Jumaat, 6 Ogos 2010

Cara Hormat Jiran Ikut Islam

Saudara Azhar bertanya;
bagaimanakah hendak menghormati jiran tetangga mengikut sistem islam sebenar?
Jawapan saya;

Definasi mengikut cara islam sebenar hanyalah apabila ianya berlandaskan Quran dan sunah. Jadi untuk menjawab persoalan saudara ini maka wajiblah kita merujuk kepada dua bahan rujukan tersebut.
Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri. Surah An-Nisa 4-36
Berbuat baik dan menghormati adalah dua perkara yang sama tetapi dengan pendekatan yang berbeza, kedua-duanya saling berkait antara satu sama lain, kita tidak boleh hormat tanpa berbuat baik dan sombong dan tidak boleh berbuat baik dan rendah diri tanpa menghormati (kecualilah jika hanya berpura-pura). Kedua-duanya adalah tingkahlaku yang seiringan. Akan tetapi setakat mana mesti kita berbuat baik dan menghormati jiran itu? jawapannya terletak pula didalam hadis Nabi SAW;
Anas b. Malik meriwayatkan, Nabi SAW menyatakan: Kamu yang benar-benar beriman adalah mereka yang menyayangi saudara atau jiran mereka sepertimana mereka menyayangi diri mereka sendiri. Sahih Muslim Book 1, hadis 72)
Rasa hormat dan keinginan untuk berbuat baik tidak akan datang tanpa rasa kasih dan sayang, berdasarkan hadis Nabi SAW diatas maka jika kita dapat memupuk rasa kasih dan sayang tersebut terhadap mereka yang dikeliling kita yang mana didalam kes ini adalah jiran, sepertimana kita mengasihi dan menyayangi diri sendiri, maka barulah konsep kejiranan itu akan boleh dipupuk mengikut nilai Islam sebenar. Hormat jiran sepertimana kita menghormati diri dan juga keluarga kita sendiri baik dari segala sudut termasuklah tidak memperlekehkan apa sahaja pemberian dari mereka.
Diriwayatkan oleh Abu Huraira; Nabi SAW bersabda, "Wahai kaum muslimah! Janganlah kamu memandang rendah akan pemberian jiran kamu walaupun ianya hanyalah kaki kuku kambing" Sahih Bukhari Buku 73, hadis 46.
Tetapi mengapa jiran itu amat penting didalam kehidupan dari pandangan Islam, asas masyarakat yang aman dan makmur adalah datangnya dari wanita yang menjadi asas kebahagian keluarga, dengan anak yang dilahirkan, diasuh, dididik dengan penuh kasih sayang serta diberi makan dengan makanan yang berkat dan berkhasiat hasil dari tangan mereka sendiri maka anak-anak pendokong generasi akan datang akan terdiri dari mereka yang berhemah, sihat dan sebagainya. Apa jadi pada generasi yang terabai baik dari segi penjagaan hinggalah kepada pemakanan keluaran kilang yang penuh dengan kimia dan sebagainya? Sebab itulah wanita (ibu) perlu dihormati 3 kali lebih dari lelaki (bapa) disebabkan oleh kritikalnya fungsi mereka didalam keluarga secara khususnya dan pada masyarakat secara keseluruhannya, akan tetapi pada pendapat saya hala tuju kaum wanita hari ini semakin hari semakin lari dari tugas yang diperintahkan oelh Allah SW kepada mereka. Lihat dari perbezaan fizikal dan biologi antara lelaki dan wanita jelas terbukti perbezaan fungsi tersebut akan tetapi dengan dunia akhir zaman yang penuh dengan muslihat ini, hanya segelintir sahaja yang mampu berfikir, sedar dan nampak funsgi sebenar mereka didunia ini.
Demi Yang menciptakan (makhluk-makhlukNya) lelaki dan perempuan, (jantan dan betina); Sesungguhnya amal usaha kamu adalah berbagai-bagai keadaannya. (Surah Al-Lail 92:3-4)

Selepas terjaganya keluarga, tahap seterusnya adalah jiran, baik jiran yang dekat mahupun jiran yang jauh bak firman Allah didalam surah An-Nisa diatas. Dengan keluarga yang harmoni dan dengan hubungan sesama jiran yang baik maka ianya menjadi asas yang baik untuk masyarakat yang hebat dan seterusnya juga negara yang hebat. Kita hidup didunia ini amat berkait antara satu sama lain dan apa sahaja suruhan dan larangan Allah SW itu berdasarkan dari asas tersebut. Kita telah terlena dengan helah bahawa kita tiada kena mengena dengan orang lain, malah masih diajar disekolah hari ini teori evolusi yang menyatakan manusia itu terhasil dari mutasi rawak genetik dan hidup perlu berusaha keras untuk mempastikan selalu ditangga atas untuk kekal hidup sedangkan evolusi itu sendiri adalah berdasarkan spesis yang terhebat dan bukan individu yang terhebat, kemajuan spesis amat penting melebihi kemajuan individu perseorangan dan bukan sebaliknya. Maka dari situ terhasillah minda persaingan siapa yang terhebat, siapa yang terkaya, siapa yang punyai rumah paling mahal ubahsuainya dan sebagainya dan itu sendiri mengikis konsep berbuat baik dan menghormati jiran didalam Islam.

Hidup itu adalah kerjasama, tanpanya kehidupan didunia ini tidak akan bermakna. Kita semua saling memerlukan antara satu sama lain dan mereka yang paling hampir selepas keluarga adalah jiran. Hormatilah jiran sebegaimana kita menghormati keluarga kita sendiri dan juga sebagaimana kita mahu diri kita dihormati. Apa yang kita lakukan kepada insan lain adalah untuk diri kita sendiri dan itulah janji Allah SW (Surah Al-Isra 17:7).

Sila Kemukakan Komen Anda

Catat Ulasan

Soal Jawab SyurgaDiDunia © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO