Khamis, 26 Ogos 2010

Tiada Tuhan, Semua Hanya Sains

Syafiq bertanya;
salam tuan.saya syafiq masih menuntut di unversiti..saya ada kawan perempuan islam yang sudah terpesong jauh dari landasan agama Islam..malah dia tidak mempercayai langsung tiadanya tuhan atau pencipta alam dan makhluk.yg dia percaya sekarang adalah semua penciptaan adalah dr teori sains semata2..apakah pendapat dan cadangan tuan utk kita sama2 menyelamatkan saudari kita ini?
Jawapan saya;

Memandangkan rakan saudara itu percayakan sains, maka semakin mudahlah untuk mendekatkan dirinya kepada Allah. Sains memberi banyak kebaikan dan kelebihan kepada manusia akan tetapi prinsip sains yang bersifat empirikal iaitu fakta hanyalah dari pemerhatian ujikaji dan bukan dari sesuatu yang ghaib menyebabkan ramai yang menolak tuhan itu sendiri kerana tuhan tidak boleh dilihat, diukur, dikaji dan sebagainya.




Disebabkan rakan saudara ini percayakan sains maka mari kita mengambil pendekatan sains mengenai penciptaan alam semesta itu sendiri. Hasil dari pemerhatian Edwin Hubble terhadap galaksi-galaksi diangkasa yang semakin menjauhi sesama sendiri, para saintis mengemukakan teori asal kewujudan dunia ini dengan apa yang dinamakan Teori Big Bang yang mana hasil dari perkiraan mereka, kira-kira 13.7 billion tahun dahulu, dunia ini berasal dari satu titik dan terjadi letupan yang mana dari pada saat itu alam semesta ini berkembang hinggalah menjadi galaksi, matahari, bulan dan planet-planet termasuklah yang kita diami sekarang ini iaitu bumi.

Sungguh hebat ahli saintis ini yang mana dengan pemerhatian dan perkiraan mereka itu, mereka mampu mengemukakan teori yang diterima pakai oleh seluruh umat saintis secara khususnya dan umat manusia secara amnya. Manusia semua percaya pada saintis diatas kredibiliti mereka maka ianya tidak lagi suatu yang didebati. Bagaimana jika teori big bang ini telah pun disampaikan kepada umat manusia 1400 tahun yang lalu oleh seorang penghuni padang pasir (Nabi Muhammad SAW) yang tidak tahu menulis dan membaca? Adakah manusia akan mempercayainya?




Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Surah Al-Anbiya 21:30
Jika manusia menolak Allah SW sebagai pencipta dunia ini, maka mereka tergolong didalam golongan kafir, dan ayat Allah diatas secara langsung Allah SW tujukan kepada mereka dengan berfirman "Tidakkah orang-orang kafir memikirkan...". Jika manusia hanya berfikir dan membuat keputusan melalui apa yang hanya kelihatan (empirikal sains), maka keputusan yang mampu mereka capai amatlah terbatas, malah konsep ketentuan fizik klasik yang mana segalanya boleh ditentukan melalui perkiraan tidak lagi boleh diterima pakai didalam dunia yang kecil ghaib yang tidak kelihatan iaitu dunia atom.


Al-Quran bukanlah buku sains akan tetapi buku "sign" iaitu buku yang menceritakan tanda-tanda kekuasaan Allah SW sebagai tuhan sekalian alam. Kaji sains dan kaji Al-Quran, barulah dapat melihat dunia ini dengan lebih menyeluruh. Bak kata Albert Einstein pada tahun 1941;
Science without religion is lame, religion without science is blind.

Sains tanpa agama tidak sempurna/cacat/lemah, agama tanpa sains adalah buta Berpesanlah dengan kebenaran dan dengan kesabaran, akan tetapi jika ianya tidak berhasil maka ketahuilah bahawa Allah SW jualah yang mengetahui apa yang terbaik. Hanya doalah yang sebaik-baiknya agar mereka ini berubah.

Kemudian, kalau mereka tidak dapat menerima cabaranmu (wahai Muhammad), maka ketahuilah, sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu mereka dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayat petunjuk dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan kepada kaum yang zalim (yang berdegil dalam keingkarannya)(Al-Qasas 28:50).


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Selasa, 24 Ogos 2010

Sering Cemburu Rakan

Sadgurlz bertanya;
assalamualaikum,sy seorg pljr,sy mempnyai mslah untk bljr,sy sring cmburu dgn kwn sy yg mempnyai klbhan diri,sbnrnya sy tak nak ini semua jadi,tib2 prasaan itu hdr dlm hati sy,jad sy hndk bertny,bgaimana sy hndk menengkan hati say...kdg2 sy rsa sy krg bgus
Waalaikumsalam.


Cemburu wujud apabila seseorang manusia itu terasa terancam dengan kehadiran unsur/insan lain didalam kehidupan mereka, didalam kes saudari mungkin saudari merasakan kekurangan yang ada pada diri saudari akan menyebabkan saudari sukar untuk menjalani kehidupan dimasa depan, contohnya jika kurang pandai maka mungkin akan tidak mendapat keputusan yang baik didalam pengajian yang mana akan menyebabkan kesukaran untuk mendapat pekerjaan. Jika kurang cantik pula maka ketakutan akan sukarnya mendapat bakal suami pula akan menjadi mainan minda yang mengganggu kehidupan seharian.

Allah memberikan manusia frontal lobe (bahagian depan otak) untuk membolehkan manusia melihat masa depan, merancang tindakan masa kini untuk kebaikan masa depan, namun begitu jika kita menggunakannya untuk melihat kesan buruk pada masa depan, ini menyebabkan kita menjadi tertekan. Tetapi mengapa manusia tertekan dan lantas menyebabkan sifat lain seperti risau dan cemburu timbul? Jawapannya adalah kerana manusia tidak lagi percaya yang Allah itu maha pemurah, maha adil dan tidak sekali-kali akan menganiaya hambaNya.

Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu) dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar. (Surah An-Nisa 4:40)

Tidak perlu cemburu kepada rakan yang lain atas pencapaian mereka kerana Allah SW menciptakan manusia untuk bekerjasama dan tolong menolong sesama mereka dan bukan untuk bersaing. Budaya bersaing ini wujud dari sistem pendidikan barat yang berasaskan Teori Evolusi Darwin yang menyatakan hidup ini persaingan, sedangkan jika dilihat dari sudut komuniti sel-sel didalam tubuh badan kita, mereka semua hidup dengan harmoni bekerjsama untuk membolehkan kita hidup. Begitu juga dengan manusia, jika kita bersaing (tertipu dengan pemikiran barat) maka sebab itulah dunia kini semakin teruk secara keseluruhannya baik dari segi ekonomi, sosial mahupun alam sekitar.

Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat dia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Luh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan). (Surah Hud 11:6)

Setiap manusia itu telah tersedia rezekinya oleh Allah SW akan tetapi manusia itu sendiri perlu berusaha untuk mendapatkannya, tiada rezeki yang datang bergolek, perlu dengan usaha dan usaha memerlukan tenaga. Akan tetapi usaha dan tenaga yang diberikan itu perlulah dengan kesungguhan dan keikhlasan. Umpamanya jika belajar perlulah dengan ikhlas dan penumpuan yang sepenuhnya. Akan tetapi jika kita tidak juga mendapat keputusan yang baik, maka ketahulah kita hanya merancang (untuk mendapat keputusan yang baik) akan tetapi Allah jualah perancang yang paling hebat. Allah SW tahu apa yang terbaik untuk kita. Rezeki datang dari Allah dan bukan dari sijil, dan jika kita tempekkan kenyataan ini diminda maka tiada apa yang perlu dirisau atau dicemburukan. (Rujuk artikel Vaksin Kemurungan)

Untuk mengubah apa yang diluar (kehidupan) kita harus ubah dulu apa yang didalam (pemikiran), fizik kuantum membuktikan bahawa minda manusia mempengaruhi kehidupan mereka, ianya bergantung kepada apa yang difokuskan oleh manusia itu dalam hidup sehari-harinya. Akan tetapi mengapa pemikiran negatif sering terngiang-ngiang dikepala? Jawapannya adalah kerana kita telah terlalu lama membiarkan emosi berfikir untuk kita, berfikir ikut rasa, sel-sel tubuh yang sudah bertahun-tahun dihujani kimia emosi negatif sudah ketagih akan kimia yang sama dan ianya menjadi pusingan rutin agar otak merembeskan kimia yang sama untuk memenuhi ketagihan sel-sel didalam tubuh badan kita. (Rujuk artikel Berfikir Ikut Rasa)

Untuk menghentikan "loop" atau pusingan ini, manusia itu sendiri mestilah menjadi tuan kepada pemikiran mereka, dan ini memerlukan latihan, apakah latihannya? Jawapannya solat yang khusyuk, apabila kita boleh latih minda untuk fokuskan pada bacaan dengan memahami maknanya serta sedar akan gerakan-gerkan yang dibuat didalam solat, maka tidak secara langsung kita berlatih menjadi tuan kepada minda kita. Acapkali kebanyakan manusia melayang fikirannya ketika solat, kerana apa? kerana mereka melayani bisikan-bisikan sel-sel mereka yang ketagihnya kimia emosi tertentu dari otak, apa yang kebanyakan kita menggelarkan ianya nafsu. Nafsu bukan setakat syahwat, nafsu untuk marah, untuk risau, untuk murung, semua itu mempunyai mekanisme fisiologi yang sama didalam tubuh badan manusia.

Apabila kita menjadi tuan kepada pemikiran sendiri, maka kita akan lebih mempunyai kuasa untuk fokuskan kepada kebaikan dan juga nikmat-nikmat yang Allah SW telah berikan kepada kita dan bukan kekurangan, maka ini yang akan membuatkan kita tenang, inilah apa yang dikatakan bersyukur. Imbasan otak mereka yang bersyukur juga menunjukkan perubahan yang ketara antara mereka yang sering bersyukur dan tidak. Sebab itu kita perlu solat fardhu 5 kali sehari dan lebih baik disertakan dengan solat sunah. (Rujuk artikel Mengapa Perlu Solat).

Berusahalah untuk membaiki diri sendiri, semuanya bermula dengan sikap diri kita sendiri terhadap kehidupan, cara saudari menaip soalan juga sedikit sebanyak menceritakan serba sedikit mengenai diri saudari. Cemburu itu perlu didalam kehidupan akan tetapi bukan untuk membuatkan kita bersikap negatif terhadap insan lain sebaliknya bersikap positif untuk menjadi rujukan setakat mana kekuatan usaha kita sendiri. Berusahalah dengan ikhlas dengan komitmen yang tinggi dan biarkanlah keputusannya kepada Allah SW untuk memberikan apa yang kita mahu atau sebaliknya, ini yang dinamakan taqwa, maka apa janji Allah SW buat mereka yang bertaqwa? Fahamilah ayat seribu dinar yang banyak digantung kedai-kedai makan atau pun dirumah-rumah, insyaallah hati akan semakin tenang apabila memahaminya.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Jumaat, 6 Ogos 2010

Cara Hormat Jiran Ikut Islam

Saudara Azhar bertanya;
bagaimanakah hendak menghormati jiran tetangga mengikut sistem islam sebenar?
Jawapan saya;

Definasi mengikut cara islam sebenar hanyalah apabila ianya berlandaskan Quran dan sunah. Jadi untuk menjawab persoalan saudara ini maka wajiblah kita merujuk kepada dua bahan rujukan tersebut.
Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri. Surah An-Nisa 4-36
Berbuat baik dan menghormati adalah dua perkara yang sama tetapi dengan pendekatan yang berbeza, kedua-duanya saling berkait antara satu sama lain, kita tidak boleh hormat tanpa berbuat baik dan sombong dan tidak boleh berbuat baik dan rendah diri tanpa menghormati (kecualilah jika hanya berpura-pura). Kedua-duanya adalah tingkahlaku yang seiringan. Akan tetapi setakat mana mesti kita berbuat baik dan menghormati jiran itu? jawapannya terletak pula didalam hadis Nabi SAW;
Anas b. Malik meriwayatkan, Nabi SAW menyatakan: Kamu yang benar-benar beriman adalah mereka yang menyayangi saudara atau jiran mereka sepertimana mereka menyayangi diri mereka sendiri. Sahih Muslim Book 1, hadis 72)
Rasa hormat dan keinginan untuk berbuat baik tidak akan datang tanpa rasa kasih dan sayang, berdasarkan hadis Nabi SAW diatas maka jika kita dapat memupuk rasa kasih dan sayang tersebut terhadap mereka yang dikeliling kita yang mana didalam kes ini adalah jiran, sepertimana kita mengasihi dan menyayangi diri sendiri, maka barulah konsep kejiranan itu akan boleh dipupuk mengikut nilai Islam sebenar. Hormat jiran sepertimana kita menghormati diri dan juga keluarga kita sendiri baik dari segala sudut termasuklah tidak memperlekehkan apa sahaja pemberian dari mereka.
Diriwayatkan oleh Abu Huraira; Nabi SAW bersabda, "Wahai kaum muslimah! Janganlah kamu memandang rendah akan pemberian jiran kamu walaupun ianya hanyalah kaki kuku kambing" Sahih Bukhari Buku 73, hadis 46.
Tetapi mengapa jiran itu amat penting didalam kehidupan dari pandangan Islam, asas masyarakat yang aman dan makmur adalah datangnya dari wanita yang menjadi asas kebahagian keluarga, dengan anak yang dilahirkan, diasuh, dididik dengan penuh kasih sayang serta diberi makan dengan makanan yang berkat dan berkhasiat hasil dari tangan mereka sendiri maka anak-anak pendokong generasi akan datang akan terdiri dari mereka yang berhemah, sihat dan sebagainya. Apa jadi pada generasi yang terabai baik dari segi penjagaan hinggalah kepada pemakanan keluaran kilang yang penuh dengan kimia dan sebagainya? Sebab itulah wanita (ibu) perlu dihormati 3 kali lebih dari lelaki (bapa) disebabkan oleh kritikalnya fungsi mereka didalam keluarga secara khususnya dan pada masyarakat secara keseluruhannya, akan tetapi pada pendapat saya hala tuju kaum wanita hari ini semakin hari semakin lari dari tugas yang diperintahkan oelh Allah SW kepada mereka. Lihat dari perbezaan fizikal dan biologi antara lelaki dan wanita jelas terbukti perbezaan fungsi tersebut akan tetapi dengan dunia akhir zaman yang penuh dengan muslihat ini, hanya segelintir sahaja yang mampu berfikir, sedar dan nampak funsgi sebenar mereka didunia ini.
Demi Yang menciptakan (makhluk-makhlukNya) lelaki dan perempuan, (jantan dan betina); Sesungguhnya amal usaha kamu adalah berbagai-bagai keadaannya. (Surah Al-Lail 92:3-4)

Selepas terjaganya keluarga, tahap seterusnya adalah jiran, baik jiran yang dekat mahupun jiran yang jauh bak firman Allah didalam surah An-Nisa diatas. Dengan keluarga yang harmoni dan dengan hubungan sesama jiran yang baik maka ianya menjadi asas yang baik untuk masyarakat yang hebat dan seterusnya juga negara yang hebat. Kita hidup didunia ini amat berkait antara satu sama lain dan apa sahaja suruhan dan larangan Allah SW itu berdasarkan dari asas tersebut. Kita telah terlena dengan helah bahawa kita tiada kena mengena dengan orang lain, malah masih diajar disekolah hari ini teori evolusi yang menyatakan manusia itu terhasil dari mutasi rawak genetik dan hidup perlu berusaha keras untuk mempastikan selalu ditangga atas untuk kekal hidup sedangkan evolusi itu sendiri adalah berdasarkan spesis yang terhebat dan bukan individu yang terhebat, kemajuan spesis amat penting melebihi kemajuan individu perseorangan dan bukan sebaliknya. Maka dari situ terhasillah minda persaingan siapa yang terhebat, siapa yang terkaya, siapa yang punyai rumah paling mahal ubahsuainya dan sebagainya dan itu sendiri mengikis konsep berbuat baik dan menghormati jiran didalam Islam.

Hidup itu adalah kerjasama, tanpanya kehidupan didunia ini tidak akan bermakna. Kita semua saling memerlukan antara satu sama lain dan mereka yang paling hampir selepas keluarga adalah jiran. Hormatilah jiran sebegaimana kita menghormati keluarga kita sendiri dan juga sebagaimana kita mahu diri kita dihormati. Apa yang kita lakukan kepada insan lain adalah untuk diri kita sendiri dan itulah janji Allah SW (Surah Al-Isra 17:7).


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Soal Jawab SyurgaDiDunia © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO