Khamis, 26 Ogos 2010

Tiada Tuhan, Semua Hanya Sains

Syafiq bertanya;
salam tuan.saya syafiq masih menuntut di unversiti..saya ada kawan perempuan islam yang sudah terpesong jauh dari landasan agama Islam..malah dia tidak mempercayai langsung tiadanya tuhan atau pencipta alam dan makhluk.yg dia percaya sekarang adalah semua penciptaan adalah dr teori sains semata2..apakah pendapat dan cadangan tuan utk kita sama2 menyelamatkan saudari kita ini?
Jawapan saya;

Memandangkan rakan saudara itu percayakan sains, maka semakin mudahlah untuk mendekatkan dirinya kepada Allah. Sains memberi banyak kebaikan dan kelebihan kepada manusia akan tetapi prinsip sains yang bersifat empirikal iaitu fakta hanyalah dari pemerhatian ujikaji dan bukan dari sesuatu yang ghaib menyebabkan ramai yang menolak tuhan itu sendiri kerana tuhan tidak boleh dilihat, diukur, dikaji dan sebagainya.




Disebabkan rakan saudara ini percayakan sains maka mari kita mengambil pendekatan sains mengenai penciptaan alam semesta itu sendiri. Hasil dari pemerhatian Edwin Hubble terhadap galaksi-galaksi diangkasa yang semakin menjauhi sesama sendiri, para saintis mengemukakan teori asal kewujudan dunia ini dengan apa yang dinamakan Teori Big Bang yang mana hasil dari perkiraan mereka, kira-kira 13.7 billion tahun dahulu, dunia ini berasal dari satu titik dan terjadi letupan yang mana dari pada saat itu alam semesta ini berkembang hinggalah menjadi galaksi, matahari, bulan dan planet-planet termasuklah yang kita diami sekarang ini iaitu bumi.

Sungguh hebat ahli saintis ini yang mana dengan pemerhatian dan perkiraan mereka itu, mereka mampu mengemukakan teori yang diterima pakai oleh seluruh umat saintis secara khususnya dan umat manusia secara amnya. Manusia semua percaya pada saintis diatas kredibiliti mereka maka ianya tidak lagi suatu yang didebati. Bagaimana jika teori big bang ini telah pun disampaikan kepada umat manusia 1400 tahun yang lalu oleh seorang penghuni padang pasir (Nabi Muhammad SAW) yang tidak tahu menulis dan membaca? Adakah manusia akan mempercayainya?




Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Surah Al-Anbiya 21:30
Jika manusia menolak Allah SW sebagai pencipta dunia ini, maka mereka tergolong didalam golongan kafir, dan ayat Allah diatas secara langsung Allah SW tujukan kepada mereka dengan berfirman "Tidakkah orang-orang kafir memikirkan...". Jika manusia hanya berfikir dan membuat keputusan melalui apa yang hanya kelihatan (empirikal sains), maka keputusan yang mampu mereka capai amatlah terbatas, malah konsep ketentuan fizik klasik yang mana segalanya boleh ditentukan melalui perkiraan tidak lagi boleh diterima pakai didalam dunia yang kecil ghaib yang tidak kelihatan iaitu dunia atom.


Al-Quran bukanlah buku sains akan tetapi buku "sign" iaitu buku yang menceritakan tanda-tanda kekuasaan Allah SW sebagai tuhan sekalian alam. Kaji sains dan kaji Al-Quran, barulah dapat melihat dunia ini dengan lebih menyeluruh. Bak kata Albert Einstein pada tahun 1941;
Science without religion is lame, religion without science is blind.

Sains tanpa agama tidak sempurna/cacat/lemah, agama tanpa sains adalah buta Berpesanlah dengan kebenaran dan dengan kesabaran, akan tetapi jika ianya tidak berhasil maka ketahuilah bahawa Allah SW jualah yang mengetahui apa yang terbaik. Hanya doalah yang sebaik-baiknya agar mereka ini berubah.

Kemudian, kalau mereka tidak dapat menerima cabaranmu (wahai Muhammad), maka ketahuilah, sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu mereka dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayat petunjuk dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan kepada kaum yang zalim (yang berdegil dalam keingkarannya)(Al-Qasas 28:50).

Sila Kemukakan Komen Anda

Catat Ulasan

Soal Jawab SyurgaDiDunia © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO