Jumaat, 16 April 2010

Didiskriminasi Di Tempat Kerja

Ain bertanya;
assalamualaikum wbt..
saya salah seorang fresh graduate dr ipta tempatan dan baru sahaja ingin membina kerjaya setelah sekian lamanya menuntut ilmu..alhamdulillah..saya telah pun bekerja sebagai programmer di sebuah company swasta..tetapi saya kurang selesa berada di sini..kebanyakan dari mereka adalah chinese dan sudah menjadi lumrah orang melayu akan didiskriminasikan..tambahan lagi rakan sekerja dalam department saya semuanya lelaki..membuatkan saya lebih tidak selesa..saya buntu sekarang..kerja sekarang ssh nk dpt..terutamanya kerja kerajaan..nak berniaga sendiri pun saya tak tahu mcm mana nk mula..akhirnya saya sendiri xtahu mana arah tuju saya sebenarnya..
Jawapan saya;


Waalaikumsalam. Mengapa melayu didiskriminasikan oleh bangsa lain di bumi mereka sendiri? Ini persoalan buat mereka yang mahu berfikir, akan tetapi dengan budaya ilmu yang semakin kurang dan budaya hiburan, TV, artis lagu dan filem di agungkan, maka "berfikir" itu sendiri menjadi suatu perkara yang aneh dan pelik bagi kebanyakan masyarakat kita.

Katalah anda mahir terhadap satu bahasa komputer yang mana bangsa-bangsa lain ini akan mencari anda untuk mendapat bantuan dari anda, pada pendapat anda adakah anda akan didiskriminasi? Tindakan paling baik untuk sesiapa sahaja yang merasakan dirinya di asing, sindir atau didiskriminasi adalah dengan berusaha memperbaiki diri menjadi seorang yang lebih baik. Baik dari segi akhlak, ilmu berkenaan kerja hinggalah kepada ilmu mengenai hubungan dengan Allah mahupun hubungan sesama manusia. 

Suasana "luar" tidak akan berubah selagi kita tidak mengubah apa yang di"dalam", iaitu didalam diri melalui pemikiran kita. Masalahnya adalah kebanyakan kita apabila sudah dapat ijazah dan mendapat kerja, sudah berpuas hati dan amat jarang untuk memperbaiki diri ketahap yang lebih baik. Jika ada pun hanya jika ianya mudah dan cepat mendapat hasil, sebab itulah wujud pelbagai sistem MLM dan sebagainya yang mahu keuntungan mudah dengan memanipulasikan fikiran manusia dengan ganjaran yang hebat.

Maaf jika saudari bukan dari golongan sebegitu. Jika saudari seorang yang pakar didalam pekerjaan, senantiasa mencari ilmu-ilmu baru untuk lebih memantapkan diri, mahir dalam ilmu perhubungan sesama manusia samada bahasa pertuturan contohnya english, mahir membaca "body language" atau gerak badan, seorang yang peramah, bersopan santun dan sering memberi ucap selamat kepada rakan-rakan yang lain sebelum mereka memberikan kepada saudari, maka usaha yang tinggal hanyalah bersabar dan bersyukur dengan dugaan Allah ini.

Saudari pun menyatakan kerja susah nak dapat jadi dengan diri saudari yang ada kerja tetapi didiskriminasikan, itu bukankah lebih baik dari tidak mempunyai kerja? Bersyukurlah kepada Allah dan tingkatkan usaha untuk memajukan diri dengan ilmu baik untuk kerja, mahupun agama. Minda yang bersyukur akan menenangkan tekanan pada diri dan pada masa yang sama membolehkan otak berfikir dan melihat jalan penyelesaian terbaik untuk setiap permasalahan hidup. 

Mungkin juga kerana semua rakan sekerja adalah lelaki maka Allah telah menyukarkan diri melakukan pekerjaan agar tergerak hati mencari alternatif lain. Berkat doa dari kita juga yang mahukan dijauhkan dosa maka Allah memberi petunjuk agar keluar dari situasi yang tidak baik itu, jadi bersyukurlah kepada Allah diatas apa yang terjadi kerana Allah ingin memberi yang lebih baik untuk saudari. 

Lebih bersyukur kita kepada Allah maka akan dipermudahkan Allah jalan untuk kita lalui. Ingatlah, Allah teramat mampu merencanakan dunia ini agar kebaikan itu akan sampai kepada hambanya yang bersyukur, tetapi bersyukur sahaja tidak cukup jika kita hanya ingin menerima tetapi bakhil untuk memberi. Berilah sesuatu kepada insan lain agar kebaikan itu akan kembali semula kepada kita tanpa kita sedari, baik dari senyuman, ringan tulang membantu baik ditempat kerja mahupun diluar hinggalah kepada bantuan sedekah dengan hati yang penuh ikhlas, dan janganlah berduka cita kerana itu adalah janji Allah kepada hambanya yang berbuat kebaikan (rujuk Surah Ar-Rahman 55:60). Berdoa dan mintalah kepada Allah agar dibuka jalan kearah hidup yang lebih baik, ingatlah bahawa bantuan Allah itu amat hampir cuma barangkali ketidaksyukuran kita sahaja menolaknya.

1 Komen:

Nora berkata...

Ain, saya juga pernah bekerja di organisasi yang mana majoritynya adalah bangsa asing dan mulanya, mereka agak terkejut dengan kehadiran seorang wanita Melayu Islam dan bertudung. Tapi alhamdulillah, dengan akhlak yang saya tunjukkan sebagai orang Muslim dan juga seperti kata saudara Helmis, saya banyak memberi, dan juga kesungguhan saya bekerja dan mahu belajar, maka saya diterima oleh mereka dan semasa saya keluar dari organisasi itu, mereka berkata "Why good people always leave?"

Catat Ulasan

Soal Jawab SyurgaDiDunia © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO