Ahad, 17 Jun 2012

Pandangan Mengenai Amanah Saham


Assalamualaikum Tuan

Bolehkan tuan berikan pandangan tuan mengenai saham amanah.

Terima Kasih

Jawapan saya;

Waalaikumsalam Tuan,


Amanah saham adalah satu bentuk pelaburan yang mana wang orang ramai dikumpulkan oleh syarikat amanah saham tersebut untuk dilaburkan didalam syarikat-syarikat tertentu baik secara langsung atau tidak melalui dagangan jualbeli saham di bursa. Hasil dari keuntungan syarikat itu tadi akan dikongsi dan diberikan kepada orang ramai selaku pelabur dalam bentuk dividen selepas kadar masa yang tertentu. Sebelum saya memberikan pandangan saya, ingin saya memberitahu rakan-rakan sekalian bahawa saya sebelum ini pernah melabur didalam amanah saham dan pernah juga menjadi agen untuk unit amanah ini, akan tetapi apabila ilmu pengetahuan saya mengenai ekonomi bertambah baik dari segi teknikaliti ekonomi itu sendiri dan juga kaitannya dengan Islam sebagai agama yang melarang keras penindasan, saya menjadi tawar hati untuk terus melabur apatah lagi terus menjadi agen. Sekarang saya tidak mempunyai apa-apa pelaburan unit amanah, semuanya telah habis saya jualkan kembali. Disini saya ingin berkongsi mengapa saya menjadi tawar hati untuk melabur walaupun dilabelkan amanah saham Islamik apatah lagi yang tidak dan apa alternatif lain untuk pelaburan.

1. Amanah saham menindas pelabur.
Apabila saya melabur sahaja dengan unit amanah, sebahagian peratus secara automatik akan ditolak dari pelaburan saya masuk kepoket syarikat amanah saham dan juga ke poket agen. Jika tujuan unit amanah untuk pelaburan dimana risiko pelaburan ditanggung oleh pelabur, bukankah ianya juga patut ditanggung oleh syarikat unit amanah dan juga agen-agennya? Apabila syarikat atau agen mandapat hasil serta merta dari pelaburan pelabur, mereka tidak ubah seperti bank yang mengenakan riba' kepada peminjam dengan mendapat pulangan tetap dari setiap pelabur. 

2. Amanah saham juga berjual beli di bursa saham.
Syarikat-syarikat unit amanah ini juga akan berjual beli "wang" di bursa saham untuk mendapatkan wang. Dalamana artikel saya diblog SD merujuk kepada pelabur individu, ianya tiada beza dengan pelaburan berkumpulan oleh syarikat unit amanah. Sila baca artikel tersebut untuk mengetahui hujah-hujah saya.

3. Pelabur tiada kawalan keatas pelaburan.
Kawalan keatas pelaburan bukan bermaksud bagaimana wang mereka itu akan dilabur dikaunter mana-mana di bursa saham akan tetapi kawalan terus keatas syarikat yang dilaburkan. Jika saya sendiri melakukan perniagaan, saya tahu kualiti barang yang saya jual dan mampu menjaga peniagaan saya agar ianya betul-betul halal. Dalam dunia akhir zaman ini yang mana hanya keuntungan dunia sahaja yang dilihat, manusia telah "berevolusi" menjadi lebih tidak beretika. Tidak lama dahulu kita dikejutkan dengan kilang susu bayi di China yang mencampurkan serbuk melamin kedalam susu bayi, kerana apa? Kerana inginkan keuntungan yang lebih, jadi persoalannya, jika ianya berlaku di China, adakah pasti perbuatan sedemikian tidak dilakukan oleh industri di negara kita?

4. Pelabur meng"kuda"kan orang lain.
Apabila kita hanya duduk goyang kaki dan mendapat keuntungan dari penat lelah orang lain, saya melihat itu sebagai meng"kuda"kan orang lain, dalam fizik kuantum saya tidak boleh melihat dunia tanpa saya sendiri terbabit membentuk ianya menjadi realiti hidup saya. Jadi jika saya tidak mahu dikudakan (diperhambakan oleh orang lain) maka perlulah saya terlebih dahulu tidak mengkudakan orang lain. Mungkin ada yang berkata "mana ada orang "kuda"kan aku", jawapan saya adalah tak ada ke ansuran rumah dan kereta yang perlu dibayar lebih tinggi dari harga asal rumah atau kereta tersebut? Itulah sebenarnya peng"kuda"an atau perhambaan jenis baru yang tidak jelas kelihatan, akan tetapi kesannya sama iaitu memerah tenaga untuk orang lain. Jika dahulu hamba abdi bekerja tanpa rela, hamba zaman moden pula bekerja dengan rela hati untuk tuannya kerana didodoikan dengan rumah besar dan kereta baru.

Jadi apakah alternatif untuk pelaburan kepada umat Islam jika mereka mempunyai modal untuk melabur? Jawapan saya adalah berniaga sendiri yang mana kita punyai kawalan keatas keuntungan yang akan kita miliki, kita juga akan menanggung risiko yang mana Allah SW akan memberikan keuntungan jika kita bertaqwa kepadaNya dengan berniaga secara ikhlas dan jujur dan juga rugi jika sebaliknya.

Selain daripada itu umat Islam boleh bersatu membentuk usahasama seperti koperasi yang mana dari jumlah modal yang terkumpul itu perniagaan yang lebih besar tetapi terhad kepada masyarakat setempat boleh dilakukan. Contohnya penduduk sesebuah kampung ataupun disesebuah taman perumahan itu boleh membuka koperasi yang menjalankan perniagaan runcit. Semua penduduk boleh menyertainya dengan memberikan sumbangan modal, ianya juga memberikan pekerjaan kepada penduduk setempat. Semua penduduk boleh membeli barang dari kedai runcit tersebut dan ini akan memajukan kedai tersebut dan lama kelamaan ekonomi masyarakat dikampung atau taman tersebut akan meningkat oleh kerana aktiviti perniagaan tersebut. Dalam masa yang sama juga keuntungan akan kembali kepada penduduk setempat dan wang tersebut akan tetap berada dikampung atau taman tersebut dan hanya berkitar dikawasan tersebut sahaja. Ini memastikan peluang yang samarata dan adil bagi penduduk setempat.

Ini berbanding dengan syarikat korporat yang membuka supermarket besar dikampung atau taman tersebut, belum tentu memberikan pekerjaan kepada penduduk setempat (kerana mengambil Abang Ladesh sebagai pekerja untuk menjimatkan kos) malah wang keuntungan dari kawasan tersebut akan beralih kepada pelabur yang hidup beratus-ratus batu jauhnya dari kampung atau taman tersebut. Lama kelamaan penduduk setempat akan menjadi semakin miskin, terpaksa bekerja lebih keras untuk terus hidup dan lama kelamaan mengubah kelakuan sosial masyarakat dikampung tersebut menjadi lebih tamak, tidak bertimbang rasa, pentingkan diri sendiri dan sebagainya. Ini kerana wang yang sepatutnya berkitar dikawasan tersebut telah disedut lari keluar dari kawasan tersebut. Ini jika dilihat dari skala kecil. Dari skala besar pula inilah yang berlaku dinegara kita apabila syarikat asing dibenarkan bertapak atas nama pelaburan luar yang sering dilaung-laungkan oleh ahli politik sedangkan sebenarnya ianya adalah "pelacuran" yang melacurkan negara untuk memuaskan nafsu serakah pelabur luar yang kaya, penjajahan bentuk baru secara halus yang tidak nampak oleh manusia kebanyakan.

Masaalah umat Islam hari ini adalah kita tidak lagi bersatu, kita banyak berpecah belah baik dari segi politik, kenegerian malah dalam fahaman agama itu sendiri. Kita bergaduh berebut kaca sedangkan permata sebenar telah dibawa lari. Dan inilah yang disukai oleh musuh-musuh Islam kerana berpecahnya umat Islam memudahkan lagi mereka menjalankan agenda penjajahan halus mereka itu.

”Siapa saja pada malam hari bersusah payah dalam mencari rejeki yang halal, malam itu ia diampuni”. (HR. Ibnu Asakir dari Anas)
”Tidak ada yang lebih baik bagi seseorang yang makan sesuatu makanan, selain makanan dari hasil usahanya. Dan sesungguhnya Nabiyullah Daud as, selalu makan dan hasil usahanya”. (HR. Bukhari)
Saya lebih percaya bahawa makanan atau rezeki yang lebih berkat adalah yang diusahakan sendiri oleh diri kita dan bukannya dari usaha dan penat lelah orang lain. Berniaga sendiri atau bercucuk tanam dan makan hasil usaha tangan kita sendiri itu lebih berkat berdasarkan hadis Nabi SAW diatas itu tadi dan inilah impian saya satu hari nanti. Moga ini memberikan idea-idea baru kepada rakan-rakan semua. Bagi yang selesa dengan amanah saham janganlah menganggap jawapan saya ini sebagai penghalang. Ini hanyalah pandangan saya dengan melihat amanah saham itu dari sudut yang berbeza sebagai ketukan minda buat mereka yang mahu berfikir. Wallahualam.

5 Komen:

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum tuan, sebagai pekerja swasta saya mempunyai wang caruman KWSP. Sebagaimana yg kita tahu wang ini juga dilaburkan bagi menjana keuntungan, dan semua maklum bahawa KWSP juga melabur pada syarikat2 yg berniaga tidak mengikut hukum syarak. Maka dengan memilih mana yg kurang mudarat, saya memilih utk membuat pengeluaran dan melabur skim pelaburan islamik seperti dana cimb dan public islamic. Apa pandangan tuan?

Helmis berkata...

Waalaikumsalam,

Pelaburan selalu dikaitkan dengan menggandakankan wang, akan tetapi wang hanyalah bahantara pertukaran, pengukur dan penyimpan nilai. Wang bukan untuk diniagakan dan bukan untuk membuat wang yang lain.

Tak kira melabur di KWSP yang tidak Islamik, ataupun ke pelaburan Islamik, kita gunakan keringat orang lain untuk memastikan wang kita itu tersimpan nilainya. Suatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Katalah selepas melabur RM 1000 selama 5 tahun wang tersebut menjadi RM2000, jika 5 tahun sebelum ini kita boleh beli lembu RM 1000 tetapi selepas 5 tahun seekor lembu juga naik harga menjadi RM 2000, jadi apa ada pada pelaburan kita itu?

"Pelaburan" yang sebenar sepatutnya adalah untuk menyimpan nilai dimana selepas jangka masa tertentu, wang kita sepatutnya boleh "menyimpan" titik peluh hasil kerja tempohari kita.

Beli wang "sebenar" iaitu emas dan perak. Itu pelaburan sebenar, ia menjaga hak kita dan pada masa yang sama kita tidak menggunakan keringat mengkudakan orang lain untuk menggandakan wang kita. Malah melalui zakat ia menggalakkan "negatif interest economy" yang mana ia selari dengan hukum alam baik dari sudut kehidupan mahupun hukum enthrophy fizik.

Wallahualam

Muhammad berkata...

Thanks for info tn blog.

Sy sentiasa mengikuti artikel anda dan mencari jalan keluar dari urusan bank ini...

Semoga niat sy depermudahkan oleh Nya.

mimienaz berkata...

salam...nice sharng tuan..susahnya kita rakyat marheim nak kluar dr smua pinjaman2 riba..insurans n lain2 lg

Muhammad berkata...

Ada jalannya amynazir.

Susah..perit..pelik..pahit..dan banyak ujian ..itulah yg akan dihadapi. lumrah dalam mencari kebenaran, terutama kehidupan moden akhir zaman ni

Mengubah haluan dari kebiasaan hidup dalam 'sistem sekular' yg dah sebati dan sudah menjadi norma masyrakat ini, pasti kita akan dianggap pelik dan ketinggalan zaman. Apatah lagi banyak pakej2 bertemakan islamik didalamnya..Mereka telah lama mencipta sitem ini dan semakin hari semakin advance. Yang menjadi sukar dan kelirunya, sistem ini ramai penyokong dan yg mempertahankannya..bahkan ada dikalangan ahli agama sendiri.

Perlu jihad dan berkorban dr banyak sudut. Sentiasa berdoa ... mohon kpd Nya, pasti akan diberi petunjuk dan jalannya.

Yakinlah..Allah tahu setiap niat hambanya yg mencari kebenaran

Catat Ulasan

Soal Jawab SyurgaDiDunia © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO