Bagaimana Cara Nak Fikir Untuk Kaya?
Saudari Niza bertanya;
jika kita fikirkan kemiskinan, itulah yang kita akan kita dapat...jadi bagaimana caranya kita nak fikir untuk kaya dan ada duit yang banyak?
Jawapan saya;
Asas kepada jawapan untuk persoalan saudari ini adalah dengan berimaginasi atau visualisasi terhadap apa yang kita inginkan. Ini juga antara salah satu cara yang disarankan untuk mencapai kekayaan seperti di ceritakan didalam filem motivasi "The Secret". Albert Einsten juga menyatakan bahawa "imaginasi itu lebih penting dari ilmu pengetahuan", beliau membuktikannya dengan mengemukakan dua teori fizik ulung iaitu relativiti khas dan relativiti khusus dengan hanya menggunakan eksperimen fikiran (thought experiment) yang mana beliau melakukan ujikaji untuk mengemukakan teori beliau itu hanya didalam minda. Kini sedikit demi sedikit, hampir kesemua teori beliau itu dibuktikan dengan penemuan-penemuan baru didalam ilmu fizik dan astronomy.
Jika kita tonton filem motivasi The Secret, apa yang dicadangkan adalah dengan selalu berfikiran positif dan bervisualisasi tentang apa bentuk kekayaan yang kita inginkan dan kemudian "lepaskan kepada universe" untuk memberikannya kepada kita, tetapi bagaimana ingin kita mempunyai fikiran positif jika kita didalam emosi yang tidak baik? Jawapannya adalah dengan bersyukur atas apa yang ada pada diri kita baik dari tubuh badan yang sihat, pakaian yang kita pakai ataupun kereta kecil yang kita pandu. Dengan bersyukur atas apa yang kita ada, maka yang lebih baik lagi akan menjelma didalam hidup kita.
Apa yang ada diceritakan didalam filem itu sebenarnya adalah sudah lama dipraktikkan oleh orang Islam, contohnya bersyukur atas apa yang kita ada. Umat islam sendiri sebanyak lima kali sehari bersolat yang mana ianya adalah salah satu menyatakan kesyukuran kita kepada Allah. Allah dengan sifatnya yang Maha Pemurah akan memakbulkan apa jua yang kita pinta. Akan tetapi ada beberapa peringatan yang perlu direnungi kerana ini yang membezakan antara kaya cara Islam atau kaya cara kafirun.
Selain Allah itu maha pemurah, Allah itu juga maha adil dan jika kita mahukan sesuatu dari dunia ini, kita harus memberi dahulu sebelum menerima. Ramai manusia yang angankan rezeki mudah contohnya memenangi loteri dan boleh hidup senang lenang, akan tetapi rezeki sebenarnya tidak datang mudah begitu sahaja. Adapun yang memenangi loteri itu sebenarnya adalah amanah dari Allah yang dikurniakan untuk memberi kebaikan kepada manusia lain dan ia akan dipersoalkan diakhirat kelak jika kita menggunakannya hanya untuk nikmat diri sendiri.
Apabila kita sering visualisasi tentang kekayaan, walaupun kita tidak memilikinya ketika itu, bahagian neuron otak tetap akan menjadi aktif seolah-olah ianya sudah berlaku dan ini akan menghantar signal-signal kepada sel-sel didalam tubuh badan kita yang mana kemudiannya akan menjadi minda separuh sedar kita. Semakin kerap sel-sel kita dihujani dengan maklumat mahukan "kaya" itu maka secara automatiknya minda separuh sedar kita (dari gabungan sel-sel kita tadi) akan senantiasa membantu kita mencari jalan untuk mencapai kekayaan. Hasilnya wujudlah pelbagai idea-idea kreatif untuk kita mengaut kekayaan.
Dan idea-idea kreatif itu juga bergantung kepada banyak mana sel-sel "Islam" atau sel-sel "kafir" didalam tubuh badan kita itu (Sila baca artikel Kita Semua Adalah Pemimpin). Jika kita seorang yang jarang mengingati Allah umpamanya tidak bersolat maka sel-sel kita yang mencorak minda separuh sedar kita itu tidak akan memikirkan "jalan yang lurus" untuk mencari rezeki. Akibatnya wujudlah pelbagai skim cepat kaya, penipuan, mengaut keuntungan melalui riba' iaitu mendapat wang hanya dengan masa dan sebagainya.
Penuhilah hati (minda separuh sedar) kita dengan keimanan iaitu memastikan "Ihdinassirotolmustakim) itu sentiasa tidak lepas dari fikiran kita agar "kita" bersama jasad yang kita tumpang ini yang terdiri dari bertrillion sel-sel ini akan senantiasa mendapat rahmat dari Allah dengan senantiasa juga berbuat kebaikan dan memberi nilai kepada manusia lain. Memberi dan kemudiannya baru menerima. Umpamanya mencipta ubat yang mujarab untuk merawat penyakit dengan harga mampu dibeli oleh kesemua lapisan masyarakat dan bukan mencipta ubat mujarab akan tetapi menjualnya dengan harga yang mahal dan memonopoli pasaran untuk memastikan keuntungan maksimum.
Ingatlah mereka yang memberi itulah yang akan dipermudahkan perjalanannya berbanding mereka yang hanya mengambil (Rujuk Surah Al-Lail 92:5-10). Jangan tertipu dengan muslihat dunia yang mana kekayaan itu boleh dimiliki dengan mudah tanpa perlu berusaha memberi nilai kepada manusia lain sebelum menerima. Celakalah mereka yang menerima rasuah, mengambil kepunyaan orang lain dengan menipu atau mengambil wang dengan menjanjikan sesuatu yang belum pasti dan juga mereka menerima hasil riba' kerana Allah itu maha adil dan akan memulangkannya kepada empunya. Akan saya jelaskan dengan lebih lanjut didalam artikel saya yang akan datang berkenaan konsep tenaga didalam kehidupan.
Mungkin jawapan yang saya berikan ini tidak menjelaskan sepenuhnya cara berfikir yang berkesan untuk kaya akan tetapi pada pemdapat saya apa yang patut diberi penekanan adalah kaya dengan cara yang lurus dan benar yang mana akan mempastikan kesejahteraan hidup kita didunia dan diakhirat. Kita boleh mencari pelbagai kekayaan didunia ini kerana Allah itu maha pemurah akan menyegerakan apa yang kita pinta (Rujuk Al Isra 17:18) akan tetapi perlu kita tanya pada diri kita sendiri untuk apakah kekayaan tersebut? Adakah untuk kesenangan dunia dengan memberi makan tubuh badan kita dengan makanan yang enak-enak atau kimia emosi dopamine yang juga adalah dadah buat sel-sel tubuh badan yang dirembes oleh otak apbila mendapat kepuasan dari kesenangan duniawi melalui harta kereta rumah yang mewah? Manakah yang perlu dikayakan? Roh kita yang akan mati dan menemui Allah atau tubuh badan yang terdiri dari sel-sel yang akan hancur semula menjadi tanah? Pertanyaan buat mereka yang mahu berfikir...
Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya Neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah. (Al-Isra 17:18)
1 Komen:
salam saudara seislamku,..aku bersyukur kerana menemui blog ini..sesunguhnya selama ini aku asyik memikirkan kekayaan duniawi semata2.petikan dari blog ini byk telah menyedarkan aku..selama ini aku terlalu takut akan kesusahan di masa akan datang tetapi sebaliknya aku terlupa sepatutnya kita berserah pd allah..aku byk melakukan jalan yg mudah utk kaya tetapi x kaya juga.mugkin ada hikmah disebaliknya..apa pun terima kasih atas penerangan saudara helmi..wassalam..
Catat Ulasan