak khusyuk, maka cuba berusaha untuk khusyuk kearah itu. Jika dahulu bertudung jambul berdada luas, maka perbetullah cara berpakaian agar mengikut apa yang Allah perintahkan. Kesemua perintah ALlah itu sebenarnya hadiah unutuk manusia itu sendriri, cuma disebabkn kita tidak boleh melihatnya dengan segera maka kita menjadi lalai dan hanya hilang ketakwaan kita kepad Allah, sedangkan dari ketakwaan itulah datangnya rezeki yang tidak disangka-sangka seperti maksud ayat seribu dinar, bukannya dengan menggantungkan ayat itu dan berpeluk tubuh menunggu datangnya pertolongan Allah.

Langkah ketiga adalah dengan berusaha mengumpul wang seberapa mampu untuk membayar balik hutang berlandaskan riba' itu. Memang rata-rata umat Islam akan berkata, kalau hidup cukup makan sahaja macamana nak kumpul wang? Jawapan saya cuba bermuhasabah diri dan membuat pembentangan perbelanjaan harian dan bulanan. Catitkan kesemuanya kemana wang kita pergi dan cuba pastikan apa perbelanjaan sia-sia yang boleh dipotong, satu contoh yang saya boleh nampak adalah satelite TV dan bagi suami mungkin rokok. Walaupun beberapa puluh sahaja sebulan akan tetapi jika dikumpul-kumpulkan, sekurang-kurangnya boleh membayar balik pinjaman, dalam contoh saudari hutang motor suami mungkin seawal 6 bulan dari tempoh sebenar.

Sekurang-kurangnya kita menunjukkan kepada Allah yang kita telah melakukan usaha untuk lari dari riba dan Allah yang lebih hampir dari urat leher kita sendiri akan menghampiri kita 10 langkah lebih dari kita sendiri jika kita berusaha mendekatiNya, iaitu dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk meninggalkan laranganNya. 

Langkah keempat adalah dengan memperbanyakkan sedekah, mungkin ramai yang akan berkata "kalau duit nak bayar hutang pun tak ada macamana nak bagi sedekah?". Ini berbalik kembali kepada keimanan kita, sebab rata-rata manusia beriman dan menerima Allah itu tuhan yang esa, tetapi rata-rata juga tidak percaya yang Allah itu maha pemurah, maha adil dan sebagainya. Bukti sangat jelas yang mana manusia lebih takutkan polis atau BPR dari Allah sendiri. Sedekah tidak semestinya beribu-ribu, ratus atau puluhan ringgit, yang paling utama adalah ikhlas dan Allah tahu apa ada didalam isi hati kita. 

Jika kita fahami perkara buruk disebalik riba' itu sendiri, kita akan dapati riba' itu bukan sahaja kita menindas diri sendiri malah menindas insan-insan lain dengan membantu mencairkan nilai wang. Disebabkan nilai wang itu tidak terletak didalam wang itu sendiri seperti emas dan perak, maka nilainya boleh dimanipulasikan oleh pihak tertentu. Sebab itulah inflasi adalah suatu yang tetap didalam ekonomi kerana setiap tahun barang semakin mahal, hakikatnya nilai wang itu sendiri yang menyusut.

Dengan mengambil pinjaman, bank dengan senang lenangnya mencipta wang baru, lebih banyak wang akan berada didalam kitaran maka lebih cairlah nilai wang tersebut, jika 5 tahun lepas dengan 1 ringgit kita boleh menikmati nasi lemak dengan telur goreng, sekarang hanya nasi lemak kosong sahaja, maka kita yang meminjam 5 tahun lepas sebenarnya terlibat sama menyusahkan diri sendiri dan juga insan lain.

Cara untuk mem"bayar" balik kejahatan kita itu adalah dengan lebih ringan tulang membantu sesama manusia. Sedekah itu yang pertama dan seterusnya adalah dengan mengurangkan kesusahan insan lain. Dari memberi senyuman, berkongsi ilmu hinggalah membuang halangan dijalanan, ini semua adalah contoh-contoh kecil yang dianggap remeh akan tetapi tetap dicatit oleh malaikat dibahu kanan kita. Walaupun mungkin pahalanya sebesar zarah, moga dengan usaha kita ini sedikit demi sedikit boleh mengurangkan dosa kita bergelumang dengan riba'.

Langkah kelima pula adalah dengan berusaha mempastikan kita tidak menyokong mereka yang menyebabkan ekonomi ikut riba' ini berleluasa. Sebarkan maklumat mengenai keburukan riba' itu agar lebih banyak rakan-rakan lain yang masih lena bangun dari tidur yang panjang itu. Diakhirat nanti golongan ini akan cuba lari dari perhitungan Allah dan mereka barangkali akan memberi alasan "mereka yang pangkah aku", maka ketika itu apa yang kita nak jawab?

Mungkin ada lagi langkah-langkah lain yang boleh dikongsi oleh rakan-rakan. Yang penting sekali adalah niat dan Allah maha mengetahui apa yang ada didalam hati kita. Insyaallah, bantuan Allah itu sentiasa hampir, cuma mungkin dengan sikap ketidak syukuran kita itu sahaja yang menolaknya.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Sabtu, 10 April 2010

Sedih Tiada Dipeduli Dan Diperlukan

Dari saudari Siti;

assalamualaikum sdr Hilmi
Perasaan saya ada ketikanya terasa sedih kerana seolah-olah tiada dipedulikan dan diperlukan. Bagaimana untuk mempunyai minda yg lebih positif?
Jawapan saya;

Cara untuk mempunyai minda yang lebih positif adalah dengan mengubah perspektif kita terhadap diri dan kehidupan kita sendiri, bersangka baik kepada Allah pada pendapat saya adalah "penawar" yang paling mujarab jika manusia berani mengambilnya, akan tetapi ianya amat sukar bagi mereka yang sudah di acu dari kecil dengan pemikiran yang kita terlalu lemah, segalanya adalah takdir dan hanya menjadi mangsa keadaan, walaupun tanpa mereka sedar diri mungkin mereka sendiri yang mecipta "takdir" dan keadaan tersebut.

Jika saya menulis didalam blog ini berkenaan cerita hidup seharian saya, baju apa saya pakai, apa saya makan, apa saya buat hari ni, berjalan kemana, apa perasaan saya dan sebagainya, agaknya adakah ianya akan dipedulikan oleh orang lain?

Disebabkan saya menulis mengenai bagaimana untuk menolong manusia lain dengan memberi corak pemikiran baru serta berkongsi idea-idea, fakta-fakta ilmu dan kaitannya dengan Islam, maka blog saya ini menjadi suatu yang diambil peduli dan diperlukan oleh manusia lain, nampak tak perbezaannya?

Segalanya adalah dari kita sendiri, semuanya bermula dari dalam iaitu dari minda dan kemudiannya menjadi perbuatan, tingkahlaku dan realiti hidup kita ini. Untuk mengharapkan keadaan luar berubah dan baru kita boleh berubah adalah pemikiran mereka yang lemah walhal Allah telah mengangkat kita manusia sebagai khalifah dan Allah telah melengkapkan kita dengan kekuatan utama iaitu akal, malang sekali amat jarang manusia menggunakannya dan hanya menjadi "pak turut" apa yang di sogok oleh budaya, persekitaran dan yang paling utama sekali media contohnya TV dan filem. 

Untuk menjadikan diri kita dipeduli dan diperlukan maka kita harus memberi terlebih dahulu dan mereka yang memberi itulah yang akan dipermudahkan jalan kepadanya oleh Allah (rujuk surah Al-Lail 92:5-7). Teramat banyak yang boleh diberikan oleh manusia untuk kebaikan insan lain yang mana akan membuatkan dirinya menjadi penting, dipeduli dan diperlukan, contohnya berkongsi ilmu, memberi senyuman, ringan tulang dengan sentiasa bertanya kepada rakan ada apa yang boleh dibantu jika kita sudah menyiapkan kerja kita, buatkan air untuk rakan jika kita mahu ke pantri untuk membuat air untuk kita. Ini hanyalah contoh-contoh mudah yang mana adakalanya kita tidak mahu memulakan hanya kerana insan lain tidak melakukannya untuk kita.

Mungkin sebab itu jugalah mereka yang hanya mehu mengambil dan tidak mahu memberi itu dipermudahkan juga jalannya oleh Allah, bukan jalan kesenangan akan tetapi jalan kesusahan dan kesengsaraan (Rujuk surah Al-Lail 92:8-10). Segalanya bermula dari diri sendiri dan apa yang kita lakukan itulah yang akan berbalik kepada diri kita sendiri (rujuk surah Al Rahman 55:60).

Muncul persoalan bagaimana untuk mempunyai kuasa mengubah cara pemikiran? Jawapannya adalah dengan senantiasa menjadi pemerhati yang hebat terhadap apa yang kita fikirkan pada setiap ketika dan melatih diri untuk mempunyai kuasa mutlak memikirkan apa yang mahu difikirkan dan bukan di pilih oleh nafsu (pada pendapat saya ianya dari ketagihan kimia emosi oleh sel-sel kita sendiri) dengan khusyuk didalam solat.

Mempunyai corak pemikiran yang sama akan tetapi mengharapkan keputusan yang berbeza adalah perbuatan sia-sia, jadi ubahlah cara pemikiran agar kita mendapat keputusan yang sejajar dengan corak pemikiran baru tersebut, insyallah.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Isnin, 5 April 2010

Mencari Siapa Diri Saya Sebenarnya?

Saudara Abdul Aziz bertanya;

Saya masih mencari siapa diri saya sebenarnya? Sepertimana dalam artikel saudara 'saya' yang mana. Sedang mengkaji melalui kitab ulama' lama tetapi tiada jawapan yang konkrit yang asasnya kukuh untuk membantu memahami hakikat diri.Kata 'kenal diri baru kenal Allah' Boleh dihuraikan dan pandukan saya ke rujukan muktabar agar dapat saya teruskan pencarian saya. Saya juga menulis di blog tetapi tidak dapat menyingkap walau sekelumit ilmuNYA yang tiada pengakhiran ini.. azzraapaja.blogspot.com
Jawapan saya;

Terimakasih kerana sudi bertanya, ilmu berkenaan "saya" ini amat luas dan saya pasti banyak rujukan-rujukan ulung boleh dibuat kepada buku-buku ulamak terbilang. Mungkin agak hairan bagi saudara jika saya katakan, permulanya diri saya memikirkan siapa "saya" didalam tubuh badan manusia itu hasil dari buku-buku olahan barat. Kebanyakan buku-buku barat yang saya baca adalah dari mereka-mereka yang tidak percayakan kewujudan tuhan. Manusia mencari jawapan kepada pelbagai soalan-soalan pelik untuk membolehkan mereka menguasai alam semesta ini. Alhamdulillah saya menemuinya didalam Al-Quran.

Kebanyakan mereka masih tertanya-tanya soalan yang bagi muslim sejati sudah ada jawapannya didalam Al Quran; Siapa diri kita ini? Dari mana kita datang? Kemana kita akan pergi? Apa yang patut kita buat didunia ini? 

Pada pandangan saya, "saya" itu adalah roh yang Allah tiupkan kedalam tubuh badan manusia itu semasa didalam perut ibu lagi. Allah mengangkat manusia sebagai khalifah untuk memimpin semua makhluk baik dari sudut inter atau intra iaitu luaran atau dalaman. Memimpin makhluk-makhluk lain ciptaan Allah baik sesama manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan serta berjuta-juta sel yang membentuk tubuh badan mereka sendiri agar menyembah Allah, membuat kebaikan dan juga tidak melakukan kerosakan dimuka bumi ini.

"Saya" itu hanya menumpang didalam tubuh badan ini dan tubuh badan ini hanyalah alat untuk kita menjalani kehidupan yang sementara ini. Segala kelebihan yang diberikan juga adalah amanat yang amat perlu dijaga, contohnya kekuatan atau kecantikan tubuh badan itu, adakah ianya digunakan untuk menindas atau menggoda? Hanya mereka yang benar-benar beriman dan menggunakan frontal lobe otaknya sahaja yang tahu menggunakan alat pinjaman ini dengan sebaik-baiknya. Seluruh kehidupan mereka akan berkisar dengan keutamaan memberi "makan" kepada roh mereka dan bukannya lebih mementingkan makanan kepada tubuh badan mereka sendiri sepert yang berlaku pada umat akhir zaman ini.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Soal Jawab SyurgaDiDunia © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO