Melupa Dan Memaafkan Perbuatan Suami
Puan Jaznee bertanya;
assalamualaikum wbt..
saya ingin bertanyakan pada saudara bagaimana caranya utk melupakan dan memaafkan perbuatan suami yang sering melukakan hati dan perasaan saya gara-gara perempuan lain.2 tahun lepas suami menjalinkan hubungan dgn seorng gadis.hubungan 2 telah membuatkan rumahtangga saya menjadi kacau bilau. tetapi skrng suami tak sanggup meneruskan lagi hubungan itu sbb mendpt tentngan dari keluarganya. persoalan saya skrng saya sukar melupakan dan memaafkan perbuatannya wlaupn saya telah cuba.setiap kali bila saya cuba berbaik2 dgnnya saya akan teringat akan perbuatannya itu dan saya akan terus jadi murung dan menangis.baru2 ini saya mendpt tau yg mereka masih lagi berhubungan.apakah yang perlu saya lakukan??
Jawapan saya;
Jika kita mengikat tangan kanan kita kebelakang dan hanya memakai tangan kiri, lama kelamaan tangan kiri kita itu akan menjadi kuat, akan tetapi tangan kanan kita lama kelamaan akan menjadi kecil dan lemah dan selepas beberapa minggu kita buka ikatannya, untuk mengangkat barang yang ringan sekalipun belum tentu lagi mampu. Ini berlaku kerana otot kita sudah menjadi lemah dan tidak lagi berfungsi seperti biasa.
Memori atau ingatan terhadap sesuatu peristiwa itu datangnya dari jaringan-jaringan neuron didalam otak yang mengaitkan sesuatu peristiwa itu dengan semua unsur-unsur atau objek didalam kehidupan kita, misalnya mengaitkan suami dengan wanita lain, perceraian, rumah, wang, anak-anak dan sebagainya. Lebih hebat sesuatu peristiwa itu memberi kesan emosi kepada diri kita maka lebih kuat lah juga jaringan-jaringan neuron tersebut.
Akan tetapi, jaringan-jaringan neuron ini juga sama seperti otot-otot yang ada didalam tangan kita tadi, jika lama kita tidak menggunakannya maka jaringan-jaringan neuron itu akan menjadi lemah dan akan hilang. Bagaimana kita boleh memastikan jaringan-jaringan neuron untuk peristiwa yang tidak diingini itu boleh di lemahkan? Jawapannya adalah dengan memastikan kita tidak memikirkan perkara yang sudah terjadi itu, dan bagaimana pula kita boleh mengawal minda kita agar tidak memikirkan hal tersebut? Jawapannya adalah dengan memastikan kita menjadi pemerhati yang hebat terhadap apa yang kita fikirkan. Dan bagaimana kita boleh melatih minda kita agar boleh menumpukan kepada perkara lain yang lebih bermanafaat kepada kita selain dari perkara yang sudah terjadi? Jawapannya adalah dengan khusyuk didalam solat.
Apabila kita boleh tumpukan perhatian kita kepada segala aspek didalam solat itu sendiri terutamanya kepada maksud ayat-ayat dan surah yang dibaca maka kita sebenarnya melatih frontal lobe kita agar semakin kuat dan membolehkan kita menjadi tuan kepada minda kita sendiri dan mampu memikirkan apa yang kita ingini dan bukan perkara yang tidak. Ingatan-ingatan lampau yang melukakan itu juga mungkin datangnya dari sel-sel didalam tubuh badan kita yang bertanyakan "mana makanan aku hari ini" dan mereka secara kolektif menghantar isyarat keotak agar kita memikirkan perkara yang telah terjadi. Akibatnya ia menjadi suatu proses yang berulang-ulang sehinggalah kita menjadi tuan kepada pemikiran kita sendiri dan mampu memikirkan perkara-perkara yang menyumbang kepada kehidupan yang lebih baik dan bukan sebaliknya.
Tetapi bagaimana pula nak memikirkan perkara-perkara yang baik jika suami masih lagi "menggatal"?. Jawapan saya amat mudah, bersangka baiklah kepada Allah kerana apa yang terjadi itu mungkin ada hikmah disebaliknya.
1. Mungkin kita telah membuat kerosakan dimuka bumi ini dan Allah disebabkan Allah sayang kepada kita maka dibalasnya didunia ini agar kita kembali kepangkal jalan. Rujuk Surah Ar Rum 30:41
2. Jika kita seorang anak yang mithali, isteri yang mithali dan hambaNya yang soleh dan solehah, iaitu kita yakin kita tidak berbuat "kerosakan" dimuka bumi ini maka inilah yang dikatakan dugaan buat mereka yang beriman. Rujuk Surah Al Baqarah 2:214
3. Mungkin kita berdoa mahukan sesuatu dan Allah ingin memakbulkan apa yang kita mahukan itu, akan tetapi jalan yang terpaksa kita tempuh adalah dengan mengalami peristiwa yang tidak diingini tersebut. (Sila baca pengalaman saya dalam artikel Mendapatkan Hanani).
Apabila kita mengambil 3 pendekatan diatas didalam seluruh aspek kehidupan kita maka apabila tiba sahaja peristiwa yang tidka diingini berlaku maka jaringan neuron yang paling cepat dikaitkan adalah balasan Allah, dugaan Allah dan Allah ingin memberikan kita apa yang kita ingini dan bukan jaringan-jaringan yang memikirkan keburukan-keburukan apa yang terjadi. Ini amat penting dari sudut fisiologi manusia itu sendiri kerana dengan pemikiran sebegini akan menyebabkan kita menjadi lebih tenang, berbanding dengan menjadi semakin tertekan, stress dan sebagainya yang mana akan menyebabkan salur darah ke frontal lobe akan menjadi sempit, tidak boleh berfikir dengan sempurna dan hanya menggunakan tindakan reflek "lawan atau lari", yang mana apa yang menyusul berdasarkan cerita dipermasalahan diatas adalah piring pinggan periuk terbang, maki hamun, tuntut cerai dan sebagainya.
Tiada yang paling hebat selain dari percaya hingga ketahap 100% peratus keimanan terhadap kekuasaan Allah itu sendiri, sebab itu para Nabi-nabi boleh mencipta mukjizat kerana iman mereka yang begitu hebat, tidak seperti umat manusia akhir zaman ini yang mana iman lebih nipis dari kulit bawang. Tetapi itu bukan bermakna kita harus kekal didalam keadaan tersebut. Berusahalah dengan lebih kuat lagi untuk menebalkan iman dan mendekatkan diri dengan lebih rapat lagi kepada Allah, selangkah kita menghampiriNya maka sepuluh langkah Allah akan mendatangi kita.
Orang yang sedang bercinta itu didalam keadaan buta sebenarnya dan itu sudah terbukti oleh sains. Jika kita berusaha mengubah manusia sebegini dengan kekasaran, pada pendapat saya amat sukar buat mereka untuk berubah. Jalan yang paling baik adalah dengan berdoa kepada Allah agar Allah membantu kita mendapatkan yang terbaik didalam kehidupan. Ini bukan bermakna lepas tangan tidak berusaha dan hanya menunggu bantuan Allah semata-mata. Usaha kita pula adalah dengan menjadi muslimah yang sejati, ibu yang mithali dan juga isteri yang solehah terhadap suami. Allah teramat mampu untuk mengubah suasana dunia agar timbul kesedaran di hati suami bahawa apa yang dilakukan itu adalah sesuatu yang tidak baik buat dirinya mahupun keluarga. Kesedaran dari diri sendiri itu adalah lebih berkesan berbanding kesedaran dengan paksaan, contohnya sebab itu mereka masih berhubungan.
Pelbagaikanlah jaringan-jaringan neuron baru didalam otak dengan jaringan ilmu. Kurangkan aktiviti yang melemahkan frontal lobe seperti menonton TV terutamanya rancangan hiburan yang tiada bezanya dengan meminum arak yang melekakan kita dari masalah tetapi bila habis hiburan tersebut kita kembali memikirkan masalah tersebut. Jauhkan diri dari menonton cerita TV dan filem atau membaca berita-berita negatif terutamanya hal-hal suami isteri bergaduh, kecurangan dan perceraian yang mana ia akan menyebabkan jaringan neuron hasil dari pengalaman kita itu sendiri menjadi aktif semula.
Berfikir cara yang sama dan mengharapkan keputusan yang berbeza itu adalah suatu yang sia-sia. Untuk mendapatkan suatu yang baru didalam hidup haruslah dimulakan dengan mengubah cara kita berfikir dan inilah yang cuba saya berikan. Saya sendiri sudah menjadi "tikus makmal" dan apa yang saya ceritakan disini adalah dari pengalaman-pengalaman saya sendiri. Berusaha menjadi muslim dan muslimah sejati dan biarkan Allah merencanakan yang terbaik buat kita, apabila Allah sentiasa dihati maka apa yang kita inginkan seolah-olah secara automatiknya akan terjadi dengan sendirinya. Sebab itulah apabila saya terbaca kata-kata Albert Einstein ini saya tersenyum sendiri.
“There are two ways to live: you can live as if nothing is a miracle; you can live as if everything is a miracle.”
"Terdapat dua cara untuk menjalani kehidupan; kamu boleh hidup dengan tiada satu pun keajaiban; kamu hidup seperti semuanya adalah keajaiban"
1 Komen:
Ya benar sekali, saya dulu camni gak asyik fikir pasal hidup ni susah, sempit , susah nak cari duit dan macam2 lagi yg negatif. alhamdulillah semua tu dh jadi mimpi yg lampau. sekarang ni saya guna kuasa minda n law of attraction utk dpt apa yg saya nak dlm hidup ni. tp yg pasti semuanya baik2 dan hidup saya bahagia dan ceria sekali. alhamdulillah dan terima kasih kepada saudara Helmis yg membawa perubahan minda kepada saya dan juga insan2 lain dimasa hadapan.
Catat Ulasan