Ahad, 7 November 2010

Mengubah Apa Yang Dikatakan Ciri Genetik

Adeknash bertanya;

salam...konsep 'salah aku', 'pemerhati yang hebat',' kekuatan minda'...bagaimana mencapai istiqamah dalam amalan sunat, membuang sifat mazmumah dan menanam sifat mahmudah yang bertunjang dalam jiwa? kita menyedari kewujudan dan kekurangan sifat2 tertentu dalam diri tapi bagaimana mendidik istiqamah dan mengubah apa yang dikatakan ciri genetik?

Jawapan saya;


Sebelum menjawab soalan ini saya ingin bertanya kepada saudara dari mana idea bahawa kelakuan atau sifat itu sedikit sebanyak dipengaruhi oleh genetik? Jawapannya tidak lain tidak bukan tentulah dari ilmu biologi dan perubatan barat. Akan tetapi adakah sumber rujukan buat kita dari sudut islam?


Pasti ramai dikalangan kita yang pernah mendengar ungkapan anak yang baru lahir ibarat kain putih, ibu dan bapa yang mencorakkan mereka samada menjadi yahudi atau kristian. Ini agak bertentangan dengan kepercayaan dunia sains iaitu sifat dipengaruhi genetik, sepatutnya ungkapannya adalah 

"anak ibarat yang baru lahir ibarat kain putih tetapi ada beberapa titik hitam, biru dan merah... (kaler ikut suka) dan ibu bapa bla.. bla.. bla"

Saya mencari rujukan mengenai sifat anak yang baru lahir ini didalam hadis dan terdapat 3 hadis yang serupa didalam Sahih Bukhari;



Riwayat Abu Huraira: Nabi SAW bersabda, "Setiap anak itu lahir didalam fitrah Islam dan ibubapanya yang menukarkan dia menjadi pengganut Judaism (Yahudi), kristian atau majusi (penyembah api atau zoroaster)".
Berdasarkan hadis ini, maka apa yang dapat saya simpulkan adalah kain putih yang dimaksudkan itu adalah islam sebagai fitrah semulajadi, apabila Islam itu fitrahnya maka sifat "mazmumah" itu bukanlah datangnya dari genetik, sifat genetik hanyalah sifat "mahmudah". Jika ada rakan-rakan kurang pasti apa yang dimaksudkan dengan sifat mazmumah dan mahmudah ini, sila rujuk penerangan dilaman web ini untuk maklumat lanjut.

Akan tetapi bagaimana manusia memperolehi sifat mazmumah ataupun sifat yang keji itu? Sudah tentu yang paling utama adalah bisikan dan pujukan syaitan dan keduanya pada pendapat saya kebanyakan nya adalah dari ibu dan bapa, dari didikan dan bagaimana seseorang itu dibesarkan. Apabila terbentuk sahaja janin didalam kandungan ibu, fitrah Islam sel-sel didalam rahim itu itu membahagi mengikut perintah Allah SW dan dengan automatiknya menjadi kaki, tangan, badan, organ dan sebagainya. Ya, memang semua maklumat itu terdapat didalam DNA kromosom akan tetapi, DNA hanyalah "pelan"(blueprint) kehidupan dan bukan takdir kehidupan. Akan tetapi bayi didalam kandungan juga mendapat input persekitaran dari kimia emosi yang disampaikan dari ibu kepadanya menerusi placenta. Jika bayi tersebut membesar dengan minda ibunya yang tertekan, maka tumbesaran anak tersebut akan terbantut terutama bahagian otak yang merupakan penghubung antara minda dan jasad. Itu yang telah cuba saya kemukakan didalam artikel saya sebelum ini.


Kemana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi, ramai yang nampak "kuah" itu seperti bakat menyanyi, berlakon dan sebagainya yang ditunjukkan oleh ibu bapa, bagaimana pula bakat maki hamun, menipu, panas baran dan sebagainya? Anak belajar dari pemerhatian dan siapa kita apabila dewasa banyak dipengaruhi oleh sikap dan tingkah laku ibubapa yang kita perhatikan semasa kita membesar dari peringkat bayi hinggalah ke peringkat akil baligh yang mana pada saat itu sepatutnya sudah mampu untuk berfikir buruk dan baik (malangnya dizaman ini akil baligh hanyalah setakat kemampuan untuk membiak dan bukan untuk berfikir dengan akal). 


Dengan kehidupan dunia yang diselubungi riba', ditambah pula dengan penangan revolusi feminis, kaum ibu yang dahulunya tinggal dirumah menjaga anak sekarang ini harus, terpaksa, malah ada juga menjatuhkan hukum fardhu kifayah untuk bekerja. Hasilnya anak yang membesar belajar nilai kehidupan dari pengasuh, orang gaji dan yang paling buruk sekali adalah TV. Maka tidak hairanlah mengapa generasi muda kita semakin rosak, mungkin anak kita ok je tetapi lihatlah dari sudut keseluruhan masyarakat itu sendiri. Andalah buta jika tidak nampak apa yang berlaku didalam masyarakat kita hari ini, jika tidak buta mata sekalipun mungkin buta mata hatinya.

Manusia telah sekian lama hidup didalam ketakutan kerana mantra dunia sains selama ini adalah baik dari penyakit hinggalah kepada sifat dan kelakuan semuanya dari genetik, ia membuatkan manusia lebih mempunyai fikiran hanya sebagai mangsa keadaan dan tidak untuk bertanggungjawab dalam kehidupan. Itu pandangan lama sebenarnya, pandangan baru adalah persekitaran yang menyebabkan sesetengah gen lebih terserlah dan akhirnya menjelma menjadi realiti kehidupan baik penyakit mahu pun kelakuan. Persekitaran bayi yang membesar hari ini adalah pengasuh, orang gaji ataupun apa yang dilihat melalui TV, jadi menuding jari genetik penyebab sifat mazmumah itu bagi saya tidak lagi boleh diterima dari sudut pandangan baru dunia sains itu sendiri.

Menurut Dr. Joe Dispenza didalam bukunya Evolve Your Brain pula menyatakan, "persekitaran dalaman" kita yang paling utama dalam menentukan kualiti kehidupan yang kita alami. Apakah persekitaran dalaman tersebut? Tidak lain tidak bukan ianya adalah minda atau pun fikiran kita. Apa yang kita fokuskan, apa yang selalu bermain difikiran, maka itu lah yang akan menjadi realiti kehidupan, ianya juga salah satu falsafah didalam fizik kuantum. Kita tidak mampu mengawal stimuli dari luar akan tetapi kita mampu mengawal reaksi kita terhadap setiap jenis stimuli itu. Akan tetapi bagaimanakah kita boleh mampu mengawal reaksi kita?

Jawapannya bagi saya berbalik kepada menjadi pemerhati yang hebat, dan bagaimana untuk menjadi pemerhati yang hebat? Jawapannya adalah dengan menjaga solat agar lebih fokus dan khusyuk yang mana kita boleh latih otak untuk memikirkan apa yang kita mahu dan bukan melayan "laungan" dari sel-sel tubuh yang ketagihkan kimia-kimia emosi tertentu, iaitu apa yang manusia menggelarkannya nafsu. Dan semua rumusan saya ini datangnya dari ayat Al Quran surah Al-Ankabut 29:45;
Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
Dan apakah ciri-ciri solat yang diperlukan oleh umat Islam? Salah satu ciri tersebut diberikan pula oleh Allah SW didalam surah An Nisa 4:176;
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan...
Sedar disini pada pendapat saya adalah fokus kepada apa yang dibaca dan lakukan dan bukan solat umpama satu perbuatan automatik sedangkan minda melayang ketempat lain dan memahami pula adalah faham apa yang dikumat kamitkan. Sebab itu saya galakkan rakan-rakan memahami bacaan didalam solat dan yang terbaru adalah kempen kesedaran untuk memahami Al Quran.

Jadilah seorang yang berani untuk bertanggungjawab dan itu yang saya cuba sampaikan dalam konsep "semuanya salah aku", ianya bukan untuk merendahkan martabat diri akan tetapi mengembalikan kuasa atau keupayaan manusia itu sendiri agar lebih mampu mengawal dan memilih realiti kehidupan yang diinginkan. Akan tetapi sebagai hamba Allah SW, realiti yang sepatutnya kita fokus adalah realiti akhirat, dunia ini hanyalah mainan dan tipu helah syaitan buat mereka yang terpedaya;
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. Surah Al-Imran 3:185
Pendedahan saya disini bukanlah untuk sesiapa menyalahkan ibubapa terhadap apa yang telah terjadi, setiap yang berlaku itu ada hikmah yang terselindung disebaliknya, manusia hari ini seolah-olah telah dilatih untuk lebih melihat keburukan dari kebaikan dan hidup didalam ketakutan, bersangka baik kepada Allah SW itu penawar bagi kehidupan didunia yang sementara ini. Bagi ibu dan ayah termasuklah diri saya sendiri, bersamalah kita berusahalah untuk menjadi pemerhati yang hebat terhadap fikiran kita, yang mana darinya ia menjadi tingkah laku dan perbuatan yang akan diteladani oleh anak-anak. Bagi yang sedar dirinya punyai sifat mazmumah maka usaha yang sama juga perlu dilakukan agar sifat tersebut tidak akan diwarisi oleh generasi masa depan. Tiada genetik mazmumah, hanya genetik mahmudah, berusahalah kita kembali kejalan yang lurus (Sirotolmustakim), insyaallah

1 Komen:

Tanpa Nama berkata...

Salam , syukur Alhamdulillah saya telah berjumpa dengan sahabat yang insyaAllah saya mampu terima hampir segala yang kamu terangkan dan faham.

jangan berputus-asa sahabat.

saya percaya lilin kamu telah dinyalakan , maka lilin yang menyala sahaja yang dapat menyalakan lilin yang lain.

FAFF

Catat Ulasan

Soal Jawab SyurgaDiDunia © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO