Rabu, 1 Jun 2011

Wang Pampasan Dengan Penipuan

Noor bertanya;
salam saudara helmis,
saya sudah lama mengikuti blog sdr dan saya cukup faham dengan dakwah yang sdr helmis cuba sampaikan.Alhamdulillah



Kini saya mengalami satu lagi konflik yang berlaku dalam hidup saya dan saya kini dalam berada dalam dilemma. saya ingin dapatkan pandangan sdr helmis berkaitan dengan masalah saya ini.

Kira kira 4 tahun lepas saya mengalami kemalangan jalan raya yang mana kecederaan yang saya alami agak parah. Alhamdulillah Allah masih memberi peluang untuk saya meneruskan hidup ini walaupun tidak sesempurna dulu dari segi fizikal.

Ketika saya terlantar diwad, segala urusan berkaitan dengan tuntutan pampasan diuruskan oleh saudara mara saya. Tuntutan ini melibatkan peguam dan secara tak langsung, saya dikehendaki membawa kes ini ketengah (mahkamah) kerana saya di pihak yang benar.

Masalah yang saya hadapi kini ialah saya terlibat secara tidak langsung dalam beberapa fakta yang kurang tepat. Biasalah bila melibatkan peguam, untuk mendapatkan tuntutan yang banyak, ada perkara yang telah diputar belitkan. Saya tahu bahawa perkara ini salah, tetapi saya rasa terpaksa dalam meneruskan kes ini kerana telah dirancang sejak awal lagi dimana waktu itu saya masih dalam keadaan koma. Jika saya mahu berkata benar, bermakna saya akan memberi kesan yang buruk kepada mereka 2 yang telah terlibat dalam kes saya.

Sedikit sebanyak saya merasakan mereka2 ini telah menggunakan peluang yang ada untuk mereka meraih keuntungan melalui kemalangan yang saya hadapi.

Masalah saya sekarang ialah,



1) Adakah duit pampasan yang saya terima ini halal?

2)sekiranya diragui, apakah cara cara terbaik untuk menyucikan harta sebegini?
3)jika sdr helmis berada ditempat saya, apa yang sdr lakukan dengan wang tersebut. 

Saya merasa sangat ragu ragu untuk menggunakannya (sejumlah wang yg agak besar nilainya). Saya tahu keberkahan wang tu memang tiada walaupun saya layak mendapatkannya.

bantulah saya untuk keluar dari masalah ini.

sekian terimakasih
Jawapan saya;

Assalamualaikum Noor,
Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Surah Al-Zalzala 99:8
Kebanyakan manusia menganggap wang adalah suatu yang nyata, suatu yang punyai nilai sebenar didalamnya. Apabila manusia menerima atau memberi, baik secara baik atau sebaliknya, wang tersebut tidak akan memberikan apa-apa kesan terhadap mereka. Tetapi wang yang kita terima itu sebenarnya hanyalah mewakili tenaga, kuasa dan usaha yang telah dilakukan. Ianya pula akan memberi kita kuasa untuk melakukan sesuatu yang lain. Dan kuasa itu hanya benar-benar milik kita jika kita telah memberikan usaha yang berpadanan untuk mendapatkannya.
Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya. Surah Al-Najm 53:39
Wang pampasan yang saudari Noor terima itu besar kemungkinannya dari sektor insuran ataupun insan yang anda tuntut ganti rugi itu terpaksa bergolok-gadai untuk membayarkannya kepada saudari. Persoalannya adakah saudari benar-benar berhak menerimanya?
Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikitpun, akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri. Surah Yunus 10:44
Jika Allah itu Maha Pengasih, mengapa kita ditimpa musibah, kecelakaan, masaalah dan sebagainya? Semasa zaman jahil saya dahulu saya tidak dapat memahami mengapa Allah sanggup melakukan sedemikian kepada hamba-hambaNya. Hanya apabila saya mula membaca dan memahami Al Quran, ditambah pula dengan ilmu dunia yang lain terutamanya fizik, alhamdulillah saya dapat mengetahui dan memahami mengapa dunia ini sedemikian.

Jika saudari cari kata kunci "aniaya diri sendiri" didalam Al Quran, terdapat 27 ayat dimana Allah SW menyatakan bahawa Allah tidak menganiaya manusia walau sedikitpun akan tetapi manusia itu sendiri yang menganiaya dirinya sendiri. Jadi jika kita telah ditimpa musibah baik kecil atau besar, adakah ianya dari Allah, takdir, atau dari perbuatan kita sendiri?

Jawapannya sudah pasti berkemungkinan besar ianya adalah dari perbuatan dan tingkah laku kita sendiri. Kita tidak pernah ingat segala perbuatan samada yang baik ataupun yang buruk akan tetapi dua malaikat diatas bahu kita senantiasa mencatitkannya. Didalam dunia fizik kuantum, zarah boleh "jump forward and backward in time", zarah boleh merentasi masa baik kembali kebelakang mahu pun kemasa hadapan. Jika kita kaitkan dengan kehidupan pula, mungkin dimasa hadapan kita akan melakukan suatu perbuatan yang buruk yang mana Allah yang maha mengetahui membalasnya secara "advance" kepada kita agar kita tidak dibalas di akhirat nanti.

Islam adalah agama yang menentang sebarang penindasan dalam semua aspek kehidupan, didalam menuntut pampasan pula terdapat hukum yang dinamakan Qisas yang mana balasan bagi sebarang kesalahan adalah bersamaan dengan kesalahan yang telah dilakukan.
Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa dan mata dibalas dengan mata dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga dan gigi dibalas dengan gigi dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. Surah Al Maidah 5:45
Perhatikan apakah faedahnya jika seseorang itu melepaskan hak membalas atau dalam kata lain memaafkan insan lain yang telah melakukan kesalahan terhadap mereka? Bukankah ianya menjadi penebus dosa? Didalam kes saudari pula telah berlaku ketidak adilan dan kezaliman yang mana ganti rugi telah diputar belit untuk mendapat tuntutan yang banyak, maka bukankah telah berlaku kezaliman disitu?

Teramat bahaya bagi kita sebagai umat Islam jika menghukum seseorang itu dengan tidak berlandaskan keadilan, jika saudari rujuk ayat 44 Surah Al-Maidah, Allah mennyatakan sesiapa yang tidak menghukum mengikut undang-undangNya maka mereka adalah orang-orang kafir.
...dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir. (Surah Al-Maidah 5:44)
Berbalik kepada soalan saya, adakah saudari benar-benar berhak menerimanya? Jawapannya memang saudari berhak menerimanya akan tetapi jumlahnya hendaklah berpadanan dengan kesulitan yang telah saudari hadapi. Akan tetapi jika saudari memaafkannya maka ianya akan kembali kepada saudari sebagai penebus dosa.

Jadi jawapan kepada soalan saudari adalah;
1. Wang yang saudari terima itu tidak halal sepenuhnya kerana terdapat unsur penipuan dan penindasan dalam mendapatkannya. Hanya sejumlah sahaja wang tersbut layak untuk saudari gunakan, contohnya untuk membeli alat bantuan fizikal contohnya kerusi roda dan sebagainya.

2. Untuk menyucikannya adalah dengan memulangkan kembali kepada pemunyanya. Pulangkan kembali kepada pihak yang membayar pampasan tersebut setelah menolak jumlah yang saudari fikir saudari layak menerimanya untuk menjalani kehidupan harian.

3. Jika saya menjadi saudari, perkara 1 dan 2 yang akan saya lakukan terhadap wang tersebut, meminta maaf kepada mereka yang teraniaya dan juga bertaubat kepada Allah SW diatas apa yang telah berlaku.

Ingatlah bahawa Allah SW itu Maha Adil, Maha Pengampun, Maha Pemurah dan sebagainya, tidak ada satupun makhluk ciptaannya yang tidak diberikan rezeki olehNya (Surah Hud 11:6). Ini bukan bermakna kita tidak perlu bekerja dan berusaha, akan tetapi bekerja dan berusaha dengan jujur dan tidak menganiaya insan-insan yang lain.

Wang ringgit yang kita dapat secara tidak sah itu tidak akan kekal, ianya akan "lari" daripada kita juga dengan jalan dan cara yang tidak disangka-sangka. Seperti yang saya nyatakan didalam perenggan yang pertama, wang hanya mewakili tenaga, dan tenaga itu akan keluar dari kita baik dalam bentuk wang itu sendiri (kecurian, kerosakan) mahupun kesihatan yang mana tenaga didalam tubuh badan kita yang sepatutnya membolehkan tubuh badan kita kekal sihat akan tetapi ianya "lari" meninggalkan kita maka datanglah penyakit.

Ingatlah Allah SW itu maha adil, dan disebabkan adilnya Allah itulah hak orang lain akan dikembalikannya, jika Allah SW mengambilnya semula semasa kita hidup, bersyukurlah, akan tetapi jika ianya diambil diakhirat, lihatlah bukti bagaimana tenaga itu keluar dari pecahan struktur atom didalam bom nuklear (sila rujuk artikel Fizik Kuantum Dan Falsafahnya Dalam Kehidupan), sebab itulah balasan dineraka suatu yang tidak dapat dibayangkan akan kepedihannya, syurga pula adalah lawan kepada letupan nuklear, lawan kepada kemusnahan, iaitu kenikmatan, kebahagiaan yang juga suatu yang tidak dapat dibayangkan oleh pemikiran manusia.

Hidup ini adalah ujian, sebab itulah ada kalanya kita diuji dengan kejadian dan musibah yang amat sukar. Bersangka baiklah kepada Allah kerana setiap yang buruk itu ada kebaikannya yang tidak kita ketahui. Mungkin Allah SW mahu memberikan kita hadiah yang besar, akan tetapi telah dibalutkannya dengan masaalah dan musibah, jangan bazirkan masa meneliti pembalut, mungkin kita akan terlupa akan hadiah tersebut. Moga saudari semakin tabah menjalani kehidupan yang mendatang. Wassalam.

5 Komen:

Tanpa Nama berkata...

assalamualaikum sdr helmis

bagaimana jika pampasan tersebut dibayar oleh syarikat insuran?

jika wang tersebut di dermakan kepada orang2 fakir miskin seumpamanya saya rasa lebih baik daripada memulangkan kembali kepada syarikat insuran tersebut.

sekarang ni keadaannya seperti terlajak perahu boleh diundur,terlajak perbuatan dosa padahnya.apa yang boleh saya buat...

Helmis berkata...

Waalaikumsalam,

Menyedekahkan wang tersebut kepada fakir miskin mungkin jalan penyelesaian yang mudah, akan tetapi apa yang saya bimbangkan adalah itu akan menyebabkan kemungkinan besar saudari akan tersangkut lama di akhirat kelak kerana akan di bicarakan dan juga dituntut oleh semua pencarum, pekerja dan juga pemegang saham syarikat tersebut.

Cubalah pergi berjumpa dengan mana-mana pegawai disyarikat insuran berkenaan dan nyatakan hasrat saudari untuk berbuat demikian, pada masa yang sama tanyalah kepadanya jika wang tersebut boleh diberi terus kepada fakir miskin sebagai alternatif. Mungkin agak sukar untuk berbuat demikian tetapi mungkin ianya akan memudahkan kita diakhirat kelak. Berterus-terang dan jujurlah... bukankah kejujuran itu hadiah terbaik untuk diri anda?

Mat Din berkata...

Salam saudara Helmis...

Saya nak tanya pendapat saudara tentang takaful seperti PruBSN Takaful dan lain2. Adakah saudara berpendapat ianya HALAL ? Saudara ada melanggan apa-apa polisi takaful atau medical card ?

Helmis berkata...

Assalamualaikum Saudara Mohd Din,

Pendapat saya mengenai insuran dan takaful boleh saudara baca dari dua soaljawab didalam laman ini, sila klik pada label Insuran. Saya pernah melanggan insuran nyawa, insuran pendidikan tetapi telah menjual kesemuanya untuk membayar pinjaman bank, saya tidak berniat untuk membelinya selepas ini berdasarkan pendapat yang telah saya berikan.

Insuran yang saya ada hanyalah insuran pihak ketiga untuk kenderaan saya dan juga insuran kesihatan yang diberikan oleh majikan, itupun kerana ianya diwajibkan oleh pihak berkuasa ditempat saya bekerja disini (Abu Dhabi). Wassalam

Unknown berkata...

Assalamualaikum.tuan.sy kemalangan 4 april 2013.saya masuk hospital lbh krg seminggu.kaki ade pasang besi.luka2 jugak.masalah sy.ms sy kat wad ade wakil syarikat lawyer dtg.Tanye sy dan isteri kemudian nk kes.sy bkn tau ape2.bini pun tak tau.ingat claim motorsikal sy.tgk die dtg bg duit tampung pembedahan.pastu motorsikal sy dia tolong bawak kedai.dia bgtau nk claim pakaivkereta yg sy langgar tu.mslh skrg mcm mana sy nk buat tuan.hukum mcm mana.sy takut sy yg salah.sy tak ingat kejadian tu.takut saya yg salah.takut saya yg terlelap.nk kn naik mahkamah plak tu.dieorg kate xpe.blh menang.sy xnak menipu.mslh skrg benda ni berlaku dhn cepat.pastu ms report sy dpt tau india sorang ni kate nk kowteam dgn polis.maybe bg duit.dy dah serabut dah fikir benda ni.dah terlanjur.nk byr balik nk cancel kt peguam tu ntah berapa.sy bkn bnyk duit sgt sekarang.tp sy nk tau hukum tu.tak nak saya dapat rezeki haram.

Catat Ulasan

Soal Jawab SyurgaDiDunia © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO