Rabu, 23 November 2011

Dimana Patut SImpan Syiling Emas?

Saudara Muhammad Ridzuan bertanya

assalammualaikum....
Saya ada soalan yg berkaitan dengan emas... jika kita keluarkan semua duit kita yg ada didlm bank tu dan tukar ke dlm bentuk syiling emas (publik gold)dimanakah kita patut simpan syiling emas tersebut? jika tinggalkan dirumah, kita akan risau berlaku kecurian dan kebakaran manakala, jika simpan emas dibank mungkin cas atau sewa menyimpan barang yg dikenakan agak mahal(riba), jadi dimanakah kita patut simpan syiling emas itu? mohon pendapat dan cadangan dari pihak tuan... Terima kasih....

Jawapan saya,

Waalaikumsalam Saudara Muhammad Ridzuan,


Saya tidak boleh memberitahu anda tempat yang paling selamat untuk menyimpan emas, perak, atau apa jua harta yang saudara miliki. Apa yang saya boleh beritahu adalah bagaimana untuk mengurangkan kebarangkalian harta anda itu tidak dicuri, hilang, rosak, musnah dan sebagainya. Caranya adalah dengan memastikan bahawa harta yang kita miliki itu 100% halal baik dari sudut zahir mahupun batin.

Sebagai contohnya emas yang anda beli dengan wang gaji anda, mungkin kerja anda adalah halal tetapi berapakah masa dan usaha sebenarnya yang anda habiskan ditempat kerja dan cuba melakukan kerja anda dengan secekap dan seefisien yang mungkin? Rujuk artikel saya "Kerja Halal, Gaji Tidak". Jika anda masuk kerja lewat, lepas tu minum pagi sampai sejam, keluar makan tengahari sampai dua jam, kat ofis belek Facebook dan kerja bertangguh-tangguh, maka adakah halal gaji anda? Dan jika dengan wang gaji tersebut anda beli emas, halalkah emas tersebut? Pada pendapat saya wang gaji anda tersebut sebahagiannya adalah haram. Perlu ingat, pencuri mencari wang haram, jadi melalui konsep "getaran" jugalah dia akan berjumpa dengan wang haram. 

Hanya Allah SW sahaja yang layak diambil sebagai pelindung, dan Allah SW akan hanya melindungi apa yang benar-benar hak kita. Jika anda yakin emas yang anda beli itu dengan wang yang 100% halal, percayalah letak kat depan rumah pun tiada orang yang akan mengambilnya, jika tercicir ditengah jalan sekalipun Allah SW akan memastikan yang menjumpainya adalah seorang yang jujur dan akan berusaha mencari tuan pemunya emas tersebut. Jika emas tersebut kita beli dengan duit yang haram, simpanlah dimana-mana pun emas tersebut, kat rumah ke, bawah bantal ke, dalam peti besi ke, kat dalam bank ke jika ianya bukan hak kita ianya akan hilang juga.

Bersihkanlah diri dari harta yang haram dahulu, jika anda bekerja, bekerjalah dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh walaupun pada pendapat anda gaji yang anda terima tidak setimpal. Rezeki datang dari Allah SW dan bukan dari gaji tersebut. Gaji tersebut hanyalah mewakili sebahagian sahaja rezeki anda. Banyak lagi cara lain rezeki boleh datang jika kita selalu menjadi insan yang lebih memberi dari menerima.

Gaji yang banyak pun jika kereta selalu rosak, selalu sangkut dalam trafik jam (minyak banyak guna), anak selalu sakit dan sebagainya, tidak akan cukup juga. Jika gaji kecil pun tetapi lebih halal dan berkat mungkin musibah tidak atau jarang berlaku dan dalam tak sedar senantiasa sahaja ada lebihan wang yang mana boleh anda simpan untuk membeli emas. Inilah dia sebahagian dari apa yang saya anggap rezeki yang tidak disangka-sangka.

Jika anda masih berhutang dengan landasan riba', cuba habiskan dahulu membayarnya sebelum membeli emas. Begitu juga dengan apa jua simpanan anda yang melibatkan riba' samada simpanan tetap, unit amanah, insuran dan sebagainya. Akan tetapi ini pun masih belum boleh menjanjikan apa yang anda miliki in itidak dicuri orang. Apa sahaja yang melibatkan riba', kita terlibat dalam menindas insan-insan lain, maka itu juga akan kembali kepada diri kita sendiri.

Ingatlah Allah SW itu Maha Adil, jadi jika wang atau emas yang kita yakin dibeli dengan wang yang 100% halal itu dicuri sekalipun, senantiasalah bersangka baik dengan Allah SW. Mungkin wang itu bukan milik kita (wang yang kita guna untuk membeli emas tersebut tidak halal sepenuhnya), mungkin Allah SW hanya me"minjam" sahaja emas atau wang yang kita miliki itu kepada pencuri tersebut. Mungkin pencuri tersebut benar-benar didalam keadaaan terdesak kerana anak kelaparan dirumah dan Allah SW menggunakan harta kita itu untuk menolongnya. Allah SW tahu kita belum memerlukannya lagi dan akan tiba saatnya harta halal kita yang hilang itu akan kembali semula kepada kita dengan jalan yang tidak disangka-sangka. Jadi apabila musibah kecurian itu berlaku, kita tidak kecewa dan marah, redha apa yang berlaku dan insyaallah akan ditambah lagi nikmat dariNya kepada kita dikemudian hari.

Ingatlah, manusia tidak dilahirkan sebagai pencuri, manusia dilahirkan dengan keadaan akur sepenuhnya dengan kehendak Allah SW, persekitaran yang menyebabkan manusia menjadi pencuri. Adakah dia membesar didalam keadaan penuh kasih sayang dari ibu bapa dan hidup aman dan harmoni dengan masyarakat yang senantiasa tolong menolong, atau adakah dia hidup didalam keadaan tertekan, terabai kerana ibu bapa sibuk bekerja dan hidup didalam masyarakat yang mana dia perlu menjaga belakang takut-takut ditikam dan sebagainya. Tertekannya manusia menyebabkan frontal lobe menjadi lemah dan tidak mampu berfikir dengan sempurna, sebab itu Nabi berpesan "Apabila Marah Duduk". Tidak boleh berfikir dengan sempurna maka itulah resepi kacau bilau didalam masyarakat kita.

Amatlah penting untuk kita semua memastikan keadaan hidup ini sesuai untuk kehidupan dan tumbesaran seluruh umat manusia terutamanya generasi akan datang. Ini termasuklah berusaha membangkitkan kesedaran dan cuba mengubah sistem ekonomi kapiltalis berlandaskan riba' dengan menggunakan wang kertas yang haram yang sebenarnya menindas umat manusia, memastikan ibubapa memahami yang anak-anak yang membesar bukanlah "binatang ternakan" yang hanya perlu diberi makan dan pakaian tanpa belaian dari ibu sebenar, hanya "belaian" atau "deraan" orang gaji dan yang lebih utama lagi adalah memastikan bahawa Islam itu sendiri diambil sebagai cara hidup sepenuhnya, Muslim sepenuhnya dan bukan Muslim "part time".

Kita perlu beralih dari sikap "aku" kepada sikap "kita", kita semua berkait, apa yang kita lakukan akan mempengaruhi insan lain dan itu juga akan berbalik kepada diri kita sendiri. Hanya apabila tiada pencuri diluar sana sahajalah baru emas kita itu akan selamat. Wang kertas akan hangus terbakar, syiling emas anda mungkin hanya akan berubah bentuk sedikit apabila terbakar (suhu lebur emas adalah 1064 darjah Celcius). Dan siapa yang menentukan terbakarnya rumah kita itu selain dari Allah SW?

Mungkin jawapan saya ini tidak menjawab persoalan saudara, sukar diterima atau merepek, akan tetapi jawapan saya ini adallah dari sudut yang lebih besar, bukan dari sudut "aku" tetapi dari sudut "kita" dan bukan sudut individu tetapi dari sudut masyarakat keseluruhannya. Bersama-samalah memikirkannya, insyaallah.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Ahad, 31 Julai 2011

Beli Kereta Untuk Ayah Dengan Riba'

Ewan bertanya

salam saudara helmis, saya baru terbangun dari terlena dan ingin kan nasihat saudara berkenaan pembayaran kereta. saya membeli kereta pada tahun 2010 untuk kegunaan ayah saya..setelah membaca artikel2 saudara sya mula sedar akan keburukan riba'dan kesan nya kpd diri dan masy.
apakah jalan penyelesaian yang patut sy ambil? adakah sy hanya terus membayar loan kereta (mengikut harga kereta) itu ataupun saya pulangkan kereta pada bank dan saya tidak membayar langsung loan kereta saya? ataupun ada cara lain yang terbaik pada hemat saudara...sekian terima kasih
Jawapan saya;


Saya pasti ramai dikalangan rakan-rakan sudah terperangkap didalam jerat riba' ini dan apabila sedar akan kesilapan yang telah dilakukan, meraba-raba mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuknya.

Kereta adalah satu keperluan didalam kehidupan moden hari ini, jadi untuk hidup tanpanya mungkin agak sukar bagi sesetengah orang. Akan tetapi ianya berbalik kepada sekuat mana keimanan kita. Saya ada berjumpa dengan rakan yang sanggup berhenti kerja di bank semata-mata tidak mahu bergelumang dengan dosa riba' (dosa pencatit sama juga dengan pemakan atau pemberi riba'), jadi saya tidak hairan jika ada rakan yang sanggup menjual balik kereta yang dibeli dengan riba' dan sanggup menaiki kenderaan awam atau membeli kereta atau motor terpakai dengan tunai.

Bagi kes saudara, saudara telah belikan kereta untuk ayah, alhamdulillah memang niat saudara amat baik, akan tetapi jika kereta tersebut dibeli dengan riba', dengan menghadapi peperangan dari Allah, maka adakah doa kita sebagai anak agar perjalanan ayah kita didalam kereta tersebut akan diterima Allah? Siapakah yang akan melindungi ayah yang kita sayangi itu?

Mungkin kes saudara ibarat pepatah ditelan mati mak dibuang mati ayah, jika saudara mahu menjual kembali kereta tersebut mungkin ayah akan berkecil hati, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga pula jika apabila harga jualan kembali kereta itu jatuh banyak berbanding baki pinjaman maka saudara kena bayar lagi pulak perbezaannya ke pada pihak bank.

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya... Surah Al Baqarah 2:286
Allah tidak memberati seseorang itu jadi saudara fikirkanlah penyelesaian yang terbaik ikut kemampuan saudara, jika ayah saudara boleh meneruskan kehidupan tanpa kereta tersebut maka mungkin boleh saudara berbincang dengan ayah dan nyatakan konflik yang saudara hadapi ini. Jika saudara punyai simpanan dan boleh digunakan untuk membayar tunai, maka gunakanlah ianya. Saya sendiri telah menjual semua simpanan saya di unit amanah, ASB dan insuran pendidikan anak-anak untuk membayar hutang pinjaman rumah saya. Insuran saya hanyalah berserah kepada Allah SW. Selangkah kita menghampiri Allah dengan melakukan suatu mengikut perintahNya, sepuluh langkah Allah menghampiri kita. Setelah habis membayar rumah, kereta saya masih berhutang dengan bank kerana simpanan semua telah digunakan, tidak dapat saya jual kereta saya kerana ianya keperluan untuk kehidupan. Apa yang saya lakukan adalah berusaha meminimakan perbelanjaan dan mengumpulkan sebanyak mungkin wang gaji setiap bulan untuk membayar balik pinjaman dan alhamdulillah berjaya saya melakukannya. Dan disinilah saya nampak bantuan Allah itu dengan rezeki yang tidak disangka-sangka.

Allah juga tidak memberati hamba-hambaNya, akan tetapi itu tidak bermakna kita boleh terus kekal didalam riba' tanpa berusaha lari daripadanya. Situasi kita berbeza-beza dan jalan penyelesaian yang terbaik bagi saudara adalah yang saudara fikirkan sendiri sebaik-baik dan sedalam-dalamnya mengambil kira segala aspek kehidupan saudara baik hubungan saudara anak beranak mahu pun juga situasi kewangan saudara. Selain dari itu lakukanlah solat hajat, solat ishtiharah agar ditunjukkan jalan oleh Allah. Allah tahu apa yang tersirat dihati kita dan Allah tahu keikhlasan kita. Dan yang paling penting sekali adalah pelajaran dari jerat yang telah dipasang oleh sistem kapitalis berlandaskan riba' ini, berusahalah menyampaikan maklumat mengenainya kepada rakan-rakan, adik beradik dan terutama sekali kepada anak-anak agar generasi akan datang akan hidup didalam keadaan yang bebas dari riba' insyaallah.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Selasa, 7 Jun 2011

Adakah Multi Level Marketing MLM Halal?

Azrul bertanya;
Assalamualaikum saudara Helmis. Seperti tajuk diatas saya ingin minta sedikit pandangan saudara Helmis. Saya selalu jadikan blog saudara iaitu syurgadidunia sebagai rujukan tentang kewangan. Maaf kerana pertanyaan saya tidak berkaitan dengan kewangan tetapi ianya berkaitan Multi Level Marketing.
Apakah pandangan saudara tentang MLM yang di buat oleh Syarikat Kenshido International iaitu Program Score A yang menjual sistem? Adakah pendapatan itu halal jika saya ingin menceburi dalam bidang MLM Score A?
Saya momohon pandangan serba sedikit dari saudara Helmis tentang Program tersebut? Harap dapat membantu. Terima kasih.
Jawapan saya;

Waalaikumsalam Saudara Azrul,

Diriwayatkan oleh Al-Miqdam: Nabi SAW bersabda, "Tiada makanan yang lebih baik bagi seseorang itu kecuali dari apa yang diusahakan oleh tangannya sendiri, Nabi Daud AS makan dari kerja yang dusahakannya sendirii. Sahih Bukhari Buku 34, Hadis 286"


Didalam bab mencari rezeki yang halal, pada pendapat saya seseorang manusia itu sepatutnya perlu mengutamakan pendapatan yang diusahakannya sendiri. Ini kerana melalui pendapatan yang sebegitu, kita boleh mengetahui dengan jelas dari mana ianya diperolehi. Jika kita makan gaji, kita tahu gaji yang kita terima adalah dari usaha yang kita jalankan. Jika kita berniaga terutamanya kecil-kecilan, kita boleh tahu dengan pasti dari mana keuntungan yang kita perolehi.

Jika kita bekerja tidak ikhlas atau untung didalam perniagaan dengan penipuan, pendapatan yang kita perolehi juga tidak halal kerana ianya melibatkan penindasan insan lain. Jadi jika kita boleh mengetahuinya, kita akan lebih barhati-hati semasa bekerja begitu juga jika kita berniaga agar tiada pihak lain yang akan tertindas. Islam adalah agama yang paling tegas didalam bab menindas ini baik secara fizikal mahupun secara halus (riba' contohnya).

Didalam MLM, apabila sudah berlapis-lapis ahli dibawah kita, bagaimana boleh kita pastikan bahawa ahli-ahli dibawah kita itu nanti pertamanya menjalankan urusan beliau dengan beretika dan keduanya adakah pasti mereka tidak akan teraniaya. Sebagai contohnya didalam artikel oleh Business Times UK melapurkan, hasil kajian oleh kerajaan UK, hanya 10% sahaja ahli sebuah syarikat MLM terkemuka yang mendapat keuntungan, bagaimana dengan ahli selebihnya?

Saya dahulu pernah juga terlibat didalam beberapa syarikat MLM akan tetapi semuanya tidak menjadi. Jika ditanya kepada leader MLM itu sendiri sudah pasti dia menyatakan saya malas dan tidak bersungguh-sungguh, akan tetapi saya lebih suka menggunakan konsep getaran atau frekuensi.
Jika didalam hati kita senantiasa mahukan rezeki yang halal, yang tidak menindas, yang diredhai Allah SW, diri kita akan bergetar pada frekuensi tertentu, jika apa yang kita ceburi itu agak samar-samar akan keberkatannya, jika kita tidak punyai getaran yang sama maka kita tidak akan serasi dengannya dan mula menjauhinya.

Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar. Surah Al-Anfal 8:29
Apabila hati kita senantiasa mahukan yang halal, yang benar, yang tidak melibatkan penindasan, yang mana itu intipati sifat takwa itu sendiri, apabila kita meningkatkan keimanan kita dan berusaha sebaik mungkin menjadi insan yang bertaqwa iaitu senantiasa melakukan yang diperintahkan dan juga menghidari apa yang dilarang, maka kita akan boleh nampak yang haq dan yang bathil.

Antara contoh manusia yang paling bertakwa adalah Saidina Umar dan apa yang beliau nyatakan didalam bab mencari rezeki? 
"Telah kami tinggalkan 9/10 dari perkara halal kerana takutkan riba" (Musannaf Ibn Abi Syaibah, 6/464 ; Al-Baihaqi, 6/225; Al-Muhalla, Ibn Hazm, 8/477)
Riba' adalah penghulu kepada semua penindasan, dan riba' itu datang dari pelbagai jenis dan mengikut hadis Nabi SAW (Sunan Ibn Majah) ianya datang dalam 70 jenis bentuk, dan jika MLM itu sendiri berkemungkinan ada unsur-unsur penindasan didalamnya maka pada pendapat saya ianya sepatutnya kita tinggalkan. Satu sen sumber haram menjadi darah daging kita mahupun anak-anak dan isteri, teramat buruk kesannya baik didunia apatah lagi diakhirat kelak.

Saya tidak mahu menyatakan apa yang saudara ingin ceburi itu halal atau haram, saya lebih suka mengajak rakan-rakan berfikir sedalam-dalamnya mengenai sesuatu usaha mencari rezeki tersebut berdasarkan beberapa panduan dari Al Quran dan hadis. MLM pada pendapat saya lebih menjual "mimpi" kepada bakal-bakal agen. Dengan iklan gambar agen teratas disebelah BMW atau Mercedes, sudah pasti minda yang selalu didalam keadaan "hipnosis" akan terpedaya. Keadaan senantiasa di"hipnosis" ini pada pendapat saya apabila budaya hiburan, TV, filem, majalah-majalah sampah diutamakan, budaya ilmu apatah lagi khusyuk dan ikhlas didalam solat amat kurang maka otak emosi dan otak reptilia akan mengambil alih "freewill" manusia itu sendiri menentukan kehidupan mereka sedangkan sepatutnya akal manusia itu sendiri, iaitu dari minda separuh sedar yang cintakan Allah SAW dan frontal lobe yang kuat untuk berfikir.

Berfikirlah sedalam-dalamnya adakah MLM yang akan anda ceburi itu tiada unsur-unsur penindasan, jika teramat pasti tiada, pilihan terletak pada diri anda sendiri. Saya tidak mahu menghalang pencarian rezeki oleh rakan-rakan. Saya tidak boleh mendabik dada menyatakan kerana saya seorang yang bertakwa dan dapat merasakan MLM itu haram bagi diri saya lantas meninggalkannya, mungkin kerana saya punyai rezeki yang mencukupi ketika ini lantas menyebabkan saya tidak mahu menceburinya. Akan tetapi jika ditakdirkan saya terpaksa mencari rezeki dengan cara lain, MLM tidak akan masuk percaturan saya, saya lebih rela menjadi peniaga pasar malam atau pun petani dari menceburinya.

Persoalan seterusnya, untuk apakah anda mahu menceburi MLM tersebut? Adakah rezeki sekarang ini tidak mencukupi untuk kehidupan seharian atau mahu manjadi cepat kaya dengan mudah (ini selalunya merupakan kata-kata pujukan utama MLM), mahu mengumpul harta didunia ini dan sebagainya? Pada pendapat saya untuk mendapat rezeki yang lebih sepatutnya ketakwaan kita perlu diutamakan terlebih dahulu, kemudian baru Allah SW akan berikan rezeki yang tidak disangka-sangka bak ayat seribu dinar (Surah At Talaq 65:2&3). Tetapi takwa sahaja tidak cukup, mesti disusuli dengan lebihkan memberi (Surah Al- Lail 92:5/6/7), memberi sesuatu yang memberi nilai dan kebaikan kepada insan lain, meningkatkan taraf hidup mereka baik dari segi rohani dan jasmani dengan ikhlas kerana Allah SW maka barulah ianya akan kembali kepada kita didalam bentuk rezeki yang tidak disangka-sangka.

Akan tetapi ini semua amat payah diterima oleh manusia kebanyakan, kerana apa? Kerana mereka lebih percaya kepada rezeki yang boleh "disangka-sangka", contohnya MLM yang ada sistem yang nyata, ASB, pelaburan dan sebagainya, usaha sedikit pada peringkat awal kemudian senang lenang sampai mati, pada pendapat saya cara tersebut sepatutnya dielakkan kerana kita sebenarnya memperhambakan insan lain memerah tenaga untuk kita bersenang-lenang hasil dari titik peluh mereka. Pada pendapat saya ianya tiada beza dengan riba', pertama kerana ianya bukan hasil tangan dengan titik peluh kita sendiri, kedua kita tiada kawalan keatasnya dan ketiga kita tidak boleh pasti tiada insan yang tidak akan teraniaya.

Saya bukan ustaz atau ulamak, maka apa yang saya kemukakan ini harap tidak diambil sebagai hitam putih dalam bab MLM ini, saya lebih suka mengetuk minda rakan-rakan sekalian. Kita telah terlalu lama dimanjakan dengan mengikut sahaja apa yang dikatakan oleh pihak-pihak tertentu tanpa perlu lagi memikirkan akan adakah ianya benar atau tidak. Masa sudah tiba untuk kita semua kembali aktif berfikir dan tidak lagi hidup ber"suap". Ingatlah, tiada jalan mudah untuk kejayaan baik didunia mahupun diakhirat. Bertakwalah kepada Allah SW, moga dengan "nur" dariNya nanti membolehkan kita melihat yang mana yang benar dan mana yang bathil. Moga dengan bertakwanya kita itu juga nanti rezeki yang benar-benar halal akan diberikan pula oleh Allah SW dari sumber yang tidak disangka-sangka, insyaallah.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Rabu, 1 Jun 2011

Wang Pampasan Dengan Penipuan

Noor bertanya;
salam saudara helmis,
saya sudah lama mengikuti blog sdr dan saya cukup faham dengan dakwah yang sdr helmis cuba sampaikan.Alhamdulillah



Kini saya mengalami satu lagi konflik yang berlaku dalam hidup saya dan saya kini dalam berada dalam dilemma. saya ingin dapatkan pandangan sdr helmis berkaitan dengan masalah saya ini.

Kira kira 4 tahun lepas saya mengalami kemalangan jalan raya yang mana kecederaan yang saya alami agak parah. Alhamdulillah Allah masih memberi peluang untuk saya meneruskan hidup ini walaupun tidak sesempurna dulu dari segi fizikal.

Ketika saya terlantar diwad, segala urusan berkaitan dengan tuntutan pampasan diuruskan oleh saudara mara saya. Tuntutan ini melibatkan peguam dan secara tak langsung, saya dikehendaki membawa kes ini ketengah (mahkamah) kerana saya di pihak yang benar.

Masalah yang saya hadapi kini ialah saya terlibat secara tidak langsung dalam beberapa fakta yang kurang tepat. Biasalah bila melibatkan peguam, untuk mendapatkan tuntutan yang banyak, ada perkara yang telah diputar belitkan. Saya tahu bahawa perkara ini salah, tetapi saya rasa terpaksa dalam meneruskan kes ini kerana telah dirancang sejak awal lagi dimana waktu itu saya masih dalam keadaan koma. Jika saya mahu berkata benar, bermakna saya akan memberi kesan yang buruk kepada mereka 2 yang telah terlibat dalam kes saya.

Sedikit sebanyak saya merasakan mereka2 ini telah menggunakan peluang yang ada untuk mereka meraih keuntungan melalui kemalangan yang saya hadapi.

Masalah saya sekarang ialah,



1) Adakah duit pampasan yang saya terima ini halal?

2)sekiranya diragui, apakah cara cara terbaik untuk menyucikan harta sebegini?
3)jika sdr helmis berada ditempat saya, apa yang sdr lakukan dengan wang tersebut. 

Saya merasa sangat ragu ragu untuk menggunakannya (sejumlah wang yg agak besar nilainya). Saya tahu keberkahan wang tu memang tiada walaupun saya layak mendapatkannya.

bantulah saya untuk keluar dari masalah ini.

sekian terimakasih
Jawapan saya;

Assalamualaikum Noor,
Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Surah Al-Zalzala 99:8
Kebanyakan manusia menganggap wang adalah suatu yang nyata, suatu yang punyai nilai sebenar didalamnya. Apabila manusia menerima atau memberi, baik secara baik atau sebaliknya, wang tersebut tidak akan memberikan apa-apa kesan terhadap mereka. Tetapi wang yang kita terima itu sebenarnya hanyalah mewakili tenaga, kuasa dan usaha yang telah dilakukan. Ianya pula akan memberi kita kuasa untuk melakukan sesuatu yang lain. Dan kuasa itu hanya benar-benar milik kita jika kita telah memberikan usaha yang berpadanan untuk mendapatkannya.
Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya. Surah Al-Najm 53:39
Wang pampasan yang saudari Noor terima itu besar kemungkinannya dari sektor insuran ataupun insan yang anda tuntut ganti rugi itu terpaksa bergolok-gadai untuk membayarkannya kepada saudari. Persoalannya adakah saudari benar-benar berhak menerimanya?
Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikitpun, akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri. Surah Yunus 10:44
Jika Allah itu Maha Pengasih, mengapa kita ditimpa musibah, kecelakaan, masaalah dan sebagainya? Semasa zaman jahil saya dahulu saya tidak dapat memahami mengapa Allah sanggup melakukan sedemikian kepada hamba-hambaNya. Hanya apabila saya mula membaca dan memahami Al Quran, ditambah pula dengan ilmu dunia yang lain terutamanya fizik, alhamdulillah saya dapat mengetahui dan memahami mengapa dunia ini sedemikian.

Jika saudari cari kata kunci "aniaya diri sendiri" didalam Al Quran, terdapat 27 ayat dimana Allah SW menyatakan bahawa Allah tidak menganiaya manusia walau sedikitpun akan tetapi manusia itu sendiri yang menganiaya dirinya sendiri. Jadi jika kita telah ditimpa musibah baik kecil atau besar, adakah ianya dari Allah, takdir, atau dari perbuatan kita sendiri?

Jawapannya sudah pasti berkemungkinan besar ianya adalah dari perbuatan dan tingkah laku kita sendiri. Kita tidak pernah ingat segala perbuatan samada yang baik ataupun yang buruk akan tetapi dua malaikat diatas bahu kita senantiasa mencatitkannya. Didalam dunia fizik kuantum, zarah boleh "jump forward and backward in time", zarah boleh merentasi masa baik kembali kebelakang mahu pun kemasa hadapan. Jika kita kaitkan dengan kehidupan pula, mungkin dimasa hadapan kita akan melakukan suatu perbuatan yang buruk yang mana Allah yang maha mengetahui membalasnya secara "advance" kepada kita agar kita tidak dibalas di akhirat nanti.

Islam adalah agama yang menentang sebarang penindasan dalam semua aspek kehidupan, didalam menuntut pampasan pula terdapat hukum yang dinamakan Qisas yang mana balasan bagi sebarang kesalahan adalah bersamaan dengan kesalahan yang telah dilakukan.
Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa dan mata dibalas dengan mata dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga dan gigi dibalas dengan gigi dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. Surah Al Maidah 5:45
Perhatikan apakah faedahnya jika seseorang itu melepaskan hak membalas atau dalam kata lain memaafkan insan lain yang telah melakukan kesalahan terhadap mereka? Bukankah ianya menjadi penebus dosa? Didalam kes saudari pula telah berlaku ketidak adilan dan kezaliman yang mana ganti rugi telah diputar belit untuk mendapat tuntutan yang banyak, maka bukankah telah berlaku kezaliman disitu?

Teramat bahaya bagi kita sebagai umat Islam jika menghukum seseorang itu dengan tidak berlandaskan keadilan, jika saudari rujuk ayat 44 Surah Al-Maidah, Allah mennyatakan sesiapa yang tidak menghukum mengikut undang-undangNya maka mereka adalah orang-orang kafir.
...dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir. (Surah Al-Maidah 5:44)
Berbalik kepada soalan saya, adakah saudari benar-benar berhak menerimanya? Jawapannya memang saudari berhak menerimanya akan tetapi jumlahnya hendaklah berpadanan dengan kesulitan yang telah saudari hadapi. Akan tetapi jika saudari memaafkannya maka ianya akan kembali kepada saudari sebagai penebus dosa.

Jadi jawapan kepada soalan saudari adalah;
1. Wang yang saudari terima itu tidak halal sepenuhnya kerana terdapat unsur penipuan dan penindasan dalam mendapatkannya. Hanya sejumlah sahaja wang tersbut layak untuk saudari gunakan, contohnya untuk membeli alat bantuan fizikal contohnya kerusi roda dan sebagainya.

2. Untuk menyucikannya adalah dengan memulangkan kembali kepada pemunyanya. Pulangkan kembali kepada pihak yang membayar pampasan tersebut setelah menolak jumlah yang saudari fikir saudari layak menerimanya untuk menjalani kehidupan harian.

3. Jika saya menjadi saudari, perkara 1 dan 2 yang akan saya lakukan terhadap wang tersebut, meminta maaf kepada mereka yang teraniaya dan juga bertaubat kepada Allah SW diatas apa yang telah berlaku.

Ingatlah bahawa Allah SW itu Maha Adil, Maha Pengampun, Maha Pemurah dan sebagainya, tidak ada satupun makhluk ciptaannya yang tidak diberikan rezeki olehNya (Surah Hud 11:6). Ini bukan bermakna kita tidak perlu bekerja dan berusaha, akan tetapi bekerja dan berusaha dengan jujur dan tidak menganiaya insan-insan yang lain.

Wang ringgit yang kita dapat secara tidak sah itu tidak akan kekal, ianya akan "lari" daripada kita juga dengan jalan dan cara yang tidak disangka-sangka. Seperti yang saya nyatakan didalam perenggan yang pertama, wang hanya mewakili tenaga, dan tenaga itu akan keluar dari kita baik dalam bentuk wang itu sendiri (kecurian, kerosakan) mahupun kesihatan yang mana tenaga didalam tubuh badan kita yang sepatutnya membolehkan tubuh badan kita kekal sihat akan tetapi ianya "lari" meninggalkan kita maka datanglah penyakit.

Ingatlah Allah SW itu maha adil, dan disebabkan adilnya Allah itulah hak orang lain akan dikembalikannya, jika Allah SW mengambilnya semula semasa kita hidup, bersyukurlah, akan tetapi jika ianya diambil diakhirat, lihatlah bukti bagaimana tenaga itu keluar dari pecahan struktur atom didalam bom nuklear (sila rujuk artikel Fizik Kuantum Dan Falsafahnya Dalam Kehidupan), sebab itulah balasan dineraka suatu yang tidak dapat dibayangkan akan kepedihannya, syurga pula adalah lawan kepada letupan nuklear, lawan kepada kemusnahan, iaitu kenikmatan, kebahagiaan yang juga suatu yang tidak dapat dibayangkan oleh pemikiran manusia.

Hidup ini adalah ujian, sebab itulah ada kalanya kita diuji dengan kejadian dan musibah yang amat sukar. Bersangka baiklah kepada Allah kerana setiap yang buruk itu ada kebaikannya yang tidak kita ketahui. Mungkin Allah SW mahu memberikan kita hadiah yang besar, akan tetapi telah dibalutkannya dengan masaalah dan musibah, jangan bazirkan masa meneliti pembalut, mungkin kita akan terlupa akan hadiah tersebut. Moga saudari semakin tabah menjalani kehidupan yang mendatang. Wassalam.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Ahad, 17 April 2011

Komen - Bank Jual Beli Tidak Riba'

Saudara Tanpa Nama memberi komen.

Salam sdr Helmis.
Semoga sdr dan keluarga dirahmati Allah. Alhamdulillah. Izinkan saya luahkan sedikit pendapat.

Jual-beli tidak sama dengan RIBA.
Jual-beli:
Beli 1 ekor ayam, bayar rm12.00
Beli 1 ekor ayam, bayar 10 biji kelapa.
Lebihan atas jualan dikira UNTUNG.
Namun tetapi sekiranya UNTUNG berlibat kali ganda itu adalah RIBA.
Amalan mengambil untung secara berlebihan atau RIBA. Ianya merugikan orang ramai!

RIBA:
Riba melibatkan pinjaman.
Pinjam 1 ekor ayam, pulang balik 1 ekor ayam juga.
Pinjam RM1, pulang balik RM1 juga.
Pinjam 2 pasang baju, pulang balik 2 pasang baju juga.
Kalau pinjam duit RM1, Pulangkan RM1.20 maka itu adalah RIBA.
Apa juga RiBA adalah haram!
***

Kes Mat nak beli rumah.
Mat mahu beli rumah tetapi hanya mampu membeli secara hutang.
Penjual mahu menjual secara tunai.

Bank tolong (biaya) Mat.
Bank beli rumah dari penjual secara tunai.
Bank jual rumah kepada Mat secara hutang. Bank bukan MEMINJAMKAN wang kepada Mat. Disini tiada RIBA(usury).
Bank mengambil sedikit "keuntungan" bagi tujuan pengurusan oleh kerana pembayaran hutang melibatkan masa yang panjang (30thn cthnya).
Adakah "keuntungan" yang diambil itu adalah RIBA?
Ya, sekiranya "keuntungan" berlipat-ganda. Begitu juga penjual. Sekiranya penjual mengambil keuntungan jualan berlipat-ganda ia juga dikira RIBA.

Apa yang saya nak cadangkan disini adalah bank dan penjual harus bekerjasama dalam mengambil "keuntungan" supaya tidak megambil untung secara berlipat kali ganda.

Saya amat bersetuju apabila sdr mengatakan sistem perbankan itu sendiri yang tidak sepatutnya wujud sebagai institusi yang mengambil keuntungan. Tetapi bank harus "survive" kerana didalamnya ada pekerja2 yang harus "survive" juga.

Pada pendapat saya, bank harus mengambil keuntungan (tidak melampaui batas) di dalam urusan Jual-beli, tetapi dalam soal pinjaman (loan) wang, tidak ada kompromi dlm RIBA!

Sekian terimakasih.

Ulasan Saya;
Keuntungan berlipat ganda tidak riba' jika ianya dari perniagaan yang melibatkan risiko, perbankan islam tidak mengambil risiko jadi walau untung 1 sen atau 100 kali ganda, ia tetap riba'. Cuma bezanya kemusnahan masyarakat cepat atau lambat bergantung kepada kadar riba' itu sendiri.


Tetapi mengapa penjual dan bank harus bekerjasama? Mengapa perlu bergantung kepada bank dan mengapa bank tidak bertindak sebagai pemaju, mengupah kontraktor dan kemudiannya menjual rumah tersebut, jika modal 100 ribu tapi jual 1 juta dan beri pembeli bayar balik 100 tahun, itu tidak riba', kerana apa?


Kerana bank tersebut akan  TANGGUNG RISIKO dan inilah ciri-ciri perniagaan sebenarnya yang mana Allah SW akan membuat sesetengah hambaNya akan mendapat keuntungan dan sesetengah yang lain pula akan rugi jadi kekayaan boleh dan akan tersebar secara adil mengikut ketentuanNya.

Akan tetapi mengapa tiada bank yang berbuat demikian? Rahsia sebenarnya adalah kerana bank tiada duit yang telus (hard cash). Asset bank yang dilihat dalam penyata kira-kira mereka seolah-olah berjuta-juta ringgit itu kebanyakannya adalah hutang-hutang yang belum dibayar, dan hutang rumah seperti inilah yang diperdagangkan di Amerika dan menyebabkan berlakunya sub-prime crisis. Jika saya kenyataan saya ini silap sekalipun dan mereka (bank) memang punyai wang, mereka tidak mahu mendedahkan wang mereka kepada risiko walau sedikit pun sebaliknya hanya mahu menggunakan wang "magik" itu sahaja. Jadi perbankan bukan perniagaan kerana risiko mereka hampir tiada atau diminimakan sehabis mungkin.

Pemaju tidak boleh membina rumah kerana tiada modal, oleh sebab itulah pemaju hanya mahu menjual kepada pembeli yang layak mendapat pinjaman sahaja, fikir-fikirkan... Akan tetapi disebabkan pemaju punya kelebihan dari segi modal asas dan juga kronism yang baik, lesen mudah diperolehi, tanah pertanian yang dahulunya dibeli 10 sen sekaki persegi sudah boleh ditukar kepada taraf komersial dan boleh dijual dengan 10 ringgit sekaki. Jadi yang kaya semakin kaya (ada modal dan kroni) dan yang miskin semakin miskin (tiada modal dan tiada kroni). Pemaju tidak mahu menunggu mengumpul wang melalui perniagaan kecil-kecilan tanpa riba' dan kemudiannya menyimpan untung tersebut untuk projek yang lebih besar, kerana apa? kerana lambat… Dan inilah yang berlaku pada tahap individu yang mana untuk mengumpulkan wang sedikit demi sedikit amat lambat jadi untuk beli rumah dan kereta kenalah meminjam biarpun riba' ikut pintu depan ataupun pintu belakang. 

Kita semua telah di"basuh minda"nya oleh sistem pengiklanan yang mana menerusi teknik pengiklanan yang mengasyikkan, memberi kesan kepada "reptilian brain" manusia yang mana barangan dan corak kehidupan (lifestyle) yang sepatutnya hanya didalam kategori "kehendak" bertukar menjadi "keperluan", contohnya untuk hidup mengikut keperluan, suami isteri dengan dua anak boleh menyewa rumah (hidup tanpa riba") apartmen dalam 500 sebulan (terpaksa juga bersabar diatas kesusahan yang dihadapi) dan lebihan wang dikumpul untuk membeli rumah secara tunai dikemudian hari, tetapi lebih rela menjadi hamba bank membeli rumah 500 ribu dan membayar balik hampir 3 ribu sebulan dan yang mana 2500 adalah riba' dan hanya 500 untuk bayar prinsipal (sama dengan menyewa). Kita semua telah ditipu dan kebanyakan masih terlena dibuai mimpi didalam mimpi ini. Alasan utama kebanyakannya adalah untuk hidup dengan lebih selesa akan tetapi selesakah hidup jika setiap malam sukar untuk melelapkan mata kerana memikirkan bagaimana untuk boleh kekal setia membayar kepada bank setiap bulan? Solat boleh tinggal tetapi bayar kepada bank tidak, muslim apakah umat islam hari ini? Dan disebabkan untuk kekal setia kepada bank inilah manusia tanpa sedar menjadi korup, menipu, tikam belakang, pentingkan diri sendiri, ragut, rompak, ambil untung berganda, tidak kira halal haram dan sebagainya. Sistem perbankan moden hari ini adalah penyebab utama keruntuhan masyarakat dan bodohlah kita semua ini (termasuk diri saya) yang masih dungu tidak bersungguh-sungguh mahukan perubahan. Kita semua sebenarnya sedang menggali lubang kubur sendiri.

Bank pula disebabkan mempunyai "tongkat sakti" yang diberikan oleh kerajaan (lesen untuk membuka bank), "zam zam alkazam" mencipta wang baru hanya melalui kira-kira perakuanan semata-mata, mencairkan lagi (inflasi) wang yang sedia ada didalam kitaran. Jika bank mahu membina rumah, dia terpaksa menggunakan wang sebenar (hard cash) kepunyaan pelabur dan juga pendeposit akan tetapi jika projek mereka terbengkalai, bank akan rugi besar dan mungkin terpaksa tutup kedai. 

Jadi untuk menjaga kepentingan mereka (bank) risiko semua dialihkan kepada pembeli dan juga hanya wang "magik" baru digunakan, akan tetapi jika projek terbengkalai, pembeli tetap dipaksa membayar balik, mungkin ramai yang menganggap (termasuklah sesetengah ulamak didalam kuliah mereka) pembeli perlu membayar balik kerana itu wang kepunyaan pendeposit dan pelabur jadi sebab itulah wang tersebut wajib dipulangkan kembali, akan tetapi pada hakikat sebenarnya wang tersebut bukanlah milik pendeposit dan pelabur akan tetapi hanyalah wang "sihir" magik ciptaan "tongkat sakti" mereka sahaja (fractional banking system), bukankah itu penindasan dan penzaliman terbesar pada abad ini? Akan tetapi masih ramai yang terhegeh-hegeh menyokong sistem yang menindas mereka ini tanpa sedar.

Seperti yang saya nyatakan dan saudara juga bersetuju bahawa bank sepatutnya bukan institusi yang mengambil keuntungan, tetapi disebabkan bank perlu "survive" maka pada pendapat saudara untung dibolehkan, akan tetapi;

1. Adakah untung itu lebih kepada untuk pekerja atau kepada "board of director" dan pelabur yang hanya goyang kaki dirumah atau hayun kayu golf dipadang golf? 

2. Jika hospital kerajaan boleh diadakan dengan bayaran minimum, mengapa bank kerajaan tidak boleh diadakan dengan bayaran minimun juga?

Jawapannya adalah kerana sistem perbankan ini adalah salah satu cara musuh-musuh islam yang di"remote control" oleh syaitan dan dajjal dalam usaha untuk mengalihkan manusia dari beragamakan tuhan maha pencipta kepada agama baru bernama materislitik yang mana tuhannya adalah pihak bank (pelabur yang duduk ditahap atas piramid), masjidnya adalah bank itu sendiri, penceramahnya adalah para pengiklan termasuklah juga ulamak yang menyokong sistem perbankan itu sendiri. Dan amat sedih sekali kerana kebanyakan pemimpin kita hari ini tanpa sedar menjadi sebahagian dari budak suruhan musuh-musuh Islam itu sendiri, mereka telah ketagih akan kuasa hingga sanggup melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa.

Kerajaan munafik tidak akan mensubsidikan sistem perbankan kerana melalui sistem perbankan inilah rakyat boleh diperhambakan, diletakkan tali dihidung seperti lembu dan dengan mudah diarah dan mengikut sahaja apa kemahuan dan kehendak mereka untuk memastikan mereka kekal berkuasa. Amat sedih ramai umat islam berlumba-lumba men"cium pungkok" dan mengipas mengampu pemimpin kerana mahukan nikmat dunia. Jujurlah wahai saudara-saudaraku adakah kerana mahukan dunia atau akhirat yang menyebabkan kita mahu mendekati dan menyokong pemimpin-pemimpin masa kini?


Manusia hanya sepatutnya hanya menjadi hamba kepada Allah SW, melalui agama baru ini manusia tidak lagi bebas untuk beribadat kepada Allah SW, tiada masa untuk solat lima waktu, kaum ibu juga terpaksa bekerja samada terpaksa membantu suami ataupun mengikut telunjuk dajjal melalui revolusi feminis untuk bebas dan menyamakan taraf mereka dengan lelaki hingga mengakibatkan anak terabai (sila lihat pada skala besar masyarakat dan bukan pada tahap individu semata-mata).

Perlu lebih dari satu ilmu dan juga rahmat dari Allah SW untuk melihat perkara ini dengan lebih jelas. Alhamdulillah, saya diberikan Allah SW peluang untuk mempelajari ilmu fizik, psikologi, sistem kewangan dunia dan sebagainya, semua rumusan yang saya buat mengenai sistem perbankan ini telah saya fikirkan sedalam-dalamnya bukan hanya dari sudut Quran dan hadis semata-mata. Mungkin sebab itu ramai yang menentang kerana dari penelitian saya kebanyakan mereka hanya melihat dari satu sudut semata-mata, apatah lagi dizaman ini kredibiliti dari universiti lebih penting dari ilmu atau "nur" yang diberikan oleh Allah SW. Samada kita mendapat "nur" atau tidak, kajilah samada pemikiran, tingkahlaku dan perbuatan kita lebih dekat kepada Allah SW atau dunia, atau adakah kita hanyalah golongan yang menggunakan Allah SW untuk mendapatkan dunia (secara sedar atau tidak) sedangkan dunia dan segala perhiasannya itu hanyalah untuk orang-orang yang terpedaya. 
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. Surah Al-Imran 3:185
Diharap rakan-rakan pembaca membaca dahulu artikel-artikel saya yang lain sebelum membuat sebarang ulasan kerana kebanyakan pendapat saya ini berkait dengan artikel-artikel yang lain juga. Wassalam


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Khamis, 10 Februari 2011

Yuran Memproses Untuk Pinjaman

Saudara Muhammad bertanya;

Assalamualaikum saudara.

Saya ingin nk tanya pendapat tuan berkenaan "kos perkhidmatan" atau lebih dikenali sbg "processing fee" yg dicas oleh "Bank2 Islam'".

Untuk makluman tuan, saya ada join satu koperasi nih. Ahli Lembaga Pengarah (saya BUKAN salah seorang, cuma secara kebetulan diajak berbincang bersama mereka) cadang nak buat service "pinjaman wang" kepada ahli2 nya. Masih dalam peringkat perancangan. Saya tengok model service nya mmg model pinjaman konvensional.

Setelah perbincangan & sedikit nasihat dari saya, mereka setuju utk buat service ikut kaedah Qardul Hasan. Maknanya pinjam RM1000, bayar balik pun RM1000. Tapi saya sedikit musykil apabila mereka nak kenakan processing fee (lbih kurang 4%-5% dari jumlah pinjaman).

Apa yang saya faham, kalau processing fee ikut % tu memang salah lah. Tak boleh. Kalau ikut kadar sebenar perbelanjaan nak bagi pinjam tu, diharuskan mengikut hasil keputusan Kesatuan Fiqh Islam Sedunia yang ketiga pada tahun 1986 yang berpendapat, boleh mengenakan kos perkhidmatan dengan syarat ia adalah KOS SEBENAR pengurusan teknikal sahaja dan adalah HARAM mengenakan kos selebihnya daripada kos sebenar.

Pikir2 balik, kos apa yang dikatakan kos sebenar tu? Adakah termasuk gaji kerani yg menguruskan pinjaman tu? Adakah termasuk kos nak beli pen, komputer, kertas utk print agreement, dll?
Ni yang saya musykil. Atau cuma sekadar kos mati setem agreement tu saje? Harap2 saudara dapat jelaskan.

Harap2 dapat lah perhatian segera dari saudara, sebab benda ni diorang dah nak 'on' dah. Ataupun untuk jalan selamat, saya cadang nak advice kpd mereka supaya koperasi 'absorb' je processing fee tu. Pada pandangan saya itulah yang terbaik.

Setakat ni saja buat masa ni.

Jom Perangi Riba'. Allaahu Akbar!! Assalamualaikum.

Jawapan saya:

Waalaikumsalam,

Saya pasti koperasi saudara itu juga menjalankan perniagaan dan bukan hanya memberi pinjaman wang, jadi pada pendapat saya jika kita benar-benar mahu melaksanakan perintah Allah SW dan mahu memerangi riba' maka kita patut memberi pinjaman tanpa meminta apa jua balasan baik kadar faedah, tolong belikan lepas tu jual balik dengan harga berganda ataupun yuran proses. Pada pendapat saya apa jua tambahan ini sudah lari dari konsep memberi pinjaman tersebut iaitu menolong dan membantu mereka yang memerlukan.

Anas ibn Malik melapurkan bahawa Rasullullah SAW bersabda; Jika kamu memberi pinjaman kepada seseorang dan dia menawarkan makanan kepada kamu, jangan memakannya, kerana itu adalah riba! - kecuali jika dia sudah biasa memberi kamu makan sebelum meminjam itu, jadi kamu boleh memakannya. Dan baginda bersabda lagi; Jika kamu memberikan penjaman kepada seseorang dan dia menawarkankan kepada kamu untuk menunggang haiwan tunggangannya, jangan terima, kerana itu adalah riba! - kecuali jika dia sudah biasa menawarkan kepada kamu sebelum mengambil pinjaman itu, yang mana kamu boleh menerimanya. Sunan Al-Baihaqi
Dari hadis diatas, jika memakan makanan dan menunggang haiwan peminjam pun sudah dikira riba", bukankah sesuatu yang sukar untuk disimpulkan boleh atau tidak, riba' atau tidak seperti yuran memproses itu elok ditinggalkan. Bukankah lebih baik kita anggap kos sebenar itu diserap sepenuhnya oleh pihak koperasi untuk memastikan koperasi benar-benar bersifat tolong-menolong dan bantu membantu dan bukan mengambil kesempatan dari yang susah iaitu peminjam (selalunya ahli susah yang meminjam, yang senang makan keuntungan sahaja)? Sedangkan didalam ekonomi islam itu sendiri tiada "positif interest" hanya "negative interest" kerana cukup haulnya sebanyak 2.5% dari harta atau pendapatan yang kita miliki wajib dikeluarkan sebagai zakat.

Sebab utama mengapa kita mahu mengambil sedikit balasan ataupun keuntungan apabila "menolong" adalah kerana kita tidak benar-benar percaya bahawa rezeki itu sebenarnya hanya dari Allah SAW, jadi disebabkan kuasa ditangan kita untuk meletakkan syarat, maka peminjam yang tersepit tiada pilihan lain untuk menerima apa jua syarat yang ditetapkan, jadi bukankah ada unsur penindasan dan ketidak adilan disitu?

Jika kita benar-benar percaya kepada Allah, takutkan Allah seolah-olah kita melihat Allah atau paling tidak pun kita tahu Allah melihat apa yang kita lakukan (inilah ihsan, sufi atau tasawwuf) maka barulah Allah SW akan membalas kita dengan rezeki yang tidak disangka-sangka. Allah SW tahu bila ketikanya kita benar-benar memerlukan ganjaran tersebut. Biar Allah SW sendiri yang menentukan dan bukannya oleh kita sendiri dengan meletakkan syarat.

Hidup biarlah lebihkan memberi maka barulah hidup akan dipermudahkan jalan oleh Allah SW dan ini janji Nya seperti didalam surah Al Lail ayat 5-7
Jelasnya: Adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertakwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya);
Serta dia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik,
Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan.
Saya amat bersetuju dengan pendapat saudara agar kos itu diserap oleh koperasi, terima kasih kerana bertanyakan perkara ini kepada saya walaupun saya bukan ulamak dan bukan ustaz, saya hanyalah manusia biasa yang diberikan Allah SW sedikit ilmu untuk cuba memberikan keadilan terutama kepada golongan yang selalu tertindas iaitu golongan susah dan miskin (sebab mereka yang selalunya mahu meminjam). Jika ahli lembaga koperasi saudara ingin menurut pendapat Kesatuan Fiqh Sedunia itu maka itu terpulanglah, cuma apa yang saya mahu ingatkan adalah adakah kita pasti itu benar-benar kos sebenar pengurusan tersebut? Bukankah meninggalkan suatu yang samar-samar itu lebih baik kerana termakan hak orang sebesar zarah sekalipun akan dibalas oleh Allah SW, inikan pula satu sen. Kecualilah jika ianya sesuatu yang tetap dan diluar kawalan pihak koperasi contohnya bayaran guaman oleh pihak ketiga, akan tetapi itu pun jika koperasi mahu serapkan didalam kos perniagaan dan menganggap ianya sebagai sedekah pada pendapat saya itu lebih mulia atau "lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahuinya".
...dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak). Surah Al Baqarah 2:280
Mungkin berkat "riba' free" bisnes yang koperasi saudara jalankan ini nanti menjadi buah mulut muslim sejati dan semakin ramai ahli yang mendaftar maka insyaallah perniagaan semakin maju dan rezeki yang tidak disangka-sangka itu akan datang jua dari Allah SW jika kita benar-benar takut dan taat kepadaNya.

Doktor barat buat kajian mendapati bahawa minum arak segelas seminggu boleh membantu mengurangkan kolestrol, jadi bolehlah jugak nanti ada ulamak mana-mana mengeluarkan fatwa minum arak HANYA SEGELAS dibolehkan, tidak segelas lebih sikit dan sebagainya. Mungkin perbandingan ini amat keterlaluan akan tetapi harap ianya dapat digunakan untuk membuat perbandingan didalam perihal riba' ini. Wassalam


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Soal Jawab SyurgaDiDunia © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO