Selasa, 7 Jun 2011

Adakah Multi Level Marketing MLM Halal?

Azrul bertanya;
Assalamualaikum saudara Helmis. Seperti tajuk diatas saya ingin minta sedikit pandangan saudara Helmis. Saya selalu jadikan blog saudara iaitu syurgadidunia sebagai rujukan tentang kewangan. Maaf kerana pertanyaan saya tidak berkaitan dengan kewangan tetapi ianya berkaitan Multi Level Marketing.
Apakah pandangan saudara tentang MLM yang di buat oleh Syarikat Kenshido International iaitu Program Score A yang menjual sistem? Adakah pendapatan itu halal jika saya ingin menceburi dalam bidang MLM Score A?
Saya momohon pandangan serba sedikit dari saudara Helmis tentang Program tersebut? Harap dapat membantu. Terima kasih.
Jawapan saya;

Waalaikumsalam Saudara Azrul,

Diriwayatkan oleh Al-Miqdam: Nabi SAW bersabda, "Tiada makanan yang lebih baik bagi seseorang itu kecuali dari apa yang diusahakan oleh tangannya sendiri, Nabi Daud AS makan dari kerja yang dusahakannya sendirii. Sahih Bukhari Buku 34, Hadis 286"


Didalam bab mencari rezeki yang halal, pada pendapat saya seseorang manusia itu sepatutnya perlu mengutamakan pendapatan yang diusahakannya sendiri. Ini kerana melalui pendapatan yang sebegitu, kita boleh mengetahui dengan jelas dari mana ianya diperolehi. Jika kita makan gaji, kita tahu gaji yang kita terima adalah dari usaha yang kita jalankan. Jika kita berniaga terutamanya kecil-kecilan, kita boleh tahu dengan pasti dari mana keuntungan yang kita perolehi.

Jika kita bekerja tidak ikhlas atau untung didalam perniagaan dengan penipuan, pendapatan yang kita perolehi juga tidak halal kerana ianya melibatkan penindasan insan lain. Jadi jika kita boleh mengetahuinya, kita akan lebih barhati-hati semasa bekerja begitu juga jika kita berniaga agar tiada pihak lain yang akan tertindas. Islam adalah agama yang paling tegas didalam bab menindas ini baik secara fizikal mahupun secara halus (riba' contohnya).

Didalam MLM, apabila sudah berlapis-lapis ahli dibawah kita, bagaimana boleh kita pastikan bahawa ahli-ahli dibawah kita itu nanti pertamanya menjalankan urusan beliau dengan beretika dan keduanya adakah pasti mereka tidak akan teraniaya. Sebagai contohnya didalam artikel oleh Business Times UK melapurkan, hasil kajian oleh kerajaan UK, hanya 10% sahaja ahli sebuah syarikat MLM terkemuka yang mendapat keuntungan, bagaimana dengan ahli selebihnya?

Saya dahulu pernah juga terlibat didalam beberapa syarikat MLM akan tetapi semuanya tidak menjadi. Jika ditanya kepada leader MLM itu sendiri sudah pasti dia menyatakan saya malas dan tidak bersungguh-sungguh, akan tetapi saya lebih suka menggunakan konsep getaran atau frekuensi.
Jika didalam hati kita senantiasa mahukan rezeki yang halal, yang tidak menindas, yang diredhai Allah SW, diri kita akan bergetar pada frekuensi tertentu, jika apa yang kita ceburi itu agak samar-samar akan keberkatannya, jika kita tidak punyai getaran yang sama maka kita tidak akan serasi dengannya dan mula menjauhinya.

Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar. Surah Al-Anfal 8:29
Apabila hati kita senantiasa mahukan yang halal, yang benar, yang tidak melibatkan penindasan, yang mana itu intipati sifat takwa itu sendiri, apabila kita meningkatkan keimanan kita dan berusaha sebaik mungkin menjadi insan yang bertaqwa iaitu senantiasa melakukan yang diperintahkan dan juga menghidari apa yang dilarang, maka kita akan boleh nampak yang haq dan yang bathil.

Antara contoh manusia yang paling bertakwa adalah Saidina Umar dan apa yang beliau nyatakan didalam bab mencari rezeki? 
"Telah kami tinggalkan 9/10 dari perkara halal kerana takutkan riba" (Musannaf Ibn Abi Syaibah, 6/464 ; Al-Baihaqi, 6/225; Al-Muhalla, Ibn Hazm, 8/477)
Riba' adalah penghulu kepada semua penindasan, dan riba' itu datang dari pelbagai jenis dan mengikut hadis Nabi SAW (Sunan Ibn Majah) ianya datang dalam 70 jenis bentuk, dan jika MLM itu sendiri berkemungkinan ada unsur-unsur penindasan didalamnya maka pada pendapat saya ianya sepatutnya kita tinggalkan. Satu sen sumber haram menjadi darah daging kita mahupun anak-anak dan isteri, teramat buruk kesannya baik didunia apatah lagi diakhirat kelak.

Saya tidak mahu menyatakan apa yang saudara ingin ceburi itu halal atau haram, saya lebih suka mengajak rakan-rakan berfikir sedalam-dalamnya mengenai sesuatu usaha mencari rezeki tersebut berdasarkan beberapa panduan dari Al Quran dan hadis. MLM pada pendapat saya lebih menjual "mimpi" kepada bakal-bakal agen. Dengan iklan gambar agen teratas disebelah BMW atau Mercedes, sudah pasti minda yang selalu didalam keadaan "hipnosis" akan terpedaya. Keadaan senantiasa di"hipnosis" ini pada pendapat saya apabila budaya hiburan, TV, filem, majalah-majalah sampah diutamakan, budaya ilmu apatah lagi khusyuk dan ikhlas didalam solat amat kurang maka otak emosi dan otak reptilia akan mengambil alih "freewill" manusia itu sendiri menentukan kehidupan mereka sedangkan sepatutnya akal manusia itu sendiri, iaitu dari minda separuh sedar yang cintakan Allah SAW dan frontal lobe yang kuat untuk berfikir.

Berfikirlah sedalam-dalamnya adakah MLM yang akan anda ceburi itu tiada unsur-unsur penindasan, jika teramat pasti tiada, pilihan terletak pada diri anda sendiri. Saya tidak mahu menghalang pencarian rezeki oleh rakan-rakan. Saya tidak boleh mendabik dada menyatakan kerana saya seorang yang bertakwa dan dapat merasakan MLM itu haram bagi diri saya lantas meninggalkannya, mungkin kerana saya punyai rezeki yang mencukupi ketika ini lantas menyebabkan saya tidak mahu menceburinya. Akan tetapi jika ditakdirkan saya terpaksa mencari rezeki dengan cara lain, MLM tidak akan masuk percaturan saya, saya lebih rela menjadi peniaga pasar malam atau pun petani dari menceburinya.

Persoalan seterusnya, untuk apakah anda mahu menceburi MLM tersebut? Adakah rezeki sekarang ini tidak mencukupi untuk kehidupan seharian atau mahu manjadi cepat kaya dengan mudah (ini selalunya merupakan kata-kata pujukan utama MLM), mahu mengumpul harta didunia ini dan sebagainya? Pada pendapat saya untuk mendapat rezeki yang lebih sepatutnya ketakwaan kita perlu diutamakan terlebih dahulu, kemudian baru Allah SW akan berikan rezeki yang tidak disangka-sangka bak ayat seribu dinar (Surah At Talaq 65:2&3). Tetapi takwa sahaja tidak cukup, mesti disusuli dengan lebihkan memberi (Surah Al- Lail 92:5/6/7), memberi sesuatu yang memberi nilai dan kebaikan kepada insan lain, meningkatkan taraf hidup mereka baik dari segi rohani dan jasmani dengan ikhlas kerana Allah SW maka barulah ianya akan kembali kepada kita didalam bentuk rezeki yang tidak disangka-sangka.

Akan tetapi ini semua amat payah diterima oleh manusia kebanyakan, kerana apa? Kerana mereka lebih percaya kepada rezeki yang boleh "disangka-sangka", contohnya MLM yang ada sistem yang nyata, ASB, pelaburan dan sebagainya, usaha sedikit pada peringkat awal kemudian senang lenang sampai mati, pada pendapat saya cara tersebut sepatutnya dielakkan kerana kita sebenarnya memperhambakan insan lain memerah tenaga untuk kita bersenang-lenang hasil dari titik peluh mereka. Pada pendapat saya ianya tiada beza dengan riba', pertama kerana ianya bukan hasil tangan dengan titik peluh kita sendiri, kedua kita tiada kawalan keatasnya dan ketiga kita tidak boleh pasti tiada insan yang tidak akan teraniaya.

Saya bukan ustaz atau ulamak, maka apa yang saya kemukakan ini harap tidak diambil sebagai hitam putih dalam bab MLM ini, saya lebih suka mengetuk minda rakan-rakan sekalian. Kita telah terlalu lama dimanjakan dengan mengikut sahaja apa yang dikatakan oleh pihak-pihak tertentu tanpa perlu lagi memikirkan akan adakah ianya benar atau tidak. Masa sudah tiba untuk kita semua kembali aktif berfikir dan tidak lagi hidup ber"suap". Ingatlah, tiada jalan mudah untuk kejayaan baik didunia mahupun diakhirat. Bertakwalah kepada Allah SW, moga dengan "nur" dariNya nanti membolehkan kita melihat yang mana yang benar dan mana yang bathil. Moga dengan bertakwanya kita itu juga nanti rezeki yang benar-benar halal akan diberikan pula oleh Allah SW dari sumber yang tidak disangka-sangka, insyaallah.

4 Komen:

Ahmad_chill berkata...

Assalamualaikum saudara Helmis,

saya dah banyak baca post2 yg dikongsikan oleh saudara dan amat tertarik dengan poin2 yg saudara bawa. Bagi saya, kebanyakan dari penerangan2 saudara ada betulnya khususnya pandangan yg dibawa dari perspektif yg berbeza.

Saya merupakan pelajar jurusan perakaunan di salah satu universiti tempatan. Saya tertarik dengan penjelasan saudara tentang isu2 kewangan Islam lebih2 lagi apa yg saya belajar memang berkait rapat dengan apa yg ada dlm blog ini.

Tentang isu diatas, saya ingin berkongsi sedikit tentang hukum halal atau haramnya sesuatu perkara. Saya ada belajar dengan seorang ustaz, beliau berpendapat, jika kita berada di dalam persimpangan, eloklah kita tinggalkan perkara tersebut. Walaupun mungkin majlis fatwa ada menfatwakan ianya halal, namun begitu, mungkin semasa majlis tersebut dijalankan, pihak yg mengharamkan mungkin tewas atas sebab mereka mempunyai hujah2 yg lemah. Padahal pada hakikatnya, pihak yg mengharamkan itu mungkin berada di pihak yg benar. (Saya tak berapa pandai dalam istilah agama ni, tapi rasa kes ini dinamakan khilaf dalam ijmak ulamak). Saya sangat bersetuju dengan "argument" ini setelah merujuk kepada Hadis ke-6 dalam himpunan HADIS 40 karangan Imam Nawawi.

Maka kesimpulannya, lebih baik kita tinggalkan sebab Rasulullah dulupun tak pernah buat perkara2 tersebut. Lebih baik kita "playsafe" dalam setiap perkara. Inilah yg sedih tentang umat kita skrg, "yg Nabi buat kita tak nak buat, tapi yg Nabi tak pernah buat kita sungguh2 nak buat."

Wallahualam

*Sebelum itu saya sangat memuji cara penyampaian saudara khususnya dalam penggunaan bahasa. Ini membolehkan ramai lagi "reader" untuk "stick" dengan blog ini. Ini melambangkan keindahan Islam itu sendiri. Saya ada "join" satu forum Islam ni, tapi "feedback" yg saya boleh bagi tentang forum itu secara ringkasnya, jika sya seorang non-muslim, mungkin saya makin benci dgn Islam lantaran bahasa mereka sangat "kesat"(istilah saya)

Syabas!!!

Lantoi berkata...

Ye betul saya bersetuju bahawa MLM itu hampir 99% haram dan syarikat begini bukanlah tunjang ekonomi yg mana kalau tidak diestablishkan tiada apa-apa darurat disitu, mungkin syarikat MLM ni ditukar modusnye kepada syarikat yg konsepnye tiada rantaian you jual ikut harga pasaran dan beli pada harga kos dari syarikat tak perlu ader pokok sana sini pangkatlah. Apa pun tuan Helmis atas huraian anda. MLM seharusnye dijauhi kerana terang terangan hanya menguntung satu pihak iaiatu syarikat dan higher level. (Saya pernah mendapat maklumat bahawa sebuah sykt MLM yg agak terkenal ni mem'potray'kan seseorng melayu dgn mengambil gambar kereta mewah , rumah besar, jutawan pangkat dgn pendapat beribu-ribu sebulan' sbg dummy bagi mempengaruhi bakal MLM mers . Lantoi......

Idham berkata...

baca blog ini. tepat lagi padat jawapannya tentang MLM ini.. http://citizennews.suaramerdeka.com/?option=com_content&task=view&id=1837

Muhammad berkata...

Tumpang sokong pendapat Lantoi dan Ahmad.

Penerangan blog SD memang ngam. secocok dgn jiwa sy. t.kasih atas komen anda berdua juga.

Catat Ulasan

Soal Jawab SyurgaDiDunia © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO