Sabtu, 10 April 2010

Sedih Tiada Dipeduli Dan Diperlukan

Dari saudari Siti;

assalamualaikum sdr Hilmi
Perasaan saya ada ketikanya terasa sedih kerana seolah-olah tiada dipedulikan dan diperlukan. Bagaimana untuk mempunyai minda yg lebih positif?
Jawapan saya;

Cara untuk mempunyai minda yang lebih positif adalah dengan mengubah perspektif kita terhadap diri dan kehidupan kita sendiri, bersangka baik kepada Allah pada pendapat saya adalah "penawar" yang paling mujarab jika manusia berani mengambilnya, akan tetapi ianya amat sukar bagi mereka yang sudah di acu dari kecil dengan pemikiran yang kita terlalu lemah, segalanya adalah takdir dan hanya menjadi mangsa keadaan, walaupun tanpa mereka sedar diri mungkin mereka sendiri yang mecipta "takdir" dan keadaan tersebut.

Jika saya menulis didalam blog ini berkenaan cerita hidup seharian saya, baju apa saya pakai, apa saya makan, apa saya buat hari ni, berjalan kemana, apa perasaan saya dan sebagainya, agaknya adakah ianya akan dipedulikan oleh orang lain?

Disebabkan saya menulis mengenai bagaimana untuk menolong manusia lain dengan memberi corak pemikiran baru serta berkongsi idea-idea, fakta-fakta ilmu dan kaitannya dengan Islam, maka blog saya ini menjadi suatu yang diambil peduli dan diperlukan oleh manusia lain, nampak tak perbezaannya?

Segalanya adalah dari kita sendiri, semuanya bermula dari dalam iaitu dari minda dan kemudiannya menjadi perbuatan, tingkahlaku dan realiti hidup kita ini. Untuk mengharapkan keadaan luar berubah dan baru kita boleh berubah adalah pemikiran mereka yang lemah walhal Allah telah mengangkat kita manusia sebagai khalifah dan Allah telah melengkapkan kita dengan kekuatan utama iaitu akal, malang sekali amat jarang manusia menggunakannya dan hanya menjadi "pak turut" apa yang di sogok oleh budaya, persekitaran dan yang paling utama sekali media contohnya TV dan filem. 

Untuk menjadikan diri kita dipeduli dan diperlukan maka kita harus memberi terlebih dahulu dan mereka yang memberi itulah yang akan dipermudahkan jalan kepadanya oleh Allah (rujuk surah Al-Lail 92:5-7). Teramat banyak yang boleh diberikan oleh manusia untuk kebaikan insan lain yang mana akan membuatkan dirinya menjadi penting, dipeduli dan diperlukan, contohnya berkongsi ilmu, memberi senyuman, ringan tulang dengan sentiasa bertanya kepada rakan ada apa yang boleh dibantu jika kita sudah menyiapkan kerja kita, buatkan air untuk rakan jika kita mahu ke pantri untuk membuat air untuk kita. Ini hanyalah contoh-contoh mudah yang mana adakalanya kita tidak mahu memulakan hanya kerana insan lain tidak melakukannya untuk kita.

Mungkin sebab itu jugalah mereka yang hanya mehu mengambil dan tidak mahu memberi itu dipermudahkan juga jalannya oleh Allah, bukan jalan kesenangan akan tetapi jalan kesusahan dan kesengsaraan (Rujuk surah Al-Lail 92:8-10). Segalanya bermula dari diri sendiri dan apa yang kita lakukan itulah yang akan berbalik kepada diri kita sendiri (rujuk surah Al Rahman 55:60).

Muncul persoalan bagaimana untuk mempunyai kuasa mengubah cara pemikiran? Jawapannya adalah dengan senantiasa menjadi pemerhati yang hebat terhadap apa yang kita fikirkan pada setiap ketika dan melatih diri untuk mempunyai kuasa mutlak memikirkan apa yang mahu difikirkan dan bukan di pilih oleh nafsu (pada pendapat saya ianya dari ketagihan kimia emosi oleh sel-sel kita sendiri) dengan khusyuk didalam solat.

Mempunyai corak pemikiran yang sama akan tetapi mengharapkan keputusan yang berbeza adalah perbuatan sia-sia, jadi ubahlah cara pemikiran agar kita mendapat keputusan yang sejajar dengan corak pemikiran baru tersebut, insyallah.

Sila Kemukakan Komen Anda

Catat Ulasan

Soal Jawab SyurgaDiDunia © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO