Selasa, 10 Januari 2012

Sains Dan Agama Adalah Musuh - Menjawab Soalan Atheis

Dari Saudara KML;
Saye seorang 'muslim' skeptis yang menuju ke arah ateis agnostik dan terbaca blog serta post kamu yaitu "Tiada Tuhan, Semua Hanya Sains". Tentang "dengan mengetahui sains, dapatlah kite mendekatkan diri dengan tuhan", tidaklah saya setuju. Jadi, saya akan kemukan beberape pendapat dan fakta; Sebagai seorang yang skeptis, saya tidak ingin tidak berfikir atau menyoal lalu mempercayai sesuatu termasuklah agama mahupun ketiadaan tuhan. Maaflah jike bahasa saye kurang sempurna, sedangkan saye lebih suke berbahasa inggeris dalam persuratan. Haraplah kita dapat berbalas pendapat:

A) Sememangnye, kebanyakan perkara yang terdapat dalam Quran adalah kurang jelas dan 'ambiguous'. Contohnya Surah Al-Furqan[25:53](1) yang seolah olah mencadangkan bahawa terdapat 'membrane' di antara laut dan sungai(19)(20). Tentang kandungan bayi dalam rahim ibu, orang greek telahpun mengatakan malah ianya (quran dan greek) salah(2). Selepas mesin ultrasound barulah kite dapat fakta yang tepat dan jelas. Pada pendapat saya, sains dan agama adalah musuh. Walaupun terdapat saintis yang beragama, biasanye, mereka tidak menyoal kepercayaan mereka ataupun mereka akan mencari apa yang berkaitan dengan agame mereka yaitu "Confirmation bias"(7). Contohnye, teori evolusi manusia. Bagaimanakah ia berkongruen dengan kisah adam dan hawa? Sebelum saudara/saudari menyatakan ia hanyalah "pendapat barat", teori itu bukan hipotesis. Terdapat "The law of evolution" yaitu fakta dan"The theory of evolution by natural selection" (3), yaitu penjelasan tentang bagaimana manusia berasal dari binatang primitif. Penjelasan ini sangat didokumentasi dan eksperimen(4)(5) banyak dijalankan malah terdapat bukti empirikal(6)(11) tentangnye. Malah buku sejarah sekolah menyatakan tentang penemuan manusia primitif 250,000(6) tahun dahulu, di Malaysia, di Afrika, dan sebagainya. Jika Al-quran itu mempunyai teori teori dan fakta yang berguna serta sukar untuk diasaskan, mengapakah tiada orang islam yang mengasaskan teori big bang/fakta lain(berdasarkan quran) sebelum orang barat/lain? Saya sangat skeptis tentang muhammad tidak dapat membaca atau menulis. Walaupun begitu, penyair greek Homer, seorang buta, dengan itu, tidak dapat menulis atau membaca tetapi dapat menyair dengan baik.

B) Salah satu teori dari Teori quantum ada menyatakan sesuatu boleh muncul dari ketiadaan(8), kemungkinan boleh membuang 'First cause' untuk dunia ini. Ramai teis akan menggunakan kate einstein "Science without religion is lame, religion without science is blind.". Tetapi, Einstein bukanlah seorang kristian atau seorang yang percaya terhadap tuhan peribadi seperti yang dituntut dalam agama samawi/ibrahim. Malah, Einstein pernah menulis surat mengatakan: "The word god is for me nothing more than the expression and product of human weaknesses, the Bible a collection of honourable, but still primitive legends which are nevertheless pretty childish. No interpretation no matter how subtle can (for me) change this."(9)(10).

C)Tidak masuk akal/logik(12); Konsep tuhan dari agama samawi bercanggah dan mustahil. Soalan seperti "Bolehkah tuhan ingin tidak wujud?" "Bolehkah tuhan mencipta batu yang sangat berat sehingga tuhan sendiri tidak boleh angkat?" "siapakah pencipta tuhan?"(17) boleh menjatuhkan konsep tersebut. Tuhan dalam agama islam sukar sedikit untuk mencari kesalahan/kontradiksi kerana rupa/bentuk kurang jelas diterangkan dalam alquran (Malah, yang sangat jelas diterangkan dengan terperinci adalah neraka) dan bolehlah kite mengadaptasikannye ke arah perkembangan kite seperti teori quantum dan sebagainye(14). Walaupun begitu, kamu tidak boleh membuktikan bahawa "terdapat mangkuk jamban yang terbang mengililingi matahari yang kite tidak dapat ukur kerana ia (terlalu kecil, hilang jike mencari)" salah(13). Jadi lebih baik kite tidak mempercayai mangkuk tersebut ataupun tuhan kerena tiada evidens empirikal/bukti(15). Sebelum kamu menggunakan "wang tidak wujud tetapi kamu percaya", wang sememangnye tidak wujud dalam realiti. Ia hanyalah konsep oleh manusia seperti tuhan. Jika perkara yang kompleks seperti dunia ini memerlukan pencipta, perkara yang lebih kompleks iaitu tuhan terutamanya dari agama samawi/ibrahim hendaklah mempunyai penciptanya mengikut logik tersebut. Dan adakah tuhan terlalu sombong sehingga memikirkan bahawa dia tiada pencipta? Saya bukanlah tidak setuju terhadap 'kepercayaan' atau 'faith', tetapi konsep tuhan. Kebanyakan hujah hujah teis boleh dirumuskan dengan "Kita tidak tahu, oleh itu, tuhan"(18); Hal ini tidak munasabah kerana mungkin terdapat berjuta pembolehubah(variable)/penjelasan lain. Memanglah kita tidak tahu tentang apa yang berlaku sebelum big bang, tetapi spekulasi yang sukar/tidak boleh dibuktikan boleh dibuang atau pepatah kata "What can be asserted without evidence, can be dismissed without evidence"(16).

D)Tidak adil/ikut nasib. Seseorang yang berasal dari Jepun, kemungkinan besar menganut Buddha. Dari britain, kristian. Dari India, Hindu. Dari Iran, islam. Kebanyakan mereka mempercayai agama mengikut ibu-bapa/budaya. Malah, antara sunni, shiah, khawarij, mana yang betul? Islam, kristian, Buddha, Hindu mana satu? Seseorang boleh mengatakan quran itu untuk memperdayakan, anutlah kristian. Seseorang boleh mengatakan kite ini berada di dalam program simulasi dalam komputer seperti 'Matrix'. Dan pelbagai lagi. Tetapi, antara semua tuntutan ini, yang sang serupa adalah ketiadaan evidens, spekulasi dan confirmation bias.

Sampai sini sajalah setakat ini. Maaflah jika saudara kasar bahasa (taknak bosan) :P Harap saudara/saudari dapat mengambil masa untuk memperlihatkan perkara yang saye bentangkan.

Nota:
(1)http://quran.com/25/53
(2)http://www.youtube.com/watch?v=YMT_kNtOTIs
(3)http://www.notjustatheory.com/
(4)http://en.wikipedia.org/wiki/E._coli_long-term_evolution_experiment
(5)http://en.wikipedia.org/wiki/Experimental_evolution
(6)http://en.wikipedia.org/wiki/Archaic_Homo_sapiens (7)http://en.wikipedia.org/wiki/Confirmation_bias
(8)http://scienceblogs.com/startswithabang/2011/02/can_you_get_something_for_noth.php
(9)http://www.guardian.co.uk/science/2008/may/12/peopleinscience.religion
(10)http://www.youtube.com/watch?v=SKt9EgENzGI&feature=related
(11)http://en.wikipedia.org/wiki/Human_vestigiality#Coccyx
(12)http://en.wikipedia.org/wiki/Existence_of_God#Arguments_against_the_existence_of_God
(13)http://en.wikipedia.org/wiki/Russell's_teapot
(14)http://en.wikipedia.org/wiki/God_of_the_gaps
(15)http://en.wikipedia.org/wiki/Occam%27s_razor
(16)http://en.wikipedia.org/wiki/Proof_by_assertion
(17)http://www.update.uu.se/~fbendz/nogod/no_god.htm
(18)http://en.wikipedia.org/wiki/Argument_from_ignorance
(19)http://answering-islam.org/Andy/fallacies.html#point1 or
(20)http://www.faithfreedom.org/articles/quran-koran/refutation-of-the-scientific-miracle-on-the-meeting-of-fresh-and-salt-water-in-quran-revised/
Jawapan saya;

Terlebih dahulu terimakasih kerana telah membaca artikel saya dan terimakasih juga kerana mengemukakan soalan-soalan saudara ini kepada saya. Saya hargai usaha saudara untuk berbahasa Malaysia, moga berkat kepayahan saudara itu nanti dapat memberikan manafaat kepada saudara-saudara kita yang tidak berapa fasih berbahasa Inggeris.

Ilmu termasuklah ilmu sains itu amat luas dan untuk apa pula ilmu tersebut digunakan berbalik semula kepada niat ilmu itu dipelajari. Ada saintis mendalami ilmu nuklear dan berusaha menjadikan ianya sumber tenaga untuk kegunaan manusia, ada pula saintis yang mendalaminya untuk mencipta bom nuklear yang memusnahkan manusia, jadi semuanya bergantung kepada niat ilmu itu dicari. Bagi saudara yang mengkaji ilmu-ilmu sains, perlu saya tanyakan soalan untuk tujuan apa saudara mencari ilmu-ilmu tersebut?


Saudara tentu mahir dengan fizik kuantum dan saudara tentu boleh memahami konsep "creating our own reality", jika ilmu yang saudara cari adalah untuk menidakkan tuhan, sudah pasti itu yang akan saudara lihat dan temui, ibarat perbalahan mengenai photon adakah ianya gelombang atau zarah (wave or particle), ianya bergantung kepada jenis eksperimen yang digunakan untuk mengenal pastinya.


A) Al Quran bukanlah buku "science" akan tetapi ianya adalah buku "sign", iaitu tanda-tanda kekuasaan Maha Pencipta bagi mereka yang mahu berfikir. Didalam Al Quran terdapat ayat yang nyata dan ada ayat yang kurang jelas dan ini dinyatakan oleh Allah SW didalam Surah Al-Imran

Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran. (Surah Al-Imran 2:7)

Ayat-ayat "Mutasyaabihaat" ini yang akan digunakan oleh segolongan manusia untuk memutarkan maksud menurut apa niat mereka. Ini termasuklah golongan yang bencikan Islam. Lihatlah rujukan-rujukan yang saudara berikan, adakah mereka itu mereka yang neutral atau boleh dilihat akan sikap mereka yang bencikan Islam itu sendiri? "Membrane" yang saudara maksudkan berkenaan ayat Surah Al Furqan itu adalah salah satu fenomena alam yang dipanggil Pycnocline. Harap saudara dapat rujuk kelaman ini untuk membaca penjelasan mengenai ayat Surah Al Furqan 25:53 menurut pandangan Islam. Begitu juga ke laman ini untuk membaca mengenai embriologi didalam Al Quran

Kisah Adam dan Hawa sudah tentulah tidak "berkongruen" atau sepadan/sesuai dengan teori evolusi kerana manusia tidak pernah berasal dari monyet. Dari sudut martabat manusia itu sekalipun, saya tidak mahu menerima kenyataan TEORI yang diri saya ini berasal dari monyet. Eksperimen (4) dan (5) yang saudara kemukakan tidak boleh diterima sebagai bukti evolusi kerana apa? Kerana E. Coli tetap E. Coli selepas 50,000 ribu keturunan dan "unicellular organism" yang digunakan oleh Dallinger tetap sebagai satu organisme dan tidak berubah kepada spesis lain hanya kerana perubahan suhu persekitaran. Mutasi adalah mekanisme organisme untuk mengubahsuai diri terhadap persekitaran dan bukan mekanisme untuk menjadi spesis yang lain.

Perlu kita kaji atas dasar apakah ahli-ahli evolusi ini melakukan ujikaji mereka? Pernahkah saudara terfikir yang mereka ini sebenarnya memegang prinsip materialisme iaitu seluruh kehidupan ini berasal dari bahan materi (material) dan dunia ini tiada penciptanya, berdasarkan "dogma" ini maka lahirlah teori dan prinsip-prinsip lain seperti teori evolusi, komunisme, sosialisme mahupun kapitalisme. Niat mereka adalah untuk menolak tuhan dan dari situ bermulalah agenda mereka untuk memperdayakan manusia, lantas mengemukakan bukti-bukti dan eksperimen yang palsu untuk menyokong hujah mereka itu. Ini termasuklah dengan memalsukan bukti-bukti penemuan tengkorak-tengkorak yang kononnya berpadanan dengan proses evolusi yang mereka cadangkan.

Evolusi hanyalah teori dan tidak boleh diambil sebagai "LAW" kerana tidak seperti "Newtonian or Thermodynamic law" yang boleh dibuktikan dimana-mana, sepanjang masa dan boleh diulangi oleh mana-mana makmal sains diseluruh dunia, itu baru "LAW" didalam sains. Eksperimen yang dijalankan oleh Miller untuk mewujudkan satu said amino didalam makmal dilakukan dengan penipuan untuk menyokong teori mereka dan "environment" didalam eksperimen itu tidak sama dengan keadaan dunia berbillion tahun dahulu yang kononnya membolehkan protein terbentuk. Evolusi yang hanya di"imagine"kan dari penemuan fossil-fossil apatah lagi dengan penipuan yang dilakukan tidak boleh diterima sebagai "LAW". Jika hanya dengan fossil membuktikan evolusi, mengapa tiada "intermediate fossil" yang ditemui, malah fossil perubahan dari ikan ke reptilia/dinasour dan dari dinasour kepada burung telah ditipu untuk menguatkan teori itu. Yang peliknya walaupun sedar akan bukti yang dikemukakan adalah penipuan (jika saudara terus membaca artikel dari laman tersebut), ahli evolusi tetap yakin akan proses evolusi tersebut, kerana apa? kerana bukan mata mereka yang buta akan tetapi hati mereka yang telah tertutup dari mengenal Tuhan Maha Pencipta
Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada. (Surah Al-Haj 22:46)
Saya tidak tahulah bagaimana pendirian saudara, bagi saya jika sekali ditipu, saya akan lebih berhati-hati dengan orang atau golongan tersebut, akan tetapi jika dua-tiga kali ditipu lagi maka saya akan terus menolak apa jua pendapat, maklumat atau hujah yang dibawakan oleh mereka. Bagi saudara seorang yang mahir mengenai sains, jika DNA diperlukan untuk membina sel-sel bolehkah suatu yang tidak "conscious" seperti atom-atom tersusun membentuk DNA dengan sendirinya? Sel-sel tidak boleh terbentuk tanpa DNA dan DNA pula amat mustahil untuk tersusun dengan sempurnanya tanpa suatu "consciousness" yang menyusunkannya. Para saintis masih gagal untuk mencipta walau serangkai protein yang mudah dari rangkaian asid amino, bagaimana pula kebarangkalian untuk sejenis rangkaian protein tercipta dari apa yang dipanggil "random mutation", adakah ianya masuk akal? Tidakkah saudara boleh melihatnya?

Saudara boleh rujuk kepada buku Evolution Deceit karangan Harun Yahya yang mengemukakan banyak fakta-fakta tentang bagaimana kehidupan didunia ini "was created" dan bukannya "evolved", begitu juga dengan pembohongan-pembohongan yang telah dilakukan oleh ahli evolusi untuk menegakkan pendirian mereka. Jika ianya bagi saudara terlalu bias kepada Islam, saudara boleh rujuk kepada buku Signature in the Cell oleh Dr. Stephen Meyer yang mana hanya dari sel sahaja terdapat banyak bukti-bukti yang dunia ini "was intelligently designed" (telah dicipta dengan penuh kebijaksanaan).
Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman? (Al Anbiya 21:30)
Tiada orang Islam yang menemui Teori Big Bang adalah kerana ada hikmah disebaliknya, semua itu direncanakan oleh Allah SW. Perhatikan ayat surah diatas, mengapa Allah SW menyatakan "Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan…", telah terbukti ianya ditemui oleh orang kafir dan mengapakah mereka masih tidak beriman? Kerana hati-hati mereka telah buta dari dapat menilai mana yang benar dan mana yang palsu.

Nabi Muhammad SAW sebelum diangkat oleh Allah SW sebagai Nabi telah diberikan gelaran "Al-Amin" oleh penduduk Mekah kerana baginda tidak pernah berbohong. Dizaman baginda lagi ada golongan manusia yang menganggap Nabi Muhammad sendiri yang merekacipta Al-Quran, lantas Allah SW menurunkan ayat berikut untuk menyedarkan mereka;
Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, berkatalah orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami (untuk menerima balasan): Bawalah Quran yang lain daripada ini atau tukarkanlah dia. Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak berhak menukarkannya dengan kemahuanku sendiri, aku hanya tetap menurut apa yang diwahyukan kepadaku sahaja. Sesungguhnya aku takut, jika aku menderhaka kepada Tuhanku, akan azab hari yang besar (soal jawabnya).

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika Allah kehendaki (supaya aku tidak membacakan Al-Quran ini kepada kamu), tentulah aku tidak dapat membacakannya kepada kamu, dan tentulah Dia tidak memberitahu kamu akan Al-Quran ini (dengan perantaraanku); kerana sesungguhnya aku telah tinggal dalam kalangan kamu satu masa yang lanjut (dan kamu pula mengenal aku sebagai seorang yang amanah) sebelum turunnya Al-Quran ini; maka mengapa kamu tidak mahu memikirkannya? Surah Yunus 10:15-16)
Ya, Homer boleh menyair walaupun buta, tidak dapat menulis dan membaca, akan tetapi adakah apa yang disyairkan oleh Homer itu punyai maklumat seperti Big Bang, embriologi, penciptaan hujan dan sebagainya? Maka mengapakah kamu tidak mahu memikirkannya?.

B) Terimakasih kerana memberikan kepada saya pautan kepada laman yang menceritakan suatu boleh terhasil dari ketiadaan yang mana eksperimen telah pun dilakukan oleh para saintis untuk membuktikannya, tetapi…. errr… jika tiada siapa yang membuat persiapan untuk eksperimen tersebut, masakan boleh terhasil suatu dari ketiadaan itu? Begitu juga lah dengan dunia ini, jika Allah SW tidak menjadikan ianya dari ketiadaan maka tidak akan wujudlah dunia ini. 

Merujuk kepada kata-kata Einstein itu pula, seperti yang saya nyatakan diawal perenggan jawapan saya ini, kita hanya akan lihat apa yang kita ingin lihat, banyak lagi kata-kata Einstein mengenai tuhan akan tetapi sudah tentulah golongan Atheist hanya memilih yang menyokong pendapat mereka sahaja sedangkan terdapat banyak lagi kata-kata beliau yang menyokong prinsip ketuhanan.
What separates me from most so-called atheists is a feeling of utter humility toward the unattainable secrets of the harmony of the cosmos. (Albert Einstein to Joseph Lewis, Apr. 18, 1953)
Dari laman web yang saudara pautkan juga (9) nampaknya saudara tidak nampak baris terakhir ayat tersebut, harap saudara dapat menilaikan ianya kembali.
Despite his categorical rejection of conventional religion, Brooke said that Einstein became angry when his views were appropriated by evangelists for atheism. He was offended by their lack of humility and once wrote. "The eternal mystery of the world is its comprehensibility."
 C) "Tuhan dalam agama Islam sukar sedikit untuk mencari kesalahan…" tersenyum saya membacanya. Jika dilihat pada rujukan-rujukan yang saudara berikan kebanyakan adalah dari golongan Kristian yang hampa dengan agama mereka sendiri, sudah tentulah mereka hampa dan kecewa kerana kitab Injil dan juga tuhan-tuhan mereka adalah apa yang mereka sendiri cipta dan ada-adakan. Sudahkah saudara mengkaji agama Islam itu sendiri secara mendalam? Tak kenal maka tak cinta, masakan saudara boleh menyatakan benci atau suka kepada seseorang itu tanpa mengenalinya dengan lebih dekat. Konsep ketuhanan atau Tauhid didalam Islam berbeza dari agama-agama lain kerana Al Quran itu tidak korup seperti kitab agama lain, malah ia adalah salah satu keajaiban Al Quran itu sendiri dan ianya juga adalah janji Allah SW yang akan mengekalkan ianya hingga ke hari kiamat (Surah Al Hijr 15:9) . Allah SW tidak boleh disamakan dengan apa jua yang wujud didunia ini kerana jika tidak bukanlah Tuhan namanya. Kebanyakan mereka yang kecewa dengan agama mereka (dari rujukan-rujukan saudara) membandingkan tuhan itu dengan apa yang wujud dibumi ini, sedangkan Allah SW berfirman didalam Al Quran "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya". Bagi umat Islam yang telah dididik dengan maklumat ini tiada persoalan tidak masuk akal atau logik berkenaan tuhan kerana sebagai seorang umat Islam mereka tahu apa yang tercipta tidak sama dengan pencipta.

D) Tiada konsep tidak adil didalam Islam kerana Allah SW itu Maha Adil, cuma akal manusia sahaja yang tidak dapat memikirkannya. Lahirnya seseorang itu didalam Islam bukanlah kelebihan, akan tetapi ianya suatu amanah yang perlu dijaga. Ketika Allah SW memerintahkan Nabi Adam untuk mengasingkan manusia untuk keneraka, Allah SW tidak menyatakan masukkan golongan kafir sebaliknya dari 999 dari 1000 jumlah manusia yang akan masuk keneraka, jadi jika kita ambil jumlah populasi manusia didunia sebanyak 7 billion sekarang ini sekalipun (dan jika kiamat berlaku sekarang), daripada 2.1 billion jumlah umat Islam pada hari ini, tidak kesemuanya yang akan masuk syurga, jadi tidak semestinya yang lahir sebagai Islam itu akan masuk syurga. Apa yang akan dipertimbangkan nanti adalah dosa dan pahala yang mana ianya akan ditimbang diakhirat kelak. Al Quran tidak memperdayakan, dunia inilah yang akan memperdayakan mereka-mereka yang lalai, yang tidak tahu mengapa dia diciptakan dan meraba-raba mencari jawapannya. Tugas kita adalah mencari jawapannya dan ianya tidak dapat dicari didalam tulisan-tulisan hasil karangan manusia, hanya dari ayat-ayat Maha Pencipta sahaja yang mampu memberikan jawapannya iaitu Al Quran.

Sains dan agama tidak pernah bermusuh, hanya manusia sahaja yang menjadikan ianya alasan untuk bermusuh. Sains boleh digunakan untuk menjelaskan dan menguatkan agama dan ia juga boleh digunakan untuk sebaliknya, ianya berbalik kepada apa niat dan tujuan kita mencarinya. Tidak logik untuk salahkan ilmu, salahkan diri kita sendiri yang membuat pilihan. Semua manusia lahir sebagai seorang muslim iaitu tunduk dan akur kepada perintah Allah SW. Adakah hanya kerana kita tidak bertemu dengan bukti maka kita boleh rumuskan tiada bukti? Sudah tamatkah pembelajaran kita terhadap segala ilmu-ilmu didunia ini lantas kita merumuskan tiada bukti Maha Pencipta itu wujud? Atau adakah ia lumrah manusia yang bongkak hanya dengan ilmu sedikit sudah menganggap dirinya hebat tiada pencipta sedangkan bukti-bukti kekuasaan Allah SW itu ada didalam diri mereka sendiri?
Dan pada kejadian diri kamu sendiri, serta (pada kejadian) segala binatang yang dibiakkanNya, terdapat juga tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan allah) bagi orang-orang yang meyakininya. (Al -Jathiya 45:4)
Manusia mempunyai minda, akan tetapi adakah kita boleh buktikan secara fizikal yang seseorang itu mempunyai minda? Minda suatu yang non-fizikal itu hanya boleh dibuktikan oleh manusia itu sendiri dengan menyedari yang dia mempunyai "thought" atai fikiran, manusia lain tidak boleh membuktikan yang kita mempunyai minda, mereka cuma boleh melihat kesan dari minda yang ada pada diri kita itu tadi dari percakapan, tingkahlaku dan sebagainya. Begitu juga dengan Maha Pencipta, kita tidak boleh membuktikan secara nyata yang Dia wujud, tetapi kita boleh lihat bukti-bukti kewujudannya dari dalam diri kita sendiri dan juga keseluruhan alam maya ini. 


Sains menjelaskan dari DNA yang terdapat didalam kromosom, dari sperma dan telur yang bercantum, ia membahagi dan terus membahagi hingga menjadi seorang bayi didalam perut seorang ibu, akan tetapi sains tidak dapat menjelaskan bagaimana sel-sel itu tahu yang dia akan jadi sel kulit, sel tulang, kaki, telinga dan sebagainya, jadi adakah kerana tiada bukti, tiada penjelasan maka kita menolak mentah-mentah kenyataan bahawa sel-sel membahagi dengan sendirinya? Akan tetapi agama dapat menjelaskannya, bagaimana?
Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, samada dengan sukarela atau dengan terpaksa dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang. (Surah Ar-Rad 13:15)
Kerana seluruh alam ini tunduk kepada Allah SW Tuhan Maha Pencipta dan dengan mengikut perintah Allah samada sukarela atau terpaksa, sel-sel tersebut membahagi dan akhirnya membentuk rupa manusia yang sempurna. Lihatlah pada anai-anai yang buta akan tetapi boleh menghasilkan struktur sarang yang amat canggih binaannya. Mengapakah kamu tidak mahu memikirkannya?

Saya mengajak saudara beristigfar banyak-banyak dan kembali kejalan yang benar. Saya 10-20 tahun dahulu adalah seorang yang jahil terhadap Islam, hanya selepas mendalami pelbagai ilmu-ilmu sains maka barulah saya nampak akan kebesaran Allah SW itu. Ilmu didunia ini ibarat jigsaw-puzzle, setiap ilmu boleh dianggap sebagai kepingan-kepingan yang perlu dicantum-cantumkan untuk mengetahui gambar yang sebenar. Hanya ilmu yang benar sahaja akan membentuk keseluruhan gambar misteri puzzle tersebut. Cuba cantumkan ilmu-ilmu yang saudara dalami itu dan lihatlah pertalian antara mereka. Maklumat yang bathil tidak akan dapat menjadi kepingan puzzle yang boleh bercantum dengan yang lain. Dalamilah ilmu agama dan tidak hanya ilmu sains kerana tidak akan lengkap keseluruhan puzzle itu jika agama ditolak tepi. Apabila lengkap puzzle tersebut maka barulah kita nampak erti sebenar kehidupan didunia ini. Kenalilah Islam dahulu sebelum membuat rumusan lebih-lebih lagi perkara mengenai akidah ini. Dan apabila membaca rujukan-rujukan tertentu contohnya laman web Kristian, rujuk juga perkara yang sama kelaman web Islam, dari laman web atheist kepada laman web theist, maka barulah kita boleh mempertimbangkan mana yang benar dan mana yang bathil. 

Manusia barat kecewa dengan agama mereka yang penuh kepalsuan maka lahirlah golongan yang menolak tuhan dikalangan mereka, tanyalah kepada diri saudara atas dasar apa saudara menolak Islam, adakah kerana tidak suka bersolat dan perlu manahan lapar dahaga berpuasa, kajilah dahulu untuk kebaikan siapa semua itu diperintahkan oleh Allah SW. Nasihat saya janganlah menjadi pengikut kepada apa yang dibawakan oleh barat membuta tuli. Apa jua yang dibawa oleh mereka, ada harga yang terpaksa kita bayar, walaupun nampaknya seolah-olah baik sedangkan ianya membawa kepada kemusnahan. Lihatlah apa yang telah dilakukan oleh kapitalisme pada hari ini, terdapat lebih banyak hamba didunia hari ini berbanding zaman sebelum ini. Moga Allah SW memberikan nur hidayah kepada saudara agar dapat melihat kebesaranNya dan lantas menerima Allah SW sebagai Tuhan Yang Maha Esa, insyaallah.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Soal Jawab SyurgaDiDunia © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO